Selepas kerjasama dengan Geely berlangsung, jenama smart yang sebelum itu milik Mercedes-Benz sepenuhnya mula beralih untuk menjadi syarikat automotif yang hanya akan menjual hanya kenderaan elektrik bateri (BEV). Namun menurut laporan Autocar, dengan trend jualan EV yang semakin menurun sekarang smart turut akan beralih semula ke enjin pembakaran dalaman.
Jenama berkenaan mengesahkan langkah yang bakal diambil berkenaan selepas satu gambar prototaip smart #5 yang telah disumbat dengan enjin pembakaran dalaman dan menerima sistem plug-in hybrid (PHEV) tersebar menerusi laman Autohome.
“Kami melihat mobiliti individu dikuasakan oleh enjin pembakaran dan, khususnya, dengan teknologi hibrid sebagai teknologi peralihan ke arah pemanduan elektrik sepenuhnya. Adalah penting untuk memberikan respon terhadap permintaan dan keinginan pelanggan yang semakin pelbagai. smart tidak boleh mengecualikan sebarang penyelesaian teknologi untuk masa hadapan pada masa sekarang,” kata jurucakap smart Eropah kepada Autocar.
Bukan hanya smart, malah beberapa jenama di bawah Geely turut membuat langkah yang sama. Volvo misalnya, telah menangguhnya perancangannya untuk menjadi jenama 100% menjelang 2030, begitu juga dengan Lotus yang mengesahkan bahawa Emira kini bukan lagi model terakhirnya dengan enjin pembakaran dalaman.
Malah jenama yang memang diperkenalkan terus untuk menjadi jenama EV 100% iaitu Zeekr juga dilaporkan bakal tampil dengan model hibrid yang akan didedahkan di acara Auto Shanghai 2025 April nanti.
Tidak sukar untuk jenama-jenama di bawah Geely ini untuk membuat ‘pusingan-U’ terhadap halatuju masing-masing bagi memenuhi kehendak pelanggan kerana kumpulan automotif China itu kini mempunyai dua entiti yang masih membangunkan enjin pembakaran dalaman iaitu Aurobay (bekas divisi unit rangkaian kuasa Volvo-Geely) dan juga Horse Powertrain (menerusi kerjasama Geely-Renault).
Bagi smart #5 PHEV yang tular tersebut, ia berkemungkinan akan menggunakan unit rangkaian kuasa NordThor EM-1, iaitu unit sama dipadankan pada Geely EX5/Proton eMas 7 dalam versi PHEV iaitu Geely Galaxy Starship 7. Unit tersebut menggandingkan enjin 1.5 liter empat-silinder NA berkuasa 111 PS/136 Nm dan juga motor elektrik bersama transmisi DHT (Dedicated Hybrid Transmission) yang menghasilkan kuasa keseluruhan 218 PS/262 Nm.
Pada Geely Galaxy Starship 7, unit rangkaian kuasa tersebut digerakkan oleh bateri litium logam fosfat (LFP) ‘bilah pendek’ keluaran Aegis berkapasiti 19.09 kWj, memberikan jarak gerak elektrik sepenuhnya sejauh 120km. Sekiranya ia digunakan secara hibrid, satu tangki bahan api bersama satu cas penuh bateri membolehkan model berkenaan bergerak sejauh 1,420 km.
Buat masa sekarang smart #5 hanya ditawarkan dalam versi EV pada pasaran China. Ia ditawarkan dalam dua varian pacuan roda belakang iaitu dengan motor 340 PS atau 363 PS, dan juga varian pacuan semua roda dengan dua motor elektrik menghasilkan kuasa keseluruhan 645 PS.
GALERI: smart #5 EV
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
This article is butchering the National Language