BYD Dolphin facelift kini di China – bermula RM60k, rupa lebih segar, ADAS God’S Eye, skrin lebih besar

BYD Dolphin facelift kini di China – bermula RM60k, rupa lebih segar, ADAS God’S Eye, skrin lebih besar

Selepas hampir empat tahun dalam pasaran, hatchback EV segmen-B BYD Dolphin kini sudahpun diperkenalkan dalam versi facelift di China. Model kemaskini ini menampilkan perubahan pada rupa luaran dan dalaman, serta menerima sistem bantuan pemanduan yang dipertingkat.

Perubahan ketara boleh dilihat pada bahagian muka di mana ia diberikan lampu hadapan yang tidak lagi selari dengan gril, bersama bampar yang lebih segar. Manakala di belakang, grafik lampu LED kini berubah, serta perkataan ‘build your dreams’ di dalam bar lampu yang merentangi pintu tailgate kini diubah hanya kepada ‘BYD’.

Bampar belakang pula dihasilkan bagi menampilkan rupa yang lebih sporty, sementara bagi pilihan rim aloi 17-inci ia kini hadir rekaan baharu.

Manakala pada sebelah dalam, Dolphin kini menerima paparan instrumen digital lebih besar bersaiz 8.8-inci. Skrin infotainmen juga kini lebih besar dengan saiz 12.8-inci, namun ia kekal dalam posisi melintang dan tidak boleh diputarkan untuk berada dalam posisi menegak.

BYD Dolphin facelift kini di China – bermula RM60k, rupa lebih segar, ADAS God’S Eye, skrin lebih besar

Pada konsol tengah pula, kini tiada lagi suis pemilih gear dan ia digantikan dengan tuil pada kolum stereng. Ini membolehkan bahagian berkenaan menampilkan pemegang cawan lebih besar dan pad pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi dapat di bawa lebih ke hadapan.

Juga tiada lagi ruang storan diletak di bawah skrin utama, dan Dolphin kini menerima roda stereng yang nampak sama seperti pada BYD Seal. Manakala untuk varian tertinggi pasaran China iaitu Knight Edition, ia turut dilengkapi dengan peti sejuk di bawah perehat tangan tengah.

Dolphin juga telah menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) God’s Eye terbaharu BYD secara standard. Untuk lebih spesifik, model ini diberikan sistem asas God’s Eye C (DiPilot 100) yang memberikan fungsi pemanduan autonomasi di lebuhraya, tukar lorong automasi, pengelak halangan dan juga fungsi memori laluan yang membolehkan sistem berkenaan mengingat laluan yang selalu digunakan.

Ia juga datang dengan fungsi parkir valet automasi, dan juga fungsi-fungsi lazim termasuk brek kecemasan automatk dan pemantau titik buta.

BYD Dolphin facelift kini di China – bermula RM60k, rupa lebih segar, ADAS God’S Eye, skrin lebih besar

Konfigurasi unit rangkaian kuasa masih lagi sama di mana kesemua varian hanya menerima satu motor elektrik yang memacu roda hadapan. Model asas yang djual pada harga 99,800 yuan (RM59,900) diberikan motor elektrik berkuasa 95 PS (70 kW) dan tork 180 Nm, digerakkan dengan bateri litium logam fosfat (LFP) Blade 45.12 kWj yang membolehkan ia bergerak sejauh 420 km menerusi kitaran ujian CLTC.

Manakala varian pertengahan Fashion Edition yang dijual pada harga 109,800 yuan (RM66,000) menerima motor elektrik berkuasa 177 PS (130 kW) dan tork 290 Nm, dengan jarak gerak CLTC 410 km. Varian paling tinggi Knight Edition pula dijual pada harga 125,800 yuan (RM75,600), dilengkapi motor elektrik berkuasa 204 PS (150 Kw)/310 Nm bersama bateri 60.48 kWj bagi memberikan jarak gerak CLTC sejauh 520 km.

Lazimnya rekaan dan perincian yang dibekalkan pada BYD Dolphin pasaran China ini agak berbeza sedikit berbanding versi yang diimport keluar termasuk ke Malaysia. Jadi versi kemaskini ini dijangka akan sampai lebih lambat ke sini, paling awal pun mungkin tahun hadapan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • PlaySafeDriveSafe on Mar 09, 2025 at 10:59 am

    Saya berpandangan ‘litium logam fosfat’ kurang tepat untuk huraian singkatan LFP, tetapi yang lebih tepat ialah ‘litium besi fosfat’. Ini adalah kerana ‘logam’ ialah terjemahan daripada bahasa Inggeris untuk perkataan ‘metal’ yang membawa maksud segala jenis logam termasuklah besi, emas, perak, tembaga dan sebagainya. Perkataan ‘besi’ pula jika diterjemahkan kepada bahasa Inggeris ialah ‘iron’ atau bahasa saintifiknya ‘ferum’. LFP dalam bahasa Inggeris ialah ‘lithium iron phosphate’.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required