Seperti yang kami laporkan ketika kunjungan ke Tokyo Auto Salon (TAS) 2019 Januari lalu, Toyota mengesahkan akan kembali ke kejohanan Super GT Jepun untuk musim 2020 dengan Supra generasi A90 baharu. Bagi memberi amaran awal kepada pasukan-pasukan lain yang turut bertanding, Toyota telah menyiarkan satu video yang memaparkan lagenda-lagenda Supra generasi sebelumnya – A80 – bersama pemandu-pemandu terdahulu.

Kereta pertama yang muncul pada video ini tentulah jentera yang paling ikonik iaitu Castrol TOM’S Supra GT500 yang bertanding dalam All-Japan Grand Touring Car Championship (JGTC – nama lama bagi perlumbaan Super GT) yang muncul buat pertama kali pada tahun 1995, dan di pandu oleh Masanori Sekiya.

Sekiya merupakan pemandu yang tidak asing dengan Toyota, dan telah berlumba untuk jenama berkenaan sejak sekian lama termasuk mengemudi jentera Fujitsu Ten Supra A70 Turbo Group A pada perlumbaan JTCC 1990. Manakala Castrol TOM’S Supra ini berjaya memenangi gelaran juara JGTC untuk musim 1997 menerusi pasangan pemandu Micheal Krumm dan Pedro De La Rosa.

Seterusnya adalah satu lagi jentera ikonik Esso Ultraflo Supra untuk perlumbaan Super GT tahun 2002. Jentera ini dipandu oleh pasangan Akira Iida dan Juichi Wakisaka – mereka turut mencapai keputusan yang sama iaitu juara keseluruhan Super GT 500 untuk musim 2002.

Selepas itu, jentera JGTC Cerumo Supra GT500 2001 pula muncul – ia dipandu oleh pasangan Yuji Tachikawa dan Takeichi Hirokiri, dan kedua-dua mereka berjaya meraih gelaran juara keseluruhan kategori pemandu untuk kelas GT500 musim berkenaan.

Untuk pengetahuan anda untuk generasi A80 sebelum ini Supra tidak pernah menggunakan enjin asalnya iaitu 2JZ-GTE dalam perlumbaan Super GT. Ini kerana dalam perlumbaan tersebut tidak dinyatakan ia perlu menggunakan enjin asli, sebaliknya hanya dihadkan pada aspek kuasa kuda.

Bagi jentera JGTC 1995, Supra dijana oleh enjin 2.1 liter empat silinder turbo 4T-GTE, kemudian digantikan dengan enjin empat-silinder 2.0 liter turbo 3S-GTE seperti pada kereta lumba Toyota Celica WRC. Enjin-enjin berkenaan tidak mempunyai masalah untuk ditala bagi menghasilkan kuasa maksima 500 hp, dan berbanding enjin enam-silinder 2JZ, rekaan empat-silinder ini lebih ringan dan kompak dan membolehkan ia diletak lebih rendah dan hampir dengan kokpit, bagi mendapatkan nisbah berat dan titik graviti lebih baik.

Namun pada era awal Y2k, jentera Supra Super GT mula dijana oleh enjin 4.3 liter V8 3UZ-FE tanpa bantuan turbo. Enjin berkenaan dipilih kerana dapat menghasilkan tork linear yang lebih besar dari enjin-enjin turbo berkapasiti kecil.

Jentera Super GT Toyota GR Supra generasi baharu berkenaan telah didedahkan pada TAS 2019, tetapi spesifikasinya masih belum dinyatakan oleh Toyota. Namun dari segi rupa, kereta lumba tersebut masih mengekalkan identiti sebuah mesin Super GT sejati dengan muka hadapan lebih rendah, kit aero yang lebih lebar dan bersegi, bersama sayap GT bersaiz gergasi.

Setelah jentera Supra generasi baharu ini berlumba dalam siri Super GT nanti, ia bukan sahaja akan membawa kembali nama Supra dalam Super GT, malah nama Toyota itu sendiri. Ini kerana apabila Supra direhatkan pada akhir musim 2006, ia kemudian diambil alih oleh divisi mewahnya iaitu Lexus bermula pada 2007.

GALERI: Model konsep Toyota GR Supra A90 Super GT 2020 di Tokyo Auto Salon 2019

GALERI: Barisan jentera lumba lagenda Toyota Supra di Tokyo Auto Salon 2019