Hujung bulan lalu Honda sudahpun membayangkan bakal melancarkan versi facelfit untuk HR-V sedia ada. Dan ketika kunjungan kami ke Bangkok International Motor Show 2025 hari ini, model berkenaan ada dipamerkan di reruai Honda Thailand. Jadi kami sediakan satu galeri lengkap bagi tatapan anda untuk SUV yang bakal tiba ke pasaran kita tidak lama lagi ini.
HR-V facelift ini sudahpun dilancarkan di Thailand pada November tahun lalu. Di sana HR-V datang dalam tiga pakej penggayaan iaitu E, EL dan yang paling sporty RS, namun kesemuanya di jana oleh unit rangkaian kuasa hibrid, tanpa pilihan enjin 1.5L NA dan 1.5L VTEC Turbo.
Sekali imbas, rupa bahagian luaran versi facelift ini masih lagi nampak sama seperti sebelumnya. Namun jika anda perhati dengan lebih teliti, model kemaskini ini menampilkan bentuk gril yang sedikit berbeza dengan bahagian bawahnya lebih lebar.
Kedua-dua lampu hadapan juga kini dihubungkan antara satu sama lain menerusi satu kemasan bar perak pada bahagian atas gril. Manakala di belakang, grafik LED pada lampu turut dikemaskini yang kini menampilkan lebih elemen jalur melintang, bersama lensa yang digelapkan.
Bagi varian RS, ia menerima lampu hadapan projektor LED matriks dengan lampu membelok aktif, gril hadapan dengan elemen seperti Honda WR-V pasaran Jepun (dikenali sebagai Elevate di India), kemudian diberikan spoiler bawah bampar hadapan dan kemasan bawah bampar belakang dalam kemasan hitam berkilat.
Juga bergantung pada gred varian, HR-V masih ditawarkan dengan set rim aloi 17- hingga 18-inci, di mana pilihan rim lebih besar berkenaan kini diberikan kemasan dua-tona berbanding warna kelabu penuh sebelum ini. Manakala bagi pilihan warna badan, satu pilihan warna ditambah iaitu Sand Khaki Pearl dengan bumbung berwarna hitam, namun ini hanya untuk varian EL dan RS.
Perubahan kecil turut dibuat pada sebelah dalam, juga jika kita tidak akan perasan sekiranya melihatnya sekali imbas. Perubahan tersebut adalah pada bahagian konsol tengah di mana ia kini tidak menampilkan rekaan yang fokus kepada pemandu.
Model pasaran Thailand ini dilihat datang dengan skrin infotainmen lapan-inci dengan sokongan Apple Carplay dan Android Auto tanpa wayar, manakala liang penghawa dingin, enam pembesar suara dan dua cermin solek dengan lampu kini adalah perincian standard.
Untuk varian EL dan ke atas, ia kini menerima perincian tambahan seperti port USB-C di hadapan dan belakang, tempat duduk pemandu larasan kuasa lapan-hala serta pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi. Manakala sistem bantuan pemanduan Honda Sensing masih ditawarkan secara standard untuk semua, menampilkan fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan Low Speed Follow, bantuan kekal tengah lorong dan pemberitahu mula gerak kenderaan hadapan.
Tiada perubahan untuk unit rangkaian kuasa HR-V ini di mana sistem hibrid e:HEV ini masih merangkumi enjin 1.5L NA kitaran Atkinson yang bertindak secara primari sebagai generator untuk mengecas bateri, bersama motor elektrik yang memacu roda hadapan (pada situasi tertentu kedua-duanya akan memacu roda) menghasilkan kuasa keseluruhan 131 PS/253 Nm.
Penggunaan bahan api untuk unit rangkaian kuasa ini didakwa pada tahap 25.6 km setiap liter, membolehkan satu tangki penuh petrol membolehkannya bergerak sejauh 800 km.
Harga bagi model facelift ini di Thailand adalah masih sama seperti sebelumnya walaupun ia diberikan beberapa tingkat taraf. Varian asas e:HEV E dijual pada harga bermula 949,000 baht (RM124,000), diikuti 1,079,000 baht (RM140,900) untuk e:HEV EL dan 1,179,000 baht (RM154,000) untuk e:EV RS.
Ketika berlangsungnya BIMS kali ini, Honda turut mempamerkan dua buah HR-V facelfit yang masing-masing mengenakan kit aksesori Modulo dan juga Mugen yang ditawarkan sebagai aksesori asli Honda Thailand. Bagi kit Modulo, ia diberikan spoiler hadapan Shark Grey, skirt sisi dan kemasan bawah bampar belakang, gril hadapan dengan elemen tengah berbentuk-U, pelekat ‘HR-V’ tiang-C berwarna hitam, lencana-lencana krom gelap, perapi tip ekzos dan juga lampu pada pintu tailgate yang memancarkan cahaya ke bawah.
Pada bahagian dalaman kit Modulo ini datang dengan kemasan bendul pintu aloi, set pedal aloi, lampu ruang kaki dan juga pelindung matahari untuk cermin tingkap pintu belakang. Honda Thailand menawarkan Urban Package dengan hanya kit badan dengan harga 21,000 baht (RM2,700) dan Utility Package dengan penutup tonneau serta pelindung matahari dengan harga 4,800 baht (RM630).
Manakala untuk pakej Mugen pula, kit badan yang ditawarkan adalah lebih agresif dalam kemasan hitam berkilat, merangkumi spoiler bawah bampar hadapan, skirt sisi, diffuser belakang, spoiler bumbung dan spoiler tengah pintu tailgate. Ia juga datang dengan aksesori luaran Mugen lain seperti jalur merah di bawah gril hadapan, penutup cermin sisi gentian karbon, visor pintu, dan juga pelbagai pilihan rim aloi 18-inci.
Aksesori Mugen untuk bahagian dalam kabin juga ditawarkan seperti karpet dalam warna hitam atau merah, serta perapi bendul pintu gentian karbon. Malah peralatan prestasi Mugen juga ditawarkan seperti pad brek dan juga peredam bunyi dengan dua tip ekzos. Aksesori Mugen ini tidak ditawarkan dalam pakej, dan pembeli boleh memilih komponen yang mereka mahukan, namun ia adalah lebih mahal dari Modulo.
GALERI: Honda HR-V 1.5 e:HEV RS facelift 2025 pasaran Thailand
GALERI: Honda HR-V facelift 2025 pasaran Thailand dengan aksesori Mugen
GALERI: Honda HR-V facelift 2025 pasaran Thailand dengan aksesori Modulo
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.