Maruti Suzuki baru sahaja mendedahkan model generasi baharu untuk sedan sub-empat meter iaitu Maruti Suzuki Dzire 2025 di India minggu ini. Serentak dengan itu, model tersebut telahpun dihantar secara sukarela untuk diuji oleh Program Penilaian Kereta Baharu Global (Global NCAP), dan telah menerima penarafan lima bintang.
Dalam ujian berkenaan, Maruti Suzuki Dzire 2025 menerima lima bintang untuk perlindungan penumpang dewasa dan empat bintang untuk keselamatan penumpang kanak-kanak. Ini menjadikan Dzire generasi baharu ini sebagai model pertama Maruti Suzuki yang menerima penarafan lima bintang dari Global NCAP.
“Penilaian lima bintang Dzire baharu menetapkan penanda aras keselamatan yang ketara untuk Maruti Suzuki berbanding versi sebelumnya model ini dan lain-lain daripada Maruti yang telah kami uji. Global NCAP sangat mengalu-alukan keputusan ujian sukarela yang penting ini. Kami optimis Maruti akan berusaha untuk mencapai tahap prestasi keselamatan yang tinggi ini di seluruh rangkaian model mereka. Jika mereka melakukannya, ia akan merubah standard keselamatan kenderaan untuk pengguna India,” kata presiden eksekutif Yayasan Towards Zero, David Ward.
Walau bagaimanapun, protokol ujian pelanggaran Global NCAP ini hanya membuat ujian perlindungan impak hadapan, impak sisi dan tiang sisi serta hanya mewajibkan sistem Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan perlindungan pejalan kaki. Maruti Suzuki Dzire 2025 ini dilengkapi dengan enam-beg udara, ESC dan perlindungan pejalan kaki secara standard untuk semua varian. Model ini langsung tidak diberikan fungsi-fungsi bantuan pemanduan seperti brek kecemasan automatik, pemantau titik buta dan sebagainya.
Tidak seperti model generasi sebelumnya di mana Dzire merupakan versi sedan untuk Suzuki Swift, Dzire generasi baharu ini tidak dibangunkan bersama Swift dan ia sememangnya terus dalam versi sedan. Ia menampilkan dimensi panjang 3,995mm, lebar 1,735mm, tinggi 1,525mm dan juga jarak roda sejauh 2,450mm. Jadi ia adalah 155 mm lebih pendek dengan jarak roda 5 mm lebih dekat berbanding Perodua Bezza di Malaysia.
Namun ia masih lagi berkongsi enjin yang sama dengan Swift generasi baharu iaitu enjin Z12E 1.2 liter tiga-silinder NA menghasilkan kuasa 82 PS dan tork maksima 108 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear lima kelajuan sama ada manual sepenunhya atau dalam versi AMT. Ia dijual pada harga bermula 679,000 (RM36k) sehingga 1,014,000 (RM53k).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.