Geely lancar trak pikap PHEV Radar King Kong EM-P – 1.5L Turbo, 349 hp/914 Nm, 1,068 km setangki petrol!

Geely lancar trak pikap PHEV Radar King Kong EM-P – 1.5L Turbo, 349 hp/914 Nm, 1,068 km setangki petrol!

Selepas trak pikap Radar King Kong yang dikuasakan sepenuhnya oleh elektrik (EV) dilancarkan Disember tahun lalu, kini Geely memperkenalkan pula versi dengan enjin petrol bersama sistem plug-in hybrid (PHEV) trak berkenaan, dikenali sebagai Radar King Kong EM-P.

Seperti namanya, trak pikap ini menerima unit rangkaian kuasa EM-P kumpulan Geely, menampilkan enjin petrol 1.5 liter turbo dengan keberkesanan suhu mencecah 44.26%, digandingkan dengan kotak gear khas hibrid tiga kelajuan (3DHT) yang diintegrasikan dengan motor elektrik, serta satu lagi motor elektrik ditempatkan pada gandar belakang bagi memberikan kebolehan pacuan semua roda.

Secara keseluruhan unit rangkaian kuasa ini menghasilkan 349 hp dan tork maksima 914 Nm. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.3 saat, dan Geely turut mendakwa bahawa dengan beban penuh trak pikap ini masih boleh mencatakan masa 8.6 saat untuk pecutan sama.

Geely lancar trak pikap PHEV Radar King Kong EM-P – 1.5L Turbo, 349 hp/914 Nm, 1,068 km setangki petrol!

Untuk sistem hibrid, ia dibekalkan dengan bateri litium logam fosfat (LFP) berkapasiti 19.09 kWj, membolehkan ia bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 100 km dalam kitaran ujian CLTC. Penggunaan bahan api dicatatkan serendah 1.5 liter untuk setiap 100 km, dan untuk satu tangki petrol 60 liter ia boleh bergerak sejauh 1,068 km dalam mod hibrid. Malah dengan bateri yang sudah kehabisan tenaga, ia masih boleh mencapai penggunaan petrol 6.4L/100 km.

Ia bukan sahaja menampilkan sistem Vehicle-to-load (V2L) yang membolehkan kuasa dari bateri mengoperasikan peralatan elektrik lain, malah ia turut diberikan fungsi Vehicle-to-vehicle (V2V) yang membolehkan ia mengecas bateri EV pada kereta lain.

Manakala untuk sistem AWD, ia tampil dengan empat mod pemanduan off-road iaitu Snow, Mud, Off-road dan juga Sand. Geely mendakwa tanpa membawa beban trak pikap ini boleh mendaki bukit dengan kecerunan 45 darjah, manakala dengan membawa beban penuh ia boleh mendaki sehingga kecerunan 33 darjah. Manakala had membawa beban pula adalah 1,000 kg.

Geely lancar trak pikap PHEV Radar King Kong EM-P – 1.5L Turbo, 349 hp/914 Nm, 1,068 km setangki petrol!

Sama seperti versi EV, Radar King Kong EM-P ini masih menggunakan platform sama yang diasaskan dari Multiplex Attached Platform (MAP), iaitu platform yang diasaskan dari platform Sustainable Experience Architecture (SEA). Jadi ia bukanlah trak pikap dengan casis ladder frame, namun menurut Geely struktur badan King Kong EM-P ini dihasilkan dari 70% logam berkekuatan tinggi bagi membolehkan ketegaran torsi mencapai 30,300 Nm.

Juga sama seperti versi EV, Radar King Kong ini turut hadir dalam dua versi badan iaitu jarak roda pendek sejauh 3,120 mm menjadikan panjang keseluruhannya 5,260 mm, serta jarak roda panjang sejauh 3,310 mm bagi memberikan panjang keseluruhan 5,500 mm. Lebar dan tinggi juga sama iaitu masing-masing 1,900 mm dan 1,865 mm.

Rupa luaran bagi versi EM-P ini nampaknya sama sahaja seperti versi EV, begitu juga pada dalam kabin di mana ia menerima konfigurasi lima-tempat duduk, papan pemuka yang nampak sama seperti Proton X90/Geely Haoyue, skrin sesentuh untuk sistem infotainmen bersaiz 14.6-inci serta paparan instrumen digital dengan skrin LCD bersaiz 10.2-inci.

Tiga varian ditawarkan pada pasaran China iaitu Radar King Kong EM-P 1000km Standard Bed berharga 139,800 yuan (RM82k), Radar King Kong EM-P All-Round Long Bed berharga 149,800 yuan (RM88k) dan Radar King Kong EM-P Intelligent Long Bed berharga 159,800 yuan (RM94k).

Menurut laporan CarNewsChina, Radar King Kong EM-P ini turut akan dibawa ke pasaran eksport dan dikenali sebagai Riddara RD6 EM-P. Jadi ia mungkin akan dilancarkan di Thailand kerana negara berkenaan sudah pun menerima trak pikap EV Riddara RD6 yang sudah berada di pasaran tersebut sejak akhir tahun lalu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required