Chery Tiggo Cross buat kemunculan sulung di Malaysia – 1.5T dan HEV, ROI dibuka; bawah RM100k

Chery Tiggo Cross buat kemunculan sulung di Malaysia – 1.5T dan HEV, ROI dibuka; bawah RM100k

Seperti dijangka, Chery Malaysia hari ini telah mendedahkan SUV paling kecil dalam siri Tiggo iaitu Tiggo Cross (atau dikenali sebagai Tiggo 4 di China) ketika berlangusngnya Malaysia Autoshow 2025 di MAEPS, Serdang. Model ini akan dilancarkan pada separa kedua tahun ini dan pendaftaran minat (ROI) juga sudah mula dibuka hari ini.

Menurut naib presiden jualan dan pemasaran Chery Malaysia Micheal Chew, buat permulaan sebanyak 500 unit akan disediakan untuk pasaran Malaysia, dan pelanggan yang membuat tempahan dengan yuran RM500 akan dijamin menerima Tiggo Cross masing-masing pada bulan Ogos 2025. Model ini akan dilancarkan pada bulan Jun ini, manakala pemasangan tempatannya akan bermula Julai nanti.

Dua varian ditawarkan untuk Tiggo Cross pasaran Malaysia iaitu model yang dijana enjin petrol penuh dan juga varian HEV yang digerakkan oleh unit rangkaian kuasa hibrid. Bagi versi petrol penuh, Tiggo Cross menerima enjin 1.5 liter turbo 147 PS dan tork maksima 210 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik enam kelajuan. Gandingan ini membolehkan model ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.9 saat serta memberikan pengunaan bahan api 6.3 liter untuk setiap 100 km.

Chery Tiggo Cross buat kemunculan sulung di Malaysia – 1.5T dan HEV, ROI dibuka; bawah RM100k

Manakala untuk Tiggo Cross HEV ia menerima unit rangkaian kuasa Chery Super Hybrid (CSH) terbaharu. Ia menampilkan enjin G4G15B 1.5 liter empat silinder NA beroperasi dengan kitaran Atkinson. Enjin ini memang dibuat khas untuk dipadankan dengan sistem hibrid, dengan memberikan keberkesanan haba yang tinggi mencecah 40%, dan menghasilkan kuasa 102 PS dan tork makisma 125 Nm.

Bukan itu sahaja, enjin berkenaan digandingkan bersama kotak gear khas hibrid DHT150 yang menampilkan tukaran gear dengan mekanisma CVT serta dua buah motor elektrik yang membekalkan kuasa 204 PS dan tork maksima 310 Nm. Ini membolehkan Tiggo Cross HEV berkenaan mencapai pecutan 0-100 km/j lebih pantas dari varian turbo iaitu 9.6 saat serta penggunaan bahan api serendah 5.4 liter setiap 100 km.

Saiz merupakan satu lagi kelebihan buat Tiggo Cross. Ia dihasilkan dengan panjang keseluruhan 4,318 mm, lebar 1,830 mm, tinggi 1,670 dan jarak roda sejauh 2,610 mm. Jadi walaupun ia diletakkan pada kelas lebih bawah dari SUV segmen-B Chery Omoda 5 dan bertanding dengan model segmen-A, ia adalah 253 mm lebih panjang dari Perodua Ativa serta menampilkan jarak roda lebih jauh dari Proton X50 dan sama seperti Honda HR-V.

Chery Tiggo Cross buat kemunculan sulung di Malaysia – 1.5T dan HEV, ROI dibuka; bawah RM100k

Kita menerima facelift terbaharu Tiggo Cross seperti yang telah dilancarkan di Thailand Mac lalu. Pada sebelah luar kedua-dua varian pasaran Malaysia ini menampilkan perincian yang hampir sama, iaitu diberikan lampu hadapan LED automatik, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, lampu kabus belakang, rel bumbung, spoiler bumbung dan angkup brek yang diberikan kemasan merah.

Selain dari emblem, untuk mudah membezakan kedua-dua varian ini adalah set roda di mana varian petrol penuh menerima rim aloi 18-inci sementara varian HEV pula diberikan set rim 17-inci.

Perincian dalaman juga agak sama bagi kedua-duanya dengan menampilkan kelengkapan seperti skrin berkembar masing-masing bersaiz 10.25-inci untuk paparan instrumen dan sistem infotainmen, kamera panaromik 540 darjah, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta enam pembesar suara. Kedua-dua varian menerima tempat duduk pemandu larasan elektrik enam-hala tetapi varian petrol tidak menerima sokongan lumbar.

Kelengkapan lain yang dikongsi bersama untuk kedua-dua varian Tiggo Cross ini adalah roda stering pelbagai fungsi, lampu suasana kabin, upholsteri kulit sintetik berwarna hitam, pengecas telefon pintar tanpa wayar 15W, penghawa dingin dua zon dengan liang udara kabin belakang, pengidup enjin jarak jauh, sistem start-stop 12V, pengelap cermin automatik dan lain-lain.

Untuk keselamatan, varian HEV mempunyai kelebihan dengan diberikan tujuh-beg udara berbanding hanya enam untuk varian petrol. Perincian asas keselamatan lain adalah sama termasuk bantuan mula mendaki, sistem pemantau angin tayar dan pengingat had laju.

Bagi sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS), kedua-dua varian diberikan fungsi brek kecemasan automatik bersama amaran pelanggaran hadapan, cruise control adaptif, amaran dan pengelak keluar lorong, amaran lintasan trafik belakang dan pemantau titik buta.

Namun untuk varian HEV ia menerima beberapa tambahan fungsi ADAS termasuk amaran buka pintu, amaran pelanggaran belakang, brek lintasan trafik belakang, bantuan tukar lorong, cruise control bersepadu bersama kelajuan pintar kenderaan.

Walaupun harga sebenar Tiggo Cross ini belum diumumkan, tahun lalu Chew ada membayangkan bahawa model ini mungkin akan menjadi model paling mampu milik dalam barisan model Chery Malaysia, dengan harga jualan mungkin bermula di bawah RM100,000.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required