GIIAS 2023: Toyota RAV4 GR Sport PHEV dilancarkan – plug-in hybrid 306 PS; Safety Sense; dari RM346k

GIIAS 2023: Toyota RAV4 GR Sport PHEV dilancarkan – plug-in hybrid 306 PS; Safety Sense; dari RM346k

Indonesia telah pun menerima kemasukan Toyota RAV4 GR Sport PHEV, yang dilancarkan sempena penganjuran Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) yang sedang berlangsung. Ditawarkan pada harga 1.15 bilion rupiah (RM345,899), SUV ini merupakan model elektrifikasi ketiga termahal dalam barisan model tempatan selepas versi hibrid bagi Alphard dan bZ4X.

Penjana kuasa plug-in hybrid bagi RAV4 ini terdiri daripada unit A25A-FXS 2.5 liter naturally-aspirated empat-silinder sebaris petrol dengan suntikan bahan api D45 (port & direct) yang boleh menghasilkan 185 PS (182 hp atau 136 kW) pada 6,000 rpm dan tork 227 Nm dari 3,200 hingga 3,700 rpm.

Enjin ini juga digabungkan dengan E-CVT dan disertai oleh motor elektrik hadapan pada kadar 182 PS (180 hp atau 134 kW) dan 270 Nm. Sementara itu, motor elektrik kedua yang terletak di belakang menjana sistem pacuan semua-roda E-Four dan menghantar 54 PS (54 hp atau 40 kW) dan 121 Nm. Keseluruhan sistem kuasa yang terhasil bagi penjana kuasa ini mencecah 306 PS (302 hp atau 225 kW).

Kuasa dari motor elektrik menjana bateri lithium-ion dengan kapasiti tenaga 18.1 kWh, dan pengecasan penuh menggunakan pengecas onboard AC 6.6-kW mengambil masa sekitar 2.5 jam. Bagi pengecasan penuh, SUV ini mampu dipacu dengan jarak gerak elektrik sepenuhnya hingga 75 km mengikut kitaran WLTP.

Sebagai model GR Sport, RAV4 ini didatangkan dengan gaya yang menyerlah. Pada bahagian hadapannya, gril diberikan kemasan berbeza dengan lencana GR, sementara bampar hadapan dan belakang juga menerima rekaan yang berlainan, selain turut diberikan dua corong ekzos.

Selain itu, ia juga diberikan lampu kabus, roda aluminium 19-inci dengan rona hitam berkilat serta suspensi talaan-GR. Dua warna luaran ditawarkan iaitu Platinum White Pearl dan Emotional Red 2, kedua-duanya kontras dengan bumbung hitam.

Di dalamnya, lencana GR diposisikan di tempat duduk dan stereng balutan kulit. Selain itu, ia turut diberikan kawalan suhu dwi-zon, kluster instrumen digital 12.3-inci, dan sistem infotainmen skrin sesentuh 10.3-inci. Sistem telematik T Intouch juga sebahagian daripada kit standard yang disenaraikan, bersama dengan kelengkapan Toyota Safety Sense konprehensif bagi sistem bantuan pemandu termaju (kawalan kelajuan adaptif, lampu tinggi automatik, brek kecemasan sendiri dan banyak lagi).

Difahamkan Toyota Astra Motor yang membawa masuk RAV4 GR Sport PHEV di Indonesia tidak menjangkakan jualan yang tinggi dan model ini termasuk dalam pesanan segera serta waktu menunggu sekitar tiga bulan. Malahan RAV4 PHEV ini juga antara model Toyota dalam barisan model masa kini yang ditawarkan dengan harga hampir sekali ganda berbanding versi hibrid termasuk Yaris Cross, Corolla Cross dan Kijang Innova Zenix.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required