Toyota RAV4 2025 dikatakan mula terlihat – gambar tersebar dengan rekaan berpetak, varian EV, PHEV?

Toyota RAV4 2025 dikatakan mula terlihat – gambar tersebar dengan rekaan berpetak, varian EV, PHEV?

Memandangkan Toyota RAV4 XA50 generasi kelima yang ada sekarang sudah berusia tujuh tahun, masa untuk ketibaan model baru memang sudah sampai. Sementara ramai yang sedang mencari petunjuk, laman dari Australia, Drive, melaporkan gambar model baru ini sudah tersebar dalam Weibo.

Katanya, gambar ini diambil semasa persidangan pengedar di China berkenaan produk GAC Toyota (syarikat kerjasama yang kini masih mengeluarkan RAV4 generasi kelima di Guangzhou dengan nama Wildlander). Gambar ini juga menunjukkan model yang mirip dengan prototaip yang tersebar dalam forum CocheSpias.

Jika dilihat, model dalam gambar ini menggunakan konsep rekaan terkini Toyota yang dipanggil sebagai “Hammerhead”, dengan lampu hadapan berbentuk C serta gril yang nipis – mula dilihat pada Prius terbaru dan kini turut digunakan pada Camry. Gril honeycomb sama warna dengan badan pula menyamai seperti yang terdapat pada Corolla Cross facelift, bersama dengan bukaan udara besar di tepinya.

Pergi menghala ke belakang bonetnya mempunyai bahagian tepi yang tinggi – mungkin untuk memudahkan pemandu melihat bucu hadapannya – dan seterusnya membawa kepada bumbung warna hitam, Bahagian tepi pula menampakkan banyak garis bersegi serta lengkuk roda belakang yang gemuk.

Toyota RAV4 2025 dikatakan mula terlihat – gambar tersebar dengan rekaan berpetak, varian EV, PHEV?

Bahagian keliling roda dijadikan rata dan kemasannya menggunakan plastik hitam, hampir sama seperti model sedia ada. Ini memberi bayangan model baru ini masih akan dibina atas platform Toyota New Global Architecture versi K (TNGA-K) seperti model generasi kelima dan bukannya model serba baru. Tapi sekurang-kurangnya, semua panel badan kelihatan baru.

Kita boleh menjangkakan RAV4 baru ini nanti akan datang dengan beberapa teknologi baru, termasuk skrin baru serta fungsi kawalan suara maju. Ia juga sepatutnya dinaik taraf dengan pakej bantuan pemandu Toyota Safety Sense 3.0, sementara pada bahagian mekanikal berkemungkinan ditambah dengan pilihan enjin hibrid baru. Pada Camry, enjin 2.5 liter Dynamic Force dengan bantuan elektrik terbaru Toyota ini mampu menghasilkan 230 PS dan memberikan jarak gerak 1,250 km.

Laman Jepun, Creative Trend pula mengatakan bahawa RAV4 baru juga bakal menerima enjin plug-in hybrid yang dinaik taraf, dengan jarak gerak elektrik penuh sehingga 130 km. Turut dijangka adalah varian elektrik penuh.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required