VIDEO: GR Supra GT500 semua pasukan didedahkan

Seperti yang telah dilaporkan sebelum ini, Toyota mengesahkan akan kembali ke kejohanan Super GT Jepun untuk musim 2020 dengan Supra generasi A90 baharu, setelah 14 tahun hanya diwakili divisi mewahnya iaitu Lexus dalam perlumbaan berkenaan. Dan kini, kesemua pasukan bertanding menggunakan jentera GR Supra GT500 tersebut didedahkan dalam satu video pendek.

Sebanyak enam pasukan akan berlumba dengan GR Supra dalam kategori GT500 pada Super GT musim ini iaitu TGR Team Wako’s Rookie, TGR Team WedsSport Bandoh, TGR Team au’ TOM’s, TGR Team KeePer TOM’s, TGR Team ZENT Cerumo dan TGR Team SARD.

Seperti yang anda boleh lihat dalam video, ada berberapa pasukan yang masih mengenakan livery perlumbaan GT500 yang sama ketika era kegemilangan model generasi keempat Supra A80 dahulu seperti Denso SARD Supra dan juga ZENT Cerumo Supra. Untuk pasukan TOM’s pula, walaupun ia tidak lagi diberikan grafik Castrol seperti Castrol TOM’s Supra dahulu, nombor perlumbaan ’36’ dan ’37’ masih kekal pada kedua-dua GR Supra mereka.

Walau bagaiamanapun, spesifikasi teknikal jentera-jentera GR Supra GT500 ini masih lagi belum didedahkan. Namun untuk pengetahuan anda, kesemua jentera GT500 untuk perlumbaan Super GT kini perlu dibina berdasarkan undang-undang FIA Class 1, sama seperti Kejohanan Touring Car Jerman atau lebih dikenali sebagai DTM. Dalam undang-undang ini, kesemua jentera hanya dibenarkan menggunakan enjin turbo empat-silinder 2.0 liter.

GR Supra GT500 bakal berentap dengan dua lagi musuh tradisinya dalam Super GT tahun ini iaitu Honda NSX-GT dan juga Nissan GT-R Nismo GT500. GT Association (GTA) telah mengumumkan bahawa akibat pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia sekarang, keseluruhan jadual musim 2020 ini terpaksa ditunda.

Tiada perlumbaan yang akan dibatalkan sepanjang musim ini namun disebabkan pusingan pertama di Okayama yang sepatutnya berlangsung bulan lalu ditangguh ke 11 dan 12 Julai, pusingan yang akan diadakan di Asia Tenggara iaitu Sepang dan Burriram, Thailand akan dianjak mungkin ke Disember 2020 atau Januari 2021.

Sepang sepatutnya menjadi tuan rumah perlumbaan ini pada 16 hingga 19 Julai nanti sebagai pusingan kelima, dua minggu selepas selesai pusingan keempat di Thailand. Malaysia kembali menganjurkan perlumbaan ini selepas menarik diri tujuh tahun lalu, dan ia akan menjadi pusingan Super GT pertama dalam sejarah yang akan diadakan pada sebelah malam.

Pusingan di Suzuka turut ditangguh – sepatutnya berlangsung pada 30 hingga 31 Mei, kini ia dijadualkan semula akan berlangsung sebelum dua pusingan akhir yang diadakan luar dari Jepun.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required