Proton Saga MC3 2025 – ini rupa sebenarnya nanti?

Proton Saga MC3 2025 – ini rupa sebenarnya nanti?

Minggu lalu menerusi gambar yang dihantar oleh pembaca paultan.org, kami mengesan bahawa Proton kini sedang membangunkan satu lagi versi tingkat taraf Saga sedia ada. Gambar pertama yang kami terima hanya memaparkan imej sebelah belakang model tersebut yang nampak masih sama dengan model yang sedang dijual sekarang.

Namun menerusi satu lagi gambar yang lebih jelas, walaupun dilindungi oleh pelekat penyamaran, Saga berkenaan dilihat mengenakan lampu dan juga dilengkapi hadapan baharu bersama kamera sistem bantuan pemanduan termaju pada cermin hadapannya. Berdasarkan imej tersebut, pakar manipulasi automotif tempatan Theophilus Chin cuba untuk membayangkan rupa sebenar Saga ini kelak.

Pertama sekali pada gril depan – Theo memberikan gril dengan elemen pin krom dan ia melengkung ke dalam, bersama logo Proton dengan ‘sayap ala-Mercedes Benz’ seperti yang boleh kita lihat di celah-celah pelekat penyamaran unit prototaip tersebut. Selari dengan rekaan-rekaan terkini Proton, bahagian bawah gril tersebut juga diberi rekaan ethereal-bow.

Kemudian beralih ke rekaan lampu hadapan di mana klusternya direkaan seakan dari rekaan Saga FLX. Namun pada bahagian dalam lampu itu diberikan tiga jalur lampu nyalaan siang LED pada bahagian ‘kening’ dan juga unit projektor untuk lampu utama.

Manakala untuk bampar, Theo memberikan rekaan apron lebih lebar dan juga perumah lampu kabus berbentuk-T yang diilhamkan dari rekaan bampar ‘abang’ Saga iaitu sedan segmen-C Proton S70. Saga ini masih menggunakan rekaan rim sama seperti model sedia ada seperti dilihat pada unit-unit prototaip tempoh hari.

Kemaskini kali ini menampilkan perubahan yang agak banyak, jadi ia menimbulkan satu lagi persoalan – adakah ini merupakan satu lagi facelift yang sememangnya akan digelar sebagai Saga MC3, atau ini adalah model generasi baharu yang menggunakan platform AMA?

Sekiranya ini adalah model facelift, ia bukanlah model sekadar untuk ‘menghabiskan stok’ kerana melibatkan penukaran lampu dan gril baharu serta sistem ADAS, dan sudah tentu akan dijual dalam tempoh yang lama untuk ‘balik modal’. Dan ia juga sudah tentu sukar untuk dijual pada harga lebih murah dari model sedia ada dengan penambahan perincian-perincian tersebut, mustahil untuk dijual bersama model generasi baharu seperti Perodua Axia E MT dan Axia generasi kedua.

Tetapi jika ini adalah benar-benar model generasi baharu, sudah tentu ia agak mengecewakan kerana masih menggunakan badan yang nampak sama seperti model generasi yang ada di bilik pameran sekarang.

Selain dari aspek-aspek yang boleh dilihat dengan mata kasar ini, ada pelbagai persoalan lagi bermain di kepala, antaranya adalah berkenaan unit rangkaian kuasa. Proton sebelum ini telah pun menghentikan pembangunan enjin Campro, jadi adakah model ini akan menerima enjin dan kotak gear baharu yang dibekalkan oleh Geely untuk kekal relevan dalam pasaran, atau masih akan mengekalkan unit yang sama seperti model sekarang?

Ada pula rasa macam mana? Ini Saga MC3 atau Saga generasi baru?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required