Kenderaan elektrik (EV) produksi pertama dengan logo Proton iaitu Proton eMas 7 secara rasmi telah dilancarkan di Nepal minggu lalu. Ini menjadikan Nepal menjadi pasaran luar Malaysia pertama yang menerima SUV berkenaan selepas ia dilancarkan di sini pada Disember tahun 2024.
Di Nepal Proton diwakili oleh Jagdamba Motors, yang sebelum ini telah pun melancarkan model-model lain Proton di sana seperti Saga dan X70. Menurut Proton sekarang adalah masa yang tepat untuk melancarkan eMas 7 di Nepal kerana tahap penerimaan terhadap EV disana sedang meningkat akhir-akhir ini.
“Sepanjang empat tahun lalu, kadar penembusan EV di Nepal meningkat dari 6% TIV pada 2021 kepada 73% pada 2024, iaitu peningkatan sembilan kali ganda dari 1,138 unit ke 10,794 unit. Oleh itu, kemasukan Proton ke pasaran adalah tepat pada masanya dan selaras dengan Visi Mobiliti Hijau Nepal serta peralihannya ke arah pengangkutan lestari. Pihak Berkuasa Elektrik Nepal (NEA) telah berjanji untuk membangunkan lebih 300 stesen pengecasan di seluruh negara dalam tiga tahun akan datang dan langkah ini untuk meningkatkan penggunaan kenderaan elektrik dan mengurangkan pergantungan bahan api fosil,” kata Proton dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Proton eMas 7 ditawarkan dalam dua varian dengan nama yang sama seperti di Malaysia pada pasaran Nepal, iaitu eMas 7 Prime dijual pada harga atas jalan tanpa insuran NPR5,699,000 (sekitar RM183k) dan juga eMas 7 Premium berharga NPR6,799,000 (sekitar RM219k). Sebagai perbandingan, eMas 7 dijual di Malaysia pada harga RM109,800 untuk varian Prime dan RM123,800 untuk varian Premium.
Untuk unit rangkaian kuasa, kedua-dua varian eMas 7 pasaran Nepal ini sama seperti model pasaran Malaysia dengan menerima motor elektrik tunggal berkuasa 218 PS/320 Nm, dengan varian Prime diberikan bateri 49.52 kWj bagi memberikan jarak gerak sejauh 345 km (WLTP), manakala varian Premium pula diberikan bateri 60.22 kWj untuk jarak gerak 410 kWj (WLTP).
Begitu juga dengan spesifikasi dengan varian Prime menerima perincian seperti rim aloi 18-inci, skrin sesentuh infotainmen 15.4-inci dengan paparan 2.5k dan sistem bantuan pemandua termaju (ADAS) dengan kebolehan pemanduan Autonomi Tahap 2, manakala varian Premium ditambah dengan rim aloi 19-inci, sistem bunyi Flyme Audio dengan 16-pembesar suara, paparan head-up, tempat duduk hadapan berliang dan lain-lain.
Namun apa yang berbeza, pasaran Nepal menerima satu warna badan tambahan iaitu Hitam Moyu sebagai tambahan lima warna badan lain yang turut ditawarkan di Malaysia iaitu Perak Platinum, Hijau Pirus, Kelabu Slate, Ros Kuarsa, dan Putih Litium.
Walau bagaimanapun pelanggan di Nepal hanya menerima perlindungan waranti selama enam-tahun atau 150,000 km (tanpa had perbatuan di Malaysia). Tetapi waranti untuk bateri dan komponen-komponen terlibat, waranti yang diberikan kekal selama lapan-tahun atau 160,000km.
Proton telah mula menghantar 50-unit eMas 7 dari Malaysia (walaupun ia masih dipasang di China buat masa sekarang) ke Nepal sejak Februari lalu. Sebelum dilancarkan, Proton Nepal telah menjalankan siri jelajah negara tersebut dengan eMas 7 yang dibalut pelekat penyamaran bertemakan Nepal yang memaparkan simbol-simbol nasional dan pemandangan Himalaya, serta perjalanan merentasi semua tujuh wilayah dengan 18 lokasi berhenti di Nepal, termasuk tempat-tempat terkenal seperti Janakpur, Birtamod dan Itahari.
Menurut Proton lagi kempen ini telah berjaya meningkatkan jumlah pengikut di laman media sosial Proton Nepal kepada lebih 27,000 pada awal bulan ini.
Buat masa sekarang Jagdamba Motors sudahpun mempunyai tiga pengedar rasmi Proton yang beroperasi di negara itu, dan merancang untuk menegembangkan lagi rangkaian tersebut sehingga 12 pengedar menjelang hujung tahun ini, serta merancang untuk membangunkan lagi infrastruktur pengecasan.
“Nepal hanyalah permulaan. Rancangan sedang berjalan untuk memperkenalkan Proton e.MAS 7 ke pasaran antarabangsa lain bagi menyokong cita-cita pertumbuhan global jenama tersebut. Perkembangan ini memperkukuhkan kedudukan Proton sebagai pemimpin automotif yang progresif, di samping membina hubungan pelanggan baru di peringkat global. Pada masa akan datang, kami akan memperkenalkan model EV kami ke Trinidad & Tobago, Mauritius dan juga Singapura,” kata CEO Proton Dr Li Chunrong.
GALERI: Brosur rasmi Proton eMas 7 pasaran Nepal
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.