Ini sesuatu yang mengejutkan yang diumum oleh Toyota hari ini – selepas berada sekitar enam tahun dalam pasaran, model sport tertinggi Toyota iaitu Supra diumum bakal dihentikan produksinya tidak lama lagi. Untuk itu, Toyota telah memperkenalkan model tingkat taraf terakhir untuk Supra dalam varian enjin 3.0 liter, dan juga model edisi terhad ‘selamat tinggal’ yang digelar sebagai A90 Final Edition, dihasilkan sebagai Supra produksi paling agresif untuk versi generasi terakhir ini.
Bagi model tingkat taraf biasa 2025, Toyota menyatakan bahawa ia telah ditala semula bagi memberikan pemanduan yang seronok bukan hanya dalam bandar, malah untuk pemanduan lebih agresif di jalan berliku dan litar lumba.
Bahagian luarannya disegarkan menerusi pemadanan spoiler ducktail gentian karbon pada but belakang, bersama penambahan kit aero lain termasuk flap pada ruang roda hadapan. Secara keseluruhan, Toyota mendakwa kelengkapan-kelengkapan ini mampu untuk memaksimakan keseimbangan aerodinamik serta downforce antara bahagian hadapan dan belakang, seterusnya memberikan cengkaman jalan dan juga prestasi pengendalian lebih baik.
Model ini masih dijana oleh enjin B58 petrol 3.0 liter enam-silinder sebaris dengan pengecas turbo berkembar menjana 387 PS dan tork maksima 500 Nm, dengan pilihan sama ada kotak gear manual enam-kelajuan atau automatik lapan-kelajuan bagi memacu roda belakang. Namun menerusi model tingkat taraf ini unit differential aktif pada gandar belakang telah ditala bagi mengurang understeer ketika mengambil selekoh.
Selain itu, pengendalian model kemaskini terakhir ini ditambahbaik menerusi talaan semula yang dibuat pada suspensi dan casis. Supra 2025 ini menerima set penyerap hentak adaptif bersama sudut camber yang ditala semula, dan dipadankan dengan penstabil hadapan yang lebih keras. Kesemua ini membolehkan Supra 2025 tersebut mendapat cengkaman dan kestabilan lebih baik
Pendakap penstabil hadapan dan belakang juga kini dibina semula menggunakan aluminium yang diperkuat. Cagak-cagak getah seperti untuk lengan kawalan hadapan, subframe belakang juga kini menggunakan material lebih keras. Tidak cukup dengan itu, struktur pendakap bawah lantai belakang juga telah diperkuat bagi meningkatkan ketegaran badan. Perubahan-perubahan ini memberikan rasa terus kepada pemandu untuk merasai keadaan sebenar jalan raya bagi memberikan pengendalian lebih jitu.
Unit stereng kuasa bantuan elektrik (EPS) pada Supra 2025 ini juga telah dioptimakan bagi memberikan “sensasi stereng lebih terus dan prestasi kawalan lebih baik”, dakwa Toyota. Sistem brek juga dipertingkat dengan cakera hadapan Brembo berdiameter 374 mm yang lebih besar dari sebelum ini.
Manakala sebelah dalam, model 2025 ini menerima tempat duduk yang dibalut dengan kulit asli dan Alcantara, bersama dengan sulaman logo GR. Ia juga diberikan tali pinggang keledar merah, sementara model dengan transmisi manual akan diberikan gaiter tuil gear dengan cecincin dan juga serlahan jahitan benang berwarna merah.
Beralih kepada Toyota Supra A90 Final Edition pula, ia bukan hanya tampil dengan rupa luaran dan dalaman yang lebih agresif, malah turut menerima talaan prestasi yang lebih serius. Pada bahagian luaran, Supra A90 Final Edition ini menerima kit aerodinamik oleh pasukan sama yang menghasilkan kereta lumba GR Supra GT4 iaitu Toyota Gazoo Racing Eropah, dengan pembangunan melibatkan penggunaan terowong ujian angin.
Oleh itu model istimewa ini menerima kit aerodinamik dari bahan gentian karbon yang terdiri dari spoiler bawah dan canard pada bampar hadapan, dan juga spoiler GT belakang dengan kaki jenis ‘tengkuk angsa’ diispirasikan dari GR Supra GT4, yang didakwa dapat memberikan downforce serta cengkaman dan pengendalian lebih baik.
Ia juga diberikan liang udara gentian karbon pada bonet hadapan dengan salur udara sebelah dalam yang boleh dibuka, di mana ia akan memberikan kuasa penyejukan lebih baik apabila dibuka.
Enjin B58 petrol 3.0 liter enam-silinder sebaris dengan pengecas turbo berkembar pada Supra A90 Final Edition ini juga menerima pengubahsuaian yang lebih ektensif bagi meningkatkan bukan sahaja kuasa, malah ketahanannya ketika ‘dibelasah’ di dalam litar.
