Mitsubishi Xforce HEV muncul di Thailand – tampil sistem hibrid dengan motor elektrik 116 PS/255 Nm

Mitsubishi Xforce HEV muncul di Thailand – tampil sistem hibrid dengan motor elektrik 116 PS/255 Nm

Varian lebih mesra alam untuk SUV segmen-B Mitsubishi Xforce iaitu Xforce HEV telah pun diperkenalkan secara rasmi di Thailand minggu ini. Versi dengan unit rangkaian kuasa hibrid tersebut akan membuat kemunculan sulung globalnya di Bangkok International Motor Show yang akan berlangsung lewat bulan ini, selepas versi asal yang dijana oleh enjin petrol penuh muncul dikhalayak ramai pada Ogos 2023 di Indonesia.

Xforce HEV ini menerima unit rangkaian kuasa e:Motion yang sama seperti Xpander dan Xpander Cross HEV yang juga telah dilancarkan di Thailand tahun lalu. Sistem tersebut berfungsi seperti sistem hibrid pada Outlander PHEV tetapi dengan hanya satu motor elektrik yang hanya memacu roda hadapan, atau mirip seperti sistem hibrid e:HEV yang ditawarkan oleh Honda.

Ia menggandingkan enjin petrol kitaran Atkinson 4A92 1.6 liter MIVEC empat-silinder berkuasa 95 PS pada takat 5,100 rpm dan tork maksima 134 Nm pada takat 4,500 rpm, di mana enjin ini dalam kebanyakkan masanya hanya berfungsi untuk mengecas bateri litium-ion bagi sistem hibrid.

Mitsubishi Xforce HEV muncul di Thailand – tampil sistem hibrid dengan motor elektrik 116 PS/255 Nm

Manakala roda hadapan dipacu secara primari oleh motor elektrik berkuasa 116 PS dan tork maksima 255 Nm. Namun pada masa-masa tertentu khususnya pada kelajuan tinggi, motor elektrik ini turut akan dibantu oleh enjin petrol untuk memacu roda yang disatukan menerusi klac lock-up.

Menurut Mitsubishi, sistem HEV pada Xforce ini telah berevolusi berbanding sistem yang ditawarkan pada Xpander di mana ia kini menerima gandar penghantaran dengan dua nisbah kelajuan dengan keberkesanan transmisi lebih baik, serta diberikan fungsi pemisah pacuan motor baharu yang akan memutuskan kuasa dari motor ke pacuan roda pada kelajuan tinggi dengan lebih baik.

Ini membolehkan unit rangkaian kuasa HEV pada Xforce ini menggunakan bahan api sekitar 24.4 km setiap liter dengan mengurangkan kehilangan tenaga, dakwa Mitsubishi lagi.

Rupa luaran Xforce petrol penuh dan juga HEV ini masih lagi kelihatan sama. Perbezaan ketara yang boleh dilihat pada model ini hanyalah skrip ‘XFORCE’ yang ditampal pada muncung penutup bonet hadapan, kemasan krom pada gril hadapan, bahagian skid plate bampar hadapan dan belakang yang mengikut warna badan, dan juga tambahan kemasan pada sisi bawah bampar hadapan dan belakang.

Bagi memberitahu bahawa ini model yang diberikan teknologi elektrifikasi, ia diberikan emblem HEV pada gril hadapan dan pintu tailgate belakang, serta lencana ‘Hybrid EV’ pada kedua-dua pintu hadapan. Model HEV ini juga masih mengenakan set rim aloi 18-inci dalam kemasan dua-tona, namun ia menampilkan rekaan jejari yang berbeza.

Saiz Xforce HEV ini juga sama dengan menampilkan dimensi 4,390 mm panjang, 1,810 mm lebar dan 1,660 mm tinggi. Namun, jarak kelegaan tanahnya adalah sedikit rendah dengan ukuran 183 mm, berbanding 222 mm pada Xforce petrol penuh.

Mitsubishi Xforce HEV muncul di Thailand – tampil sistem hibrid dengan motor elektrik 116 PS/255 Nm

Dalam kabin, rekaan papan pemuka juga masih nampak sama bersama skrin infotainmen Display Audio 12.3-inci yang menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Namun ia dibekalkan dengan tombol gear berbeza yang untuk pemanduan hibrid, serta grafik dari paparan instrument digital 8.0-inci yang turut memaparkan informasi-informasi tambahan untuk sistem hibrid.

Model hibrid ini juga masih dibekalkan dengan sistem Active Yaw Control (AYC) seperti model petrol yang mampu mengagihkan tork antara roda kiri dan kanan hadapan mengikut situasi pemanduan. Empat mod pemanduan iaitu Normal, Wet, Gravel dan Mud juga masih diberikan, tetapi ia ditambah dengan mod Tarmac serta dua lagi mod untuk pemanduan hibrid iaitu EV Priority dan Charge.

Manakala untuk keselamatan pula Xforce HEV ini menerima enam-beg udara dan juga sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Safety Sensing Mitsubishi yang menyediakan fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, lampu tinggi automatik, pemberitahu kereta hadapan mula bergerak, amaran titik buta (dengan fungsi bantuan tukar lorong) dan juga amaran lintasan trafik belakang.

Lapan warna badan ditawarkan untuk Xforce HEV pasaran Thailand ini, di mana dua daripadanya adalah tema dua-tona (White Diamond, Energetic Yellow, Red atau Graphite Gray Metallic kesemuanya dengan bumbung hitam) dan juga empat warna satu ton iaitu White Diamond, Graphite Gray Metallic, Blade Silver Metallic dan Jet Black Mica.

Tiga varian Xforce HEV ini disediakan untuk pasaran Thailand, bermula dengan varian asas Xforce HEV Ignite yang dijual pada harga 899,000 baht (RM118,400), Xforce HEV Ultimate berharga 1.039 juta baht (RM136,800) dan varian paling tinggi Xforce HEV Ultimate X dijual pada harga 1.089 juta baht (RM143,500).

Sehingga kini masih belum ada petunjuk Xforce ini akan masuk ke pasaran Malaysia atau tidak – ini kerana ia mungkin sukar untuk bertanding dengan SUV segmen-C di Malaysia yang lazimnya dilengkapi dengan enjin 1.5 liter turbo, sedangkan Xforce hanya dibekalkan dengan enjin 1.5L NA. Namun menerusi Xforce HEV ini, ia nampak lebih relevan untuk pasaran Malaysia, kerana unit rangkaian kuasa e:motion yang dibekalkan adalah setara dengan sistem hibrid pada Honda HR-V RS e:HEV di sini. Anda rasa bagaimana?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required