Yang dijangka berlaku, akhirnya berlaku – menerusi laman web rasminya, Nissan Jepun mengumumkan bahawa ia kini telah menghentikan pengambilan tempahan untuk kereta sport terulung jenama itu iaitu GT-R R35.
“Kami telah menerima banyak tempahan untuk Nissan GT-R, dan kami perlu berhenti dari menerima tempahan sekarang untuk kuantiti produksi yang telah dirancang. Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tulus kepada ramai pelanggan kami atas sokongan mereka selama bertahun-tahun sejak pelancaran model tersebut pada tahun 2007,” tulis Nissan Jepun dalam kenyataan yang disiarkan pada laman sesawang rasmi mereka.
Nissan GT-R generasi R35 ini membuat kemunculan sulungnya pada Oktober 2007, iaitu ketika berlangsungnya Tokyo Motor Show tahun berkenaan. Sejak itu ia telah diproduksi dalam pelbagai facelift, kemaskini kelengkapan dan mekanikal, pelbagai edisi khas dan terus berada dalam bilik pameran selama 18-tahun.
Walaupun Nissan telah mendedahkan model konsep yang mungkin merupakan bayangan kepada GT-R generasi R36 yang digelar sebagai Hyper Force Concept EV pada Oktober 2023, sehingga kini masih belum apa-apa yang pasti berkenaan model pengganti GT-R berkenaan.
Menerusi temubual penulis bersama ‘Godfather of Modern Nissan GT-R’ Hiroshi Tamura tahun lalu, model generasi baharu Nissan GT-R mungkin hanya akan membuat kemunculan pada 2028 atau 2029. Menurutnya lagi, buat masa sekarang Nissan masih belum melakukan apa-apa pembangunan terhadap model tersebut, dan ia masih diperingkat mencari solusi yang paling sesuai untuk menentukan unit rangkaian kuasa yang akan digunakan.
Nissan juga kini dilihat dalam krisis kewangan dan mungkin akan muflis dalam masa setahun sekiranya tidak dapat mencari pelabur yang stabil. Mungkin faktor ini akan melambatkan lagi pengenalan model sport lagenda generasi baharu berkenaan?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.