Untuk itu, ia menerima pemangkin ekzos tekanan belakang lebih rendah dengan peredam bunyi titanium Akrapovič, sementara talaan kotak komputer dibuat semula bagi menghasilkan kuasa lebih besar iaitu 435 PS dan tork maksima 500 Nm.
Toyota telah menambah plat penyekat di dalam takung minyak pelincir enjin berkenaan bagi mengelakkan terjadinya pembahagian minyak pelincir yang tidak sekata ketika mengambil selekoh dengan daya-G tinggi. Selain itu sistem penyejukkan juga ditambah baik dengan kipas lebih baik serta penambahan unit sub-radiator.
Model istimewa ini hanya ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan. Manakala pada gandar belakang, perumah unit diffential aktif turut diberikan sirip penyejukkan udara lebih besar.
Dengan kuasa yang lebih buas, Supra A90 ini menerima set suspensi boleh laras dari KW, iaitu jenama suspensi yang sama digunakan pada GR Supra GT4. Penyerap hentak KW tersebut menawarkan 16 tahap larasan rebound dan 12 tahap larasan tekanan yang boleh dibuat bergantung pada keadaan pemanduan serta rentak pemandu.
Ia juga diberikan penstabil hadapan dan belakang yang lebih keras, set bushing getah lebih keras untuk lengan bawah hadapan, penghubung jenis pillow ball untuk lengan kawalan hadapan dan juga cagak aluminium tegar yang sama seperti jentera GT4 sebenar pada subframe belakang bagi memberikan pemanduan yang lebih jitu kepada pemandu.
Bukan itu sahaja, talaan casis pada Supra A90 Final Edition ini turut melibatkan pengukuhan yang dibuat pada pendakap cowl hadapan, penambahan pendakap bawah lantai hadapan, struktur bawah lantai belakang dan juga penambahan bar silang pada pada bahagian belakang tempat duduk dalam kabin.
Tingkat taraf serius turut diberikan pada bahagian brek dimana Supra Final Edition ini menerima cakera jenis terapung dan ditebuk untuk bahagian hadapan dan belakang. Diameter cakera hadapan juga lebih besar iaitu 395 mm dan ia diberikan pad brek dengan kadar pekali geseran lebih tinggi dari Brembo. Malah hos-hos brek juga digantikan dengan hos jenis logam tahan karat yang boleh mengurangkan kehilangan tekanan semasa penghantaran dan juga mengelakkan hos yang mengembang.
Bagi menghantar kuasa ke permukaan jalan, Supra Final Edition menerima tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 dengan ukuran 10% lebih lebar dari Supra biasa, serta dipadankan pada set rim aloi ringan berdiameter 19-inci di hadapan dan 20-inci di belakang yang dilarik dengan logo TGR.
Imej sebuah kereta lumba sebenar pada dalam kabin bukan hanya disumbang oleh pemadanan bar silang di belakang. GR Supra A90 Final Edition ini turut datang standard dengan tempat duduk bucket penuh gentian karbon Recaro Podium CF. Tempat duduk berkenaan dibalut dengan upholsteri Alcantara dengan bahagian penumpang diberikan kemasan hitam.
Bukan hanya tempat duduk, malah kemasan sekeliling pemandu termasuk perapi konsol tengah bahagian pad lutut, perehat tangan dan pemegang pintu turut dibalut dengan Alcantara merah. Balutan Alcantara hitam pula diberikan pada roda stereng dengan serlahan benang dan penanda pukul 12 berwarna merah.
Model edisi terhad ini juga diberikan tali pinggang keselamatan berwarna merah serta scuff plate yang diperbuat dari material gentian karbon.
Toyota menyatakan bahawa model tingkat taraf GR Supra 3.0 liter 2025 akan mula dijual bermula musim bunga 2025, dan ia akan diperkenalkan secara berperingkat di pasaran global termasuk Jepun, Eropah dan Australia. Sementara GR Supra A90 Final Edition pula hanya akan dihasilkan sebanyak 300 unit dan akan dijual di Jepun dan Eropah sahaja. Penawaran model edisi terhad ini di Eropah akan bermula musim bunga 2025, manakala di Jepun akan diumumkan kemudian.
Toyota GR Supra A90 ini membuat kemunculan sulungnya pada Januari 2019. Ia dibangunkan dengan platform dan enjin yang sama dengan BMW Z4 G29, dan diproduksi di kilang yang sama iaitu fasiliti Magna Steyr di Graz, Austria. Ada laporan sebelum ini turut menyebut bahawa produksi BMW Z4 di kilang berkenaan turut akan dihentikan bermula bulan Mac tahun hadapan.
GALERI: Toyota GR Supra 2025
GALERI: Toyota GR Supra A90 Final Edition 2025
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.