Proton Cars Nepal telah mengesahkan bahawa model EV pertama jenama automotif Malaysia itu, Proton eMas 7 akan dilancarkan pada pasaran berkenaan tidak lama lagi. Pengumuman itu dibuat menerusi hantaran laman Facebook wakil Proton di Nepal berkenaan namun ia tidak memperincikan dengan lebih lanjut berkenaan tarikh pelancaran rasmi dan juga spesifikasi yang bakal ditawarkan.
Menerusi laporan media tempatan TechLekh, Proton eMas 7 akan dilancarkan di Nepal pada minggu ketiga bulan Mac, dan bakal ditawarkan dalam dua varian iaitu Light dan Max. Dengan duti kenderaan import yang boleh melebihi 200% di sana, EV ini akan dijual pada harga bermula NPR58.9 lakh (RM189,500) untuk varian Light sehingga NPR68.9 lakh (RM221,600) untuk varian Max.
Laporan itu juga menyebut bahawa kedua-dua varian eMas 7 pasaran Nepal ini akan menerima motor elektrik tunggal berkuasa 218 PS/320 Nm, dengan varian Light diberikan bateri 49.52 kWj bagi memberikan jarak gerak sejauh 345 km (WLTP), manakala varian Max pula diberikan bateri 60.22 kWj untuk jarak gerak 410 kWj (WLTP).
Perincian lain yang turut disahkan termasuk skrin sesentuh utama bersaiz 15.4-inci dan paparan instrumen dengan skrin 10.2-inci. Melihat kepada spesifikasi tersebut, kedua-dua varian tersebut berkemungkinan besar adalah menyamai penawaran varian Prime dan Premium bagi eMas 7 pasaran Malaysia.
Selain eMas 7 ini, Proton Nepal yang diwakili oleh Jagdamba Motors kini sudah pun menjual beberapa model Proton lain termasuk Saga, X50 dan juga X70.
GALERI: Proton eMas 7 Premium 2025 pasaran Malaysia
GALERI: Proton eMas 7 Prime 2025 pasaran Malaysia
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.