Autobacs Super GT 2025 Malaysia bakal berlangsung pada 27-28 Jun di Sepang, tiket sudah mula dijual

Autobacs Super GT 2025 Malaysia bakal berlangsung pada 27-28 Jun di Sepang, tiket sudah mula dijual

Haro Sports & Entertainment, pemegang hak dan promoter untuk pusingan Autobacs Super GT di Malaysia hari ini mengumumkan bahawa tiket untuk perlumbaan berkenaan kini sudahpun mula dijual. Perlumbaan berkenaan akan berlangsung dari 27 hingga 28 Jun ini di Litar Antarabangsa Sepang Petronas sebagai pusingan ketiga Autobacs Super GT 2025.

Satu-satunya pusingan Super GT 2025 yang dilangsungkan diluar Jepun, dan yang pertama sejak 2019 itu juga akan menampilkan festival makanan dan kebudayaan Jepun, dan ia turut akan menjadi pusingan pertama perlumbaan GR86 Cup Series Malaysia 2025 yang diperkenalkan buat julung kalinya di sini.

“Super GT terus dikenali dengan suasana seperti karnival. Ia adalah salah satu daripada beberapa acara antarabangsa yang membolehkan peminat mendekati secara lebih peribadi dengan pemandu, pasukan dan kereta kegemaran mereka, Ia adalah acara yang penuh warna dan watak yang menawarkan pelbagai aktiviti daripada sesi pit terbuka, pit walk, grid walk dan safari litar kepada paparan pelbagai gerai jualan dan barangan. Festival Super GT Malaysia 2025 tahun ini juga akan menyaksikan sambutan yang menarik dan bertemakan tema budaya Jepun,” kata Rakan Pengurusan Haro Sports & Entertainment Fahrizal Hasan.

Festival makanan dan kebudayaan Jepun yang akan berlangsung sekali dengan perlumbaan ini dikenali sebagai Nihon Matsuri, iaitu acara tahunan yang dianjurkan oleh Trumpet International, dikenali sebagai festival ini makanan dan kebudayaan terbesar di Malaysia.

Manakala untuk siri perlumbaan GR86 Cup Series Malaysia, sebanyak 30 buah GR86 akan bersaing dalam siri tersebut, di mana tiga pusingan akan berlangsung selepas pusingan pertama diadakan bersama perlumbaan Autobacs Super GT berkenaan, menjadikan empat pusingan secara keseluruhan berlangsung untuk musim pertama ini.

Secara tradisinya, Super GT masih dilangsungkan dalam dua kategori iaitu GT500 dan GT300, di mana kedua-duanya dilangsungkan serentak, dilepaskan dengan cara rolling start, serta setiap kereta perlu menampilkan dua orang pelumba.

Namun untuk mereka yang mungkin sudah lama tidak mengikuti perlumbaan ini, kereta-kereta GT500 terkini sudahpun dibina berdasarkan undang-undang FIA Class 1 Touring Car, iaitu undang-undang sama digunakan oleh kejohanan DTM yang berlangsung di Jerman.

Oleh itu kesemua kereta lumba GT500 terbaharu kini menampilkan casis jenis spaceframe, menggunakan enjin 2.0 liter empat silinder turbo dan memacu roda belakang. Tiga pengeluar automotif utama Jepun masih lagi berlumba dalam kategori ini iaitu Nissan dengan Z GT500, Toyota dengan GR Supra GT500 dan juga Honda dengan Civic Type R GT.

Sementara untuk kategori GT300, kebanyakkan pasukan kini menggunakan jentera dalam spesifikasi FIA GT3 seperti Mercedes-AMG GT3, Nissan GT-R Nismo GT3 dan pelbagai lagi. Namun masih ada pasukan yang masih menggunakan jentera-jentera ‘Mother Chassis’ (MC), iaitu jentera lumba yang dibina berasaskan kereta-kereta produksi yang diambil dari bilik pameran, dan juga jentera yang dibina berdasarkan JAF-GT300.

Antara jentera MC GT300 yang akan bertanding termasuk GR Supra pasukan Green Brave Racing yang dibina oleh salah satu pengedar Toyota di Jepun iaitu Saitama Toyopet, dan juga jentera yang menggunakan enjin boxer empat-silinder dalam perlumbaan ini iaitu Subaru BR-Z GT300 dibangunkan dengan spesifikasi JAF-GT300.

Ini merupakan kali pertama perlumbaan Super GT kembali ke Malaysia selepas 12 tahun di mana Sepang pernah menganjurkan perlumbaan tersebut bermula musim 2000 hingga 2013. Sebanyak lapan pusingan perlumbaan dirancang untuk siri perlumbaan Super GT bagi musim 2025 ini, bermula dengan pusingan pertama yang akan dilangsungkan di Litar Antarabangsa Okayama pada 12 hingga 13 April.

Untuk mendapatkan tiket, anda sudah boleh membuat pembelian secara online menerusi laman web rasmi Super GT Malaysia. Tiket dijual pada harga RM100 untuk Grandstand K1, RM250 untuk Grandstand Utama. Namun untuk tempoh masa terhad, pembeli-pembeli tiket terawal akan diberikan harga istimewa lebih murah iaitu RM80 untuk Grandstand K1, RM200 untuk Grandstand Utama, dan RM2,000 untuk lounge GT Club Paddock Hospitality.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required