Bangkok 2025: Riddara RD6 jelmaan trak pikap EV Proton X90, 421 PS/461 km jarak; akan masuk M’sia?

Bangkok 2025: Riddara RD6 jelmaan trak pikap EV Proton X90, 421 PS/461 km jarak; akan masuk M’sia?

Di Bangkok International Motor Show (BIMS) yang sedang berlangsung ketika ini, kumpulan Geely membawakan tiga jenama yang bernaung di bawahnya untuk memperagakan model masing-masing. Selain Geely Auto sebagai yang utama, syarikat itu juga menampilkan jenama Zeekr yang lebih mewah, dan juga Riddara yang mempamerkan model RD6 yang telah dilancarkan untuk pasaran Thailand Oktober tahun lalu.

Trak pikap elektrik ini adalah yang pertama seumpamanya yang dijual di Thailand, mendahului pesaing lain seperti JAC T9 EV, Maxus T90 EV dan juga lebih awal berbandung Toyota Hilux BEV dan Isuzu D-Max EV.

RD6 menggunakan asas dari Multiplex Attached Platform (MAP), merupakan salah satu varian platform yang dihasilkan dari platform Sustainable Experience Architecture (SEA), yang menampilkan konfigurasi suspensi McPherson strut di depan dan multi-link di belakang.

Apa yang menarik, trak pikap ini menggunakan ‘kepala’ SUV Geely Haoyue/Okavango/Proton X90, berkongsi komponen seperti kedua-dua fender hadapan, penutup bonet dan juga lampu hadapan yang sama. Model untuk pasaran Thailand ini menampilkan gril dengan skrip ‘Riddara’ bersaiz besar, pilihan bumbung hitam, dan juga rim aloi 18-inci dua-tona dengan rekaan elemen berbentuk segitiga.

Bangkok 2025: Riddara RD6 jelmaan trak pikap EV Proton X90, 421 PS/461 km jarak; akan masuk M’sia?

Ia juga telah menerima papan pemuka, konsol tengah dan panel pintu baru yang berbeza dengan model awalan Radar RD6 yang dijual di China, menampilkan komponen-komponen yang turut dikongsi dengan SUV Geely Haoyue. Ia juga diberikan paparan instrument digital 10.25-inci dan skrin infotainmen berdiri sendiri. Manakala pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi diberikan untuk semua model kecuali varian asas.

Unit rangkaian kuasa RD6 ini juga masih dikongsi bersama model-model dari platform SEA yang lain seperti smart #1, Volvo EX30 dan Zeekr X. Oleh itu model pacuan belakang menerima motor elektrik tunggal berkuasa 272 PS dan tork maksima 385 Nm, sementara model pacuan semua roda menerima satu lagi motor di bahagian gandar depan bagi menghasilkan kuasa keseluruhan 428 PS dan tork 590 Nm.

Ini membolehkan model pacuan belakang memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat, manakala model AWD dapat membuat pecutan sama hanya dalam masa 4.5 saat. Bagi model-model dengan bateri 63 kWj dan 73 kWj, ia menerima bateri dari jenis lithium iron phosphate (LFP), manakala bateri 86 kWj pula adalah dari jenis nickel manganese cobalt (NMC).

Ini membolehkan varian paling asas 63 kWj pacuan roda belakang boleh bergerak sejauh 373 km untuk sekali cas, manakala versi 2WD dengan bateri 73 kWj pula mampu mencapai perjalanan 461 km. Seterusnya model AWD dengan bateri 74 kWj pula boleh bergerak sejauh 424 km, manakala varian AWD 86 kWj boleh bergerak sejauh 455 km. Semua bacaan ini dalah dalam kitaran NEDC.

Bangkok 2025: Riddara RD6 jelmaan trak pikap EV Proton X90, 421 PS/461 km jarak; akan masuk M’sia?

Untuk pengecasan, model-model yang menerima bateri LFP 63 kWj boleh menampung pengecas DC pantas sehingga 90 kW, membolehkan tahap 30% hingga 80% dipenuhkan dalam masa 32 minit. Manakala model yang menerima bateri LFP 73 kWj pula boleh menerima sehingg 110 kWj, dan cas yang sama boleh dipenuhkan dalam masa 30 minit.

Bagi model dengan bateri NMC 86 kWj, ia hanya boleh menerima pengecas pantas DC sehingga 100 kW, yang mana cas 30% hingga 80% dapat dipenuhkan dalam masa 32 minit. Kesemua varian turut boleh menerima pengecas AC 6.6 kW, di mana bateri 63 kWj boleh dipenuhkan dari 20% hingga 100% dalam masa 7.8 jam, 73 kWj dalam masa 9.3 jam dan 86 kWj dalam masa 11 jam.

Semua varian RD6 ini menampilkan ruang barangan belakang dengan kapasiti 1,200 liter serta boleh membawa beban 1,030 kg — setanding dengan trak-trak pikap 1 tan dengan enjin pembakaran dalaman yang lain. Model pacuan roda belakang boleh meredah air pada kedalaman 500 mm dengan kapasiti menunda 2,500 kg.

Model AWD pula boleh meredah lebih dalam iaitu 815 mm serta kapasiti menunda 3,000 kg dan ditambah dengan mod pemanduan Snow, Mud, Cross-Country dan Water Wading. Model paling berkuasa ini turut menerima ruang but hadapan dengan kapasiti 70 liter.

Antara kelengkapan standard yang diberikan termasuk lampu hadapan dan belakang LED penuh, rim aloi 17-inci, sistem pendingin hawa dua-zon, tempat duduk pemandu larasan kuasa enam-hala, upholsteri kulit sintetik, skrin sesentuh 12.3-inci, fungsi Apple CarPlay dan Carbitlink, empat pembesar suara dan kamera undur.

Riddara RD6 ditawarkan dengan harga bermula 899,000 baht (RM117,000) untuk model asas dengan motor tunggal pacuan roda belakang bersama bateri paling kecil 63 kWj, diikuti model RWD dengan bateri 73 kWj berharga 999,000 baht (RM130,000).

Model dua motor pacuan semua roda pula dijual pada harga bermula 1,149,000 baht (RM149,600) untuk versi dengan bateri 73 kWj, dan varian tertinggi AWD dengan bateri 86 kWj pula dijual pada harga 1,299,000 baht (RM169,000).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required