Tunku Temenggong Johor (TTJ) Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar Ismail Abdul Rahman ibni Sultan Ibrahim baru sahaja membuat satu hantaran di akaun Instagramnya berkaitan Litar Pasir Gudang. Hantaran tersebut sangat ringkas – baginda memuat naik gambar memaparkan slaid dari komputer riba yang dipacarkan ke dinding yang menunjukkan pelan Litar Pasir Gudang, bersama kapsyen yang hanya tertulis “PG”.
Pelan tersebut seiras dengan pelan yang baginda kongsikan pada April tahun lalu, yang menunjukkan beberapa perubahan telah dibuat berbanding susun atur asal Litar Pasir Gudang tersebut. Antaranya perubahan pada dua selekoh terakhir iaitu pada selekoh 11 dan 12 yang dibuat membolehkan laluan lurus utama kini menjadi lebih panjang, serta kewujudan satu selekoh ke kanan baharu yang dibuat pada hujung laluan lurus kedua sebelum tiba di selekoh 2.
Selekoh baharu tersebut berhubung terus dengan selekoh 10, membolehkan litar ini terbahagi dua dengan masing-masing menampilkan konfigurasi lebih pendek.
Baginda memuatnaik hantaran terbaharu ini mungkin untuk memberitahu bahawa kerja-kerja yang perlu dilakukan untuk membuka semula litar ini memang sedang berjalan, mungkin juga ini petanda bahawa hari pembukaan semula litar lumba bersejarah di selatan tanah air itu kini semakin hampir.
Kali terakhir status berkenaan litar ini disebut oleh Kerabat DiRaja Johor sendiri adalah pada April tahun lalu menerusi Tunku Panglima Johor (TPJ) Yang Mulia Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim ketika baginda di temuramah oleh wartawan sewaktu berlangusngnya perlumbaan pusingan pertama GT World Challenge Asia 2024 di Litar Antarabangsa Sepang.
Menurut TPJ dalam laporan Scoopdotmy, litar berkenaan sebenarnya diambil alih oleh pihaknya pada 2015 apabila ada rancangan untuk membangunkan kawasan perumahan di atas tapak litar tersebut. Beliau turut menjelaskan bahawa rancangan untuk membina semula litar berkenaan sudahpun dirancang sejak dari peringkat awal pengambilalihannya, dań menafikan bahawa adanya penglibatan pihak ketiga iaitu Petronas untuk pembangunan litar tersebut setakat ini.
Tunku Abdul Rahman menegaskan bahawa beliau bersama abangnya Tunku Idris Iskandar tidak mendedahkan rancangan tersebut kepada umum kerana tidak mahu ia menjadi sesuatu yang overhype. Beliau turut menambah bahawa rancangan untuk membina dan membuka semula litar berkenaan memakan masa yang agak lama kerana pelbagai faktor, antaranya bagi memastikan ia mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) tanpa mengubah terlalu banyak bentangan asal litar berkenaan dan juga pandemik Covid-19 yang melanda dunia.
Dalam laporan itu beliau juga menyatakan bahawa litar berkenaan terpaksa ditutup buat sementara waktu dan pembangunan semula perlu dibuat kerana jika ada insiden yang berlaku disitu tanpa lesen dari FIA, agak sukar bagi pihaknya untuk mengadakan perlumbaan-perlumbaan seterusnya.
Mengulas lanjut, TPJ juga menyatakan selepas litar itu siap nanti, ia bakal menjadi pangkalan utama untuk pasukan lumbanya iaitu Johor Motorsport Racing (JMR) beroperasi.
“Itu rancangannya, saya rasa di Sepang ini juga ada beberapa pasukan yang berpusat di sini sebaagi salah satu perniagaan litar. Mungkin akan ada pasukan-pasukan lain yang akan berpusat di Pasir Gudang tetapi kami akan mengutamakan pasukan kami,” jelasnnya.
Selain itu, Tunku Abdul Rahman turut menyatakan Litar Pasir Gudang ini akan dibuka semula sebagai sebuah litar bertaraf antarabangsa, dan ia akan turut akan menumpukan terhadap pembangunan sukan permotoran diperingkat akar umbi.
Litar Pasir Gudang atau turut dikenali sebagai Johor Circuit (JCircuit) merupakan litar ikonik yang pernah melahirkan ramai pelumba antarabangsa di kalangan anak jati Johor, dibuka secara rasmi pada 1986. Ia juga pernah menganjurkan perlumbaan yang menarik penyertaan pelumba luar seperti Johor Race Series, Asia Festival of Speed (AFOS) serta pernah menjadi menganjurkan Grand Prix Motosikal Dunia pada tahun 1998.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.