Antara perkara yang boleh dijangkakan dan disahkan oleh Perodua untuk tahun ini ialah kehadiran dan pengenalan sebuah full model change (FMC). Perkara ini selari dengan sasaran syarikat itu untuk menggandakan pelaburannya bagi memastikan daya tahan dari sudut kemampuan pengeluaran, terutamanya untuk pembangunan model-model baru.
Pada kebiasaannya, FMC ini merujuk kepada model sedia ada yang diberi rekaan dan penawaran baru, dan bukannya model serba baru. Bagaimanapun, satu daripadanya telah memang disahkan untuk tahun ini dalam bentuk kereta elektrik pertama oleh Perodua. Maka, ini memberi bayangan bahawa akan ada model semasa Perodua ketika ini — antara Axia, Bezza, Myvi, Alza, Ativa dan Aruz — yang akan diberikan pembaharuan.
Tolak model-model yang masih boleh dikira baru seperti Axia, Alza dan Ativa, serta model “sejuk” Aruz, hanya tinggal Bezza dan Myvi yang menjadi calon paling layak untuk diberikan model baru yang lebih segar. Bezza dilancarkan pada 2016, manakala Myvi generasi ketiga pada 2018 — dan kedua-duanya merupakan model laris bagi Perodua.
Bezza terutamanya sudah sangat layak untuk dihadirkan dalam rekaan baru. Ini kerana ia masih menggunakan asas dari Axia generasi terdahulu, rekaan juga sudah agak ketinggalan dan kurangnya ciri beg udara serta sistem bantuan pemandu seperti yang ditawarkan untuk model-model lain Perodua.
Bezza juga menjadi model Perodua yang paling ringkas untuk diberikan pembaharuan: dengan Axia terkini yang diperkenalkan pada 2023, dan hanya perlu ditambahkan bahagian butnya. Selain itu, Bezza juga kekal sebagai model paling laku Perodua walaupun usianya dalam pasaran sudah lama.
Myvi pula telah menjadi model baru pertama yang membawa bersamanya era baru Perodua ketika diperkenalkan sebelum ini, terutamanya dari segi keselamatan. Sejak dilancarkan tujuh tahun lalu, Myvi diberikan kemaskini yang penting, tetapi sudah sampai ke hujung usia dan perlu diberikan pembaharuan penawaran — dan, ia juga masih menggunakan platform lama Daihatsu berbanding Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang lebih baru.
Semacam kena pada waktunya bagi kedua-dua model utama ini layak diberi pembaharuan ketika Perodua sedang mengorak langkah untuk memperkukuh aspek pembangunan produk syarikat itu. Kedua-dua Bezza dan Myvi juga menampilkan kemampuan kejuruteraan dan rekaan Perodua, dengan bahagian kerangka rekaan badan dilakukan sendiri menggunakan platform sedia ada. Ini sudah jauh meninggalkan aktiviti rebadging dan mengubah rekaan minor ke atas model Daihatsu seperti di awal-awal kewujudannya.
Tidak berlebihan untuk menjangkakan yang Bezza atau Myvi akan diberi rekaan luaran yang serba baru, serta lebih penting, memanfaatkan platform DNGA. Jika betul, ini akan menjadi kali pertama Perodua melakukan kejuruteraan menyeluruh sendiri terhadap platform terkini itu, memandangkan model DNGA sebelum ini masih menggunakan asas daripada model Daihatsu dan Toyota.
Untuk janaan kuasa, Bezza atau Myvi boleh dijangkakan akan terus menggunakan unit sedia ada, enjin 1KR-VE 1.0 liter tiga-silinder dan 1NR-VE 1.3 liter empat-silinder untuk Bezza, manakala unit 2NR-VE 1.5 liter empat-silinder untuk Myvi, yang digandingkan dengan transmisi Dual-Mode CVT (D-CVT) terkini.
Jadi, model yang mana satu akan diperkenalkan dahulu?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.