Honda NSX, Nissan GT-R Nismo dan Toyota GR Supra Super GT 2020 didedah – 3 gergasi berentap kembali!

Honda NSX, Nissan GT-R Nismo dan Toyota GR Supra Super GT 2020 didedah – 3 gergasi berentap kembali!

Minggu ini, tiga gergasi automotif Jepun – Honda, Nissan dan Toyota – mendedahkan ayam tambatan masing-masing untuk siri Kejohanan Super GT bagi musim hadapan secara serentak dalam satu majlis. Untuk tahun 2020, ketiga-tiga jenama tersebut akan mempertaruhkan tiga nama ikonik dari era 90’an iaitu Honda NSX, Nissan GT-R dan juga Toyota Supra.

Seperti musim lalu, sejak dari 2014, kesemua jentera untuk kategori GT500 menggunakan undang-undang FIA Class 1, sama seperti Kejohanan Touring Car Jerman atau lebih dikenali sebagai DTM. Dalam undang-undang ini, kesemua jentera hanya dibenarkan menggunakan enjin turbo empat-silinder 2.0 liter, bermaksud enjin-enjin dari model produksi tidak akan digunakan oleh mana-mana pasukan.

Bagi Toyota, musim hadapan merupakan musim kelahiran semula jenama tersebut bersama nama ‘Supra’ setelah 14-tahun tugas berkenaan digalas oleh Lexus bermula pada musim 2007. Kereta lumba sebenar GR Supra Super GT yang didedahkan kali ini menampilkan rupa yang hampir sama dengan versi konsep yang muncul pada Tokyo Auto Salon 2019 awal tahun ini.

Jentera lumba baharu ini direka lebih rendah dari versi produksi, manakala bampar versi konsep sebelumnya yang direka dengan liang kemasukan lebih besar berbentuk petak digantikan dengan unit yang lebih hampir kepada Supra A90 di bilik pameran. Satu liang udara tambahan juga dapat dilihat diletakkan di bahagian bawah logo Toyota hadapan.

Fender hadapan dilebarkan dengan arch bersegi, bersambung dengan bampar yang juga lebih lebar, serta menempatkan splitter udara sisi. Liang udara pada bonet hadapan pula direka tenggelam, dengan saiz yang juga lebih besar. Skirt sisi jentera lumba ini bukan setakat labuh, malah lebih lebar dengan panel seperti sayap, bersambung dengan ruang roda belakang yang juga lebih lebar.

Bampar belakang juga direka bersegi, bersama diffuser udara bersaiz besar. Manakala GT-Wing di belakang tampil dengan sayap bersaiz gergasi. Kereta lumba sebenar ini juga diberikan rim perlumbaan Volks Racing TE37 yang diikat dengan hanya satu nat pada hub roda.

Untuk Nissan GT-R pula, perincian sebenar kereta lumba baharu ini masih lagi belum didedahkan. Rupanya juga masih hampir sama dengan jentera musim lalu dengan sedikit kelainan pada aspek aerodinamik. Menurut Nissan, kereta ini akan di uji di Litar Suzuka minggu ini bagi melengkapkan pembangunannya sebelum musim 2020 bermula.

Honda NSX juga kelihatan hampir sama dengan mesin perlumbaan tahun lalu. Namun disebalik badan kereta ini, Honda sebenarnya telah melakukan perubahan yang cukup besar – kedudukan enjin NSX yang sinonim di bahagian tengah kini telah dialihkan ke bahagian hadapan!

Honda NSX, Nissan GT-R Nismo dan Toyota GR Supra Super GT 2020 didedah – 3 gergasi berentap kembali!

Langkah ini terpaksa dilakukan oleh Honda kerana undang-undang Class 1 baharu tidak membenarkan kereta dengan kedudukan enjin sedemikian untuk berlumba dalam kategori tersebut. Untuk musim lalu, penganjur Super GT juga terpaksa memberikan penalti 10 kg kepada semua NSX yang bertanding kerana kereta tersebut telah mendominasi semua perlumbaan berkenaan pada separuh musim 2019.

Tiga lagenda yang kembali ‘bergasak’ dalam kejohanan Super GT 2020 bukan satu-satunya berita baik. Kejohanan ini telah disahkan akan kembali ke Litar Antarabangsa Sepang musim ini, dan ia akan diadakan pada waktu malam. Malaysia dipilih menjadi tuan rumah untuk pusingan ke lima Super GT 2020, namun tarikh sebenar perlumbaan tersebut masih belum diumumkan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required