Suzuki Swift 2024 di Tokyo Auto Salon – 1.2L NA hibrid ringkas, kotak gear manual 5-kelajuan dan CVT

Suzuki Swift 2024 di Tokyo Auto Salon – 1.2L NA hibrid ringkas, kotak gear manual 5-kelajuan dan CVT

Tahun lalu Suzuki telah mendedahkan model prototaip bagi Swift generasi keempat di Japan Mobility Show yang berlangsung pada Oktober, kemudian model produksi sebenarnya dilancarkan di sana pada Disember 2023. Ketika diperkenalkan, model serba baharu ini ditawarkan dengan enjin 1.2L NA dengan sistem hibrid ringkas yang digandingkan dengan kotak gear CVT automatik.

Namun ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2024 minggu lalu, Suzuki mendedahkan pula Swift hybrid berkenaan dalam versi kotak gear manual lima-kelajuan. Difahamkan model ini mula dijual di Jepun bermula hari ini, iaitu pada 17 Januari 2024.

Model generasi baharu ini masih diasaskan dari platform Heartect dengan dimensi hampir sama dengan model generasi ketiga iaitu panjang 3,860 mm, lebar 1,695 mm, tinggi 1,500 mm dan jarak roda sejauh 2,540 mm. Walau bagaimanapun platform tersebut telah diperkuatkan dengan penggunaan plat logam berketegaran tinggi serta perekat struktur yang lebih banyak bagi memberikan pengendalian dan keselesaan lebih baik.

Suzuki Swift 2024 di Tokyo Auto Salon – 1.2L NA hibrid ringkas, kotak gear manual 5-kelajuan dan CVT

Selain itu, Suzuki turut memberikan material sesekat dan juga perekat penebat pada cantuman-cantuman badan bagi memberikan kabin yang lebih senyap. Sekali tengok Swift generasi keempat ini mungkin nampak hampir sama seperti model generasi sebelumnya. Namun jika diperhatikan dengan teliti ia sebenarnya menerima perubahan rupa yang agak besar.

Lampu hadapan (bersama lampu nyalaan siang bina dalam berbentuk-J) model konsep 2024 ini diletakkan lebih rendah dari sebelum ini. Penutup bonet kini direka seakan kulit kerang, dan mewujudkan garis sisi badan yang bercantum dengan lampu belakang. Manakala gril hadapan dan perumah lampu kabus juga lebih kecil dari Swift generasi sedia ada, membolehkan satu lagi ‘mulut’ liang udara diberikan pada bahagian bawah bampar hadapan.

Bahagian kemasan hitam pada tiang-C hatchback ini yang memberikan kesan seakan bumbung terapung kini lebih besar. Lampu belakang, pintu tailgate dan bampar belakang semuanya direka semula, tetapi masih nampak ada kaitan dengan model generasi ketiga.

Suzuki Swift 2024 di Tokyo Auto Salon – 1.2L NA hibrid ringkas, kotak gear manual 5-kelajuan dan CVT

Perubahan total turut dilihat dibuat pada sebelah dalam di mana ia diberikan skrin yang diletakkan secara berdiri sendiri di tengah atas papan pemuka. Liang penghawa dingin tengah yang sebelum ini bulat telah direka leper dan dipindahkan ke bawah skrin.

Tiada lagi suis putar untuk kawalan pendigin hawa, dan ia kini telah diganti dengan suis togol dan butang-butang. Rekaan roda stereng juga berbeza terutama pada bahagian suis-suis kawalan yang kini nampak lebih banyak. Suzuki nampaknya tidak memberikan paparan instrumen digital pada model generasi baharu ini, namun rekaan papan meternya jelas berbeza serta diberikan skrin pelbagai info di bahagian tengah.

Bagi pasaran Jepun, Swift ditawarkan dalam tiga gred varian iaitu MZ, MX dan XG. Ketiga-tiganya menerima enjin petrol yang sama iaitu unit Z12E 1.2 liter tiga-silinder NA menghasilkan kuasa 82 PS dan tork maksima 108 Nm. Manakala sistem hibrid ringkas hanya diberikan pada varian MZ dan MX, menampilkan motor elektrik kecil WA06D berkuasa 3.1 PS/60 Nm yang digerakkan oleh bateri 3-Ah.

Suzuki Swift 2024 di Tokyo Auto Salon – 1.2L NA hibrid ringkas, kotak gear manual 5-kelajuan dan CVT

Varian XG dan MZ hanya dipadankan dengan kotak gear CVT, manakala pembeli varian MX pula boleh memilih sama ada mahukan kotak gear CVT atau manual. Semua varian Swift pasaran Jepun ini ditawarkan dengan pilihan sistem pacuan semua roda.

Model JDM generasi baharu ini juga menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi seperti cruise control adaptif, sokongan kekal lorong, amaran dan pengelak keluar lorong, pemberitahu kereta hadapan bergerak, pembaca papan tanda trafik, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, bantuan lampu tinggi, pemantau pemandu, brek kecemasan automatik dan lain-lain.

Suzuki Swift 2024 ini dijual di Jepun pada harga bermula 1.727 juta yen (RM55,285) sehingga 2.332 juta yen (RM74,652) tanpa sebarang perincian opsyen.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required