Jenama kereta sport/kereta kit berdasarkan Lotus Seven, Caterham Cars yang menjadi milik bos AirAsia sejak 2011, kini sudah sah diambil alih oleh syarikat dari Jepun, VT Holdings sejak 31 Mac lalu. Caterham dibeli oleh Fernandez sebelum ini bersama rakan kongsinya Kamarudin Meranun setelah terlibat dengan Formula 1 pada 2010.

VT Holdings adalah antara syarikat terbesar yang menjalankan perniagaan mengimport kereta di Jepun dan menjadi pengedar sah Caterham di negara berkenaan sejak 2009. Caterham merupakan sebuah jenama yang niche, namun VT Holdings mampu untuk menjual lebih dari 120 unit Caterham setahun di Jepun.

Syarikat berkenaan juga turut membawa masuk jenama British lain seperti Lotus dan juga motosikal Royal Enfield. Dalam kenyataan media yang dikeluarkan, VT Holdings juga menyatakan bahawa mereka mempunyai lebih 200 bilik pameran di Jepun serta mempunyai pelaburan di UK, Sepanyol, Thailand dan Afrika Selatan.

VT Holdings diterajui oleh ketua eksekutif kumpulannya, Kazuho Takahashi, yang juga berlumba secara kompetitif dalam
All Japan Grand Touring Car Championship (JGTC) dan siri gantiannya Super GT serta Super Taikyu Series dalam 20 tahun kebelakangan ini.

“VT Holdings dengan bangganya mengalu-alukan Caterham ke dalam kumpulan,” kata Takahashi. “Kami bukan sahaja membeli pengeluar kereta berprestasi yang terkenal secara global tetapi menjadi penjaga kepada legenda permotoran. Kami akan mejaga dan membangunkan Seven bagi memenuhi cabaran perundangan yang berada di hadapan.”

Ketua eksekutif Caterham, Graham Macdonald pula menambah, “Takahashi-san dan pasukannya benar-benar memahami DNA jenama Caterham, warisan sejarah kami, pelanggan kami dan keghairahan kami. Sebagai pasukan, kami semua teruja berkenaan untuk mula menulis bab seterusnya untuk jenama istimewa ini.”

Tony Fernandes terlibat dalam isu yang melibatkan penggunaan nama Lotus dalam pasukan Formula 1 miliknya dahulu, yang diakhiri setelah Proton menarik semula nama ‘Team Lotus’ yang digunakan pada September 2010. Selepas membeli Caterham, pasukan Formula 1 berkenaan mula berlumba dengan nama Caterham pada 2012.

Pasukan F1 tersebut kemudian dijual pada tahun 2014, namun jenama Caterham masih kekal milik Fernandes. Beliau mempunyai rancangan besar terhadap Caterham, dan kemudian bekerja sama dengan Renault untuk menghasilkan kereta sport lain selain Seven, yang kemudiannya menghasilkan model kelahiran semula Alpine A110.

GALERI: Caterham Super Seven 1600