Seperti yang sudah diketahui, Proton X50 facelift 2025 yang baru sahaja diumumkan sudah disahkan menerima enjin 1.5 liter empat silinder turbo bagi menggantikan unit GEP3 3G15TD 1.5 liter tiga-silinder turbo pada model sebelumnya. Ketika sesi prebiu model berkenaan di fasiliti Proton di Shah Alam baru-baru ini, kami difahamkan enjin baharu berkenaan dikenali dengan kod BHE15TD.
Oleh itu secara rasmi Proton kini sudahpun menerima barisan enjin generasi keempat Geely yang dibangunkan dan dibekalkan oleh Aurobay, iaitu syarikat pembekal unit rangkaian kuasa yang berpangkalan di Sweden yang ditubuhkan oleh Geely dan juga bekas divisi pembangunan unit rangkaian kuasa Volvo.
Siri enjin BHE15 ini telah dihasilkan dalam lima varian sama ada dalam versi turbo dan juga normally aspirated (NA), beroperasi sepenuhnya menggunakan bahan api, serta ada yang khas untuk digandingkan bersama sistem elektrifikasi seperti hibrid elektik (HEV) plug-in hybrid (PHEV) dan juga sistem EV dengan enjin penambah jarak (REEV).
Ia sememangnya direka dengan begitu fleksibel agar boleh dipadankan pada sebanyak mungkin aplikasi, menjadi enjin pembakaran dalaman bagi pelbagai sistem unit rangkaian kuasa Geely dikenali sebagai NordThor 2.0 dan EM-P untuk jenama-jenama termasuk Geely Auto, Lynk & Co, malah Volvo XC70 generasi baharu yang bakal dilancarkan di China tahun ini turut dijangka akan dibekalkan dengan enjin 1.5 liter BHE15 ini.
Untuk Proton, tahap modular enjin BHE15 ini mungkin akan menyaksikan ia akan digunakan oleh hampir kesemua model Proton selepas ini bukan sahaja untuk model-model yang diasaskan dari platform Geely, seperti X70 dan S70, malah untuk model yang dibangunkan sendiri oleh Proton menggunakan platform AMA termasuk Saga MC3 yang akan dilancarkan tahun ini.
Langkah ini bukan sahaja membolehkan Proton menerima enjin dengan tenknologi paling terkini dari Geely, malah ia akan turut memudahkan proses dan juga mengurangkan kos produksi di kilang enjin Proton di Tanjong Malim dengan menghasilkan hanya satu jenis enjin tetapi dalam beberapa varian untuk aplikasi yang berbeza-beza.
Secara asasnya enjin BHE15 ini menampilkan saiz omboh dengan gerek (bore) 73.4 mm dan lejang (stroke) 88.57 mm, menghasilkan kapasiti keseluruhan 1,499 liter, dengan aci sesonsol berkembar (DOHC) pada kepala silinder yang beroperasi bersama sistem pemasa injap bervariasi (VVT). Dan, ini mungkin yang ramai ternanti-nanti – siri enjin BHE15 ini tidak lagi menggunakan timing belt untuk menggerakkan aci sesondol kerana ia telah diganti dengan mekanisma timing chain.
Buat masa sekarang kesemua varian sudahpun memenuhi standard emisi udara CN6b di China dan EU6d di Eropah, serta disasarkan untuk turut lulus standard EU6e yang lebih ketat. Kesemua varian juga boleh beroperasi dengan bahan api E10, iaitu petrol dengan campuran 10% ethanol.
Lima varian enjin berkenaan adalah BHE15TD, BHE15TD Plus, BHE15D, BHE15PFI dan BHE15TD EVO, manakala perincian untuk setiap enjin adalah seperti berikut:
BHE15TD
Seperti yang disebut tadi, ini merupakan varian yang digunakan pada X50 facelift. Ia adalah enjin yang beroperasi dengan bahan api petrol sepenuhnya tanpa apa-apa sistem hibrid elektrik, dipadankan dengan sistem suntikan bahan api terus dengan penyuntik bertekanan 350-bar bagi memberikan nisbah bertekanan tinggi, bersama pengecas turbo inersia kecil (T-GDI), nisbah mampatan 11:1 dan juga pam air yang digerakkan oleh kuasa elektrik.
Enjin ini boleh ditala bagi menghasilkan kuasa bermula 163 PS hingga 181 PS pada takat 5,500 rpm, dan tork 270 Nm hingga 290 Nm yang bermula 2,000 rpm hingga 3,500 rpm. Talaan yang diterima oleh X50 facelift adalah talaan paling berkuasa iaitu 181 PS/290 Nm.
Ini bermaksud enjin BHE15TD ini adalah adalah 4 PS/35 Nm lebih berkuasa, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 7.6 saat (0.3 saat lebih pantas) dan penggunaan bahan api 4.7% lebih jimat berbanding enjin tiga-silinder 1.5L T-GDI sebelumnya. Selain X50, enjin ini sudah tentu berpotensi untuk menggantikan enjin 1.5L T-GDI tiga-silinder pada model-model Proton yang lain termasuk SUV segmen-C X70 dan sedan segmen-C S70.
BHE15TD Plus
Varian ini dihasilkan khas untuk disepadukan dengan sistem hibrid HEV, PHEV dan juga REEV. Oleh itu perbezaan paling ketara untuk enjin BHE15TD Plus ini adalah ia berfungsi menggunakan sistem kitaran miller berbanding kitaran Otto biasa pada BHE15 TD biasa.
