Nissan Hyper Force Concept EV – bayangan GT-R generasi baharu dengan kuasa elektrik 1,360 PS!

Nissan Hyper Force Concept EV – bayangan GT-R generasi baharu dengan kuasa elektrik 1,360 PS!

Nissan GT-R R35 sudahpun berada lebih dari 15 tahun dalam pasaran selepas diperkenalkan di Jepun pada Disember 2007. Dan tak logik sekiranya model generasi baharu ‘R36’ nanti untuk terus menggunakan enjin pembakaran dalaman bukan? Ini dia, Nissan Hyper Force Concept yang didedahkan di Japan Mobility Show 2023 hari ini yang memberikan gambaran Nissan GT-R generasi baharu yang dijana sepenuhnya dengan kuasa elektrik!

Menurut Nissan, Hyper Force Concept ini disasarkan bagi “memberikan keseronokan pemanduan terbaik di samping menawarkan prestasi persekitaran yang tinggi dan keselesaan untuk kegunaan harian.” Jadi, model konsep ini menerima dua motor elektrik dengan jumlah kuasa keseluruhan 1,000 kW (1,360 PS) dan menerima bekalan elektrik dari bateri solid sepenuhnya.

Seperti biasa, kedua-dua motor berkenaan diletakkan masing-masing di gandar hadapan dan belakang bagi memberikan pacuan semua roda, dan agihan tork untuk kesemua roda dibuat menerusi sistem e-4ORCE yang sudahpun diperkenalkan dalam produksi menerusi SUV EV Nissan Ariya.

Nissan Hyper Force Concept EV – bayangan GT-R generasi baharu dengan kuasa elektrik 1,360 PS!

Walaupun Nissan tidak menyebut apa-apa berkenaan GT-R dalam kenyataan media yang dikeluarkan, rekaan Hyper Force ini jelas menerima beberapa perincian ikonik GT-R seperti bentuk badan coupe dua-pintu serta lampu belakang dengan rekaan bulat berkembar. Malah pada bahagian tengah gril hadapan turut kelihatan emblem seakan logo GT-R yang dikaburkan.

Badan Hyper Force Concept ini menampilkan penggunaan karbon berkekuatan tinggi bagi menghasilkan badan yang ringan. Ia juga menerima rekaan luaran yang mampu menjana “daya downforce yang kuat”, dihasilkan oleh sayap perlumbaan Nissan sendiri iaitu Nismo.

Struktur aerodinamik dua-tingkat di bawah bonet kereta ini menawarkan bukan sahaja downforce, malah memberikan prestasi penyejukkan lebih baik. Ia turut dibantu dengan rekaan diffuser berkembar yang begitu agresif pada bampar belakang.

Perincian aerodinamik lain yang turut dibekalkan termasuk canard hadapan, flip pada bahagian atas fender hadapan, sayap GT ‘leher angsa’ di belakang, dan juga actuator plasma yang menyekat pemisahan udara bagi memaksimumkan cengkaman melalui pengurangan daya angkat roda bahagian dalam ketika mengambil selekoh.

Untuk roda, Hyper Force Concept ini diberikan rim binaan karbon forged, yang direka bagi meningkatkan lagi aspek aerodinamik serta membantu penyejukan sistem brek.

Dua mod pemanduan diberikan pada Nissan Hyper Force ini iaitu GT untuk Grand Touring dan R untuk Racing (kalau digabung jadi GT-R kan?). Grafik paparan instrumen akan berubah mengikut mod pemanduan yang dipilih pemandu, dan ia direka bagi memaparkan informasi yang diperlukan oleh pemandu dalam situasi-situasi tertentu.

Dalam mod GT, kabin kereta ini akan diterangi dengan lampu biru dan skrin-skrin satelit akan bergabung bagi menjadikan satu antaramuka tunggal dan menawarkan kawalan untuk sistem pendingin hawa, audio, suspensi dan juga larasan penstabil.

Manakala dalam mod R, warna biru akan berubah menjadi merah. Skrin-skrin satelit pula akan memaparkan maklumat seperti cengkaman tayar dan suhu, tekanan udara, suhu cakera brek, agihan kuasa dan pelbagai lagi.

Grafik-grafik ini adalah dihasilkan oleh Polyphony Digital, iaitu pihak yang sama membangunkan dan menerbitkan simulator pemanduan Gran Turismo untuk pelantar Playstation, yang sebelum ini turut menghasilkan grafik paparan pelbagai informasi pada Nissan GT-R R35.

Tempat duduk pada Nissan Hyper Force ini turut dibuat menggunakan material gentian karbon yang ringan, serta turut dilengkapi dengan tali pinggang keselamatan empat-poin ala-kereta lumba. Ketika tidak berjalan, pemandu dan penumpang boleh menggunakan sistem realiti terimbuh (AR) dan juga realiti maya (VR) yang disediakan bagi berlumba secara maya di dalam kabin.

GALERI: Gambar rasmi Nissan Hyper Force Concept 2023

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required