Berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Tesla Model Y versi facelift muncul sebagai kenderaan elektrik (EV) paling laris di Malaysia bagi bulan Mei 2025, dengan jumlah jualan sebanyak 985 unit. Model ini, yang dikenali dengan nama kod ‘Project Juniper’, mula diperkenalkan di pasaran Malaysia pada Februari lalu, namun penghantarannya bermula secara besar-besaran pada bulan Mei.
Kejayaan Tesla Model Y ini telah menolak Proton eMas 7 ke tempat kedua dengan 862 unit terjual sepanjang bulan tersebut sementara tempat ketiga hingga kelima pula semuanya adalah daripada BYD – Atto 3 (505 unit), Sealion 7 (406 unit) dan M6 (136 unit). Seterusnya, Denza D9 berada di tempat keenam dengan 129 unit diikuti Chery Omoda E5 (116 unit).
Model BYD Seal berada di tangga kelapan dengan 94 unit, manakala Dolphin tidak tersenarai langsung dalam senarai jualan bulan Mei dan jumlah keseluruhan tahunan setakat ini. Tesla Model 3 dan Zeekr 009 kedua-duanya mencatat jualan sebanyak 90 unit pada bulan Mei, manakala Xpeng X9 terjual sebanyak 77 unit. iX2 menjadi EV paling laris daripada jenama BMW dengan 72 unit, jauh mendahului BMW i5 (39 unit) dan iX1 (37 unit) yang berada di tempat ke-16 dan ke-17.
Walaupun Tesla Model Y menjadi pilihan utama bulan Mei, Proton eMas 7 masih kekal sebagai EV paling laris untuk tahun ini (Year-To-Date/YTD) dengan jumlah keseluruhan 3,399 unit. Di tempat kedua adalah BYD Sealion 7 (1,640 unit), diikuti oleh BYD Atto 3 (1,230 unit) dan Tesla Model Y (1,111 unit). Semua model EV lain masih mencatat jualan di bawah 1,000 unit bagi tempoh tahun ini.
Untuk kategori MPV elektrik, BYD M6 mendahului dengan 863 unit, diikuti Denza D9 (524 unit), Zeekr 009 (402 unit) dan Xpeng X9 (157 unit). Meskipun BYD Seal berjaya mengatasi Tesla Model 3 dari segi jualan bulanan pada Mei, Tesla Model 3 masih mendahului dari segi jumlah jualan tahun ini (698 unit berbanding 554 unit), hasil prestasi kukuh pada bulan Februari lalu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.