Pembuat kereta sport dari British, Caterham telah memilih Horse Powertrain untuk membekalkan enjin bagi kereta-kereta Caterham 7 yang berlumba dalam siri kejohanan ‘one make’ Caterham Academy di United Kingdom bermula musim 2026.
Horse Powertrain merupakan syarikat yang membekalkan unit rangkaian kuasa termasuk enjin, kotak gear dan sistem hibrid yang terbentuk dari kerjasama Geely dan Renault. Untuk Caterham Academy, Horse Powertrain akan membekalkan enjin HR13 1.3 liter empat silinder turbo berkuasa 132 PS dan tork maksima 176 Nm.
Enjin berkenaan adalah enjin yang sama pada model produksi Mercedes-Benz A-Class generasi sedia ada, dan ia diproduksi di kilang Valladolid Motores milik Horse Powertrain yang terletak di Sepanyol.
Menurut Horse Powertrain, enjin HR13 ini menggunakan kepala silinder berbentuk-delta bagi mengurangkan berat dan menjimatkan ruang, pusat graviti lebih rendah serta memberikan pengurusan haba yang lebih baik. Manifold ekzos pada enjin ini juga dibina sekali bersama kepala enjin berkenaan bagi memberikan respon putaran enjin yang lebih cepat serta mampu memberikan tork pada kelajuan yang sangat rendah.
Enjin HR13 ini akan menggantikan enjin Ford Sigma 1.6 liter empat-silinder NA yang telah digunakan pada kereta lumba Caterham 7 untuk siri perlumnbaan tersebut sejak 2008. Siri perlumbaan Caterham Academy ini merupakan perlumbaan untuk pemandu kelas novis yang mula diwujudkan sejak 1995, disasarkan untuk menjadi perlumbaan pemula bagi mereka yang bercita-cita menjadi pemandu profesional. Sehingga kini siri tersebut telah menjadi salah satu siri perlumbaan paling berjaya di Britain dengan penyertaan melebihi 1,400 pelumba.
“Adalah satu keistimewaan bagi kami untuk membekalkan enjin HR13 kami untuk Kejuaraan Caterham Academy 2026. Caterham ialah jenama ikonik dalam dunia automotif dan perlumbaan, dengan sejarah yang kaya dan ini adalah peluang unik untuk bekerjasama dalam misi mereka untuk mencari bakat perlumbaan generasi seterusnya dalam siri Akademi 2026,” kata CEO Horse Powertrain Matias Gianni.
Satu lagi divisi pembangunan dan pembekal unit rangkaian kuasa yang ditubuhkan oleh Geely dan Volvo iaitu Aurobay kini turut telah bernaung di bawah Horse Powertrain. Aurobay merupakan pembekal enjin 2.0 liter bagi pasukan Lynk & Co Cyan Racing yang berlumba dalam TCR World Tour. Enjin yang sama turut dibekalkan kepada Kristoffersson Motorsport untuk Kejohanan Rallycross Dunia (WRX) sejak tahun lalu, di bawah pasukan yang dikenali sebagai Kristoffersson Motorsport-Horse Powertrain.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.