Selain itu ia juga menerima perincian lain seperti sistem penyejuk udara ambilan dari pengecas turbo menggunakan air (WCAC), EGR tekanan rendah, pam air elektrik, nisbah mampatan sehingga 14:1, sistem suntikan bahan api terus dan juga pengecas turbo khas dihasilkan untuk enjin hibrid.
Dengan menggunakan kitaran miller, ini bermakna strok mampatannya adalah lebih pendek bagi memberikan keberkesanan lebih tinggi tetapi dengan kuasa enjin yang lebih kecil. Oleh itu Aurobay menyatakan enjin ini disedikan dalam talaan kuasa bermula dari 143 PS hingga 163 PS dan tork antara 225 Nm hingga 255 Nm. Namun ia dapat berfungsi dengan kadar keberkesanan yang agak luar biasa di mana ia dapat mencapai kadar keberkesanan suhu mencecah 44.26%.
Ini bukan bermakna kuasa tidak menjadi keutamaan kerana enjin BHE15TD Plus ini lazimnya akan dipadankan bersama transmisi khas hibrid (DHT) yang diintegrasi sekali dengan motor elektrik. Pada Geely Galaxy L7 PHEV misalnya, enjin BHE15TD Plus berkenaan digandingkan dengan kotak gear DHT menghasilkan kuasa keseluruhan 390 PS, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam 6.9 saat, serta mencapai penggunaan bahan api serendah 5.23 l/100 km dalan kitaran ujian WLTC, membolehkan ia bergerak sejauh 1,370 km untuk satu tangki petrol.
BHE15D
Secara asasnya BHE15D ini adalah sama seperti BHE15TD tetapi tanpa sistem pengecas turbo. Jadi ia turut menerima perincian seperti sistem suntikan bahan api terus dengan penyuntik 350-bar, pam air elektrik, dan juga sistem timing chain yang berfungsi senyap. Kepala enjin BHE15D ini direka bagi memberikan aliran pusaran terbentuk apabila campuran udara dan bahan api bagi memberikan pembakaran yang lebih efisien. Kadar keberkesanan bahan api juga cukup baik dengan mencecah 46.5%.
Bergantung pada talaan, kuasa yang dihasilkan adalah sekitar 111 PS hingga 126 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima sekitar 140 Nm hingga 152 Nm pada takat 4,000 hingga 5,000 rpm. Ia boleh berfungsi sebagai enjin petrol penuh, tetapi lazimnya ia digandingkan dengan sistem hibrid elektrik.
Untuk masa hadapan, Proton juga mungkin bakal menerima enjin BHE15D ini. Ia adalah kerana sebelum ini Proton telah mengesahkan bahawa eMas 7 bakal ditawarkan dalam versi plug-in hybrid (PHEV), dan kembar model tersebut telah pun wujud di China dengan nama Geely Galaxy Starship 7 EM-i.
Model tersebut menampilkan unit rangkaian kuasa PHEV EM-i Geely yang menggandingkan enjin BHE15D berkenaan dan juga kotak gear DHT yang disepadukan bersama sebuah starter-generator dan juga motor elektrik utama. Secara keseluruhan unit rangkaian kuasa EM-i dengan enjin BHE15D ini menghasilkan kuasa 218 PS dan tork maksima 262 Nm, membolehkan Galaxy Starship 7 tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat dan mencapai kelajuan 180 km/j.
BHE15PFI
Menurut Aurobay, BHE15PFI ini merupakan pilihan paling kos rendah dalam keluarga enjin BHE15. Ia tidak dipadankan dengan sistem suntikan bahan api terus tetapi digantikan dengan sistem lebih marhean iaitu sistem suntikan bahan api port (PFI). Malah varian ini juga tidak diberikan pengecas turbo dan berfungsi secara ambilan udara semulajadi (NA), serta menampilkan nisbah mampatan 13.5:1.
Bergantung pada talaan, enjin ini menghasilkan kuasa sekitar 100 PS hingga 110 PS pada takat 6,000 rpm dan juga tork 125 Nm hingga 135 Nm bermula 4,000 rpm hingga 5,000 rpm. Proton banyak menghasilkan model-model mampu milik, khususnya yang dibangunkan secara tempatan. Mungkin kita boleh jumpa enjin ini dalam perut Proton Saga MC3 yang bakal dilancarkan pada tahun ini juga?
BHE15TD EVO
Aurobay menyatakan bahawa BHE15TD Evo ini adalah diasaskan dari enjin BHE15TD Plus yang kemudiannya ditambah baik. Tak banyak maklumat didedahkan berkenaan enjin ini melainkan Aurobay menyatakan bahawa enjin berkenaan “menerajui industri dengan sistem pembakaran menggunakan nisbah mampatan tinggi yang dioptimakan”, serta “menggunakan pengecas turbo yang sangat efisien bagi mencapai penggunaan bahan api yang efisien.”
Bergantung pada talaan, enjin dengan sistem suntikan terus ini dinyatakan akan menghasilkan kuasa sekitar 143 PS hingga 163 PS dengan tork antara 225 Nm hingga 255 Nm. Seperti BHE15TD Plus, enjin ini juga direka untuk dipadankan dengan sistem elektrifikasi termasuk hibrid, PHEV dan REEV.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.