Bulan lalu ketika berlangsungnya perlumbaan Le Mans di Itali, Toyota Gazoo Racing telah pun mendedahkan Toyota GR LH2 Racing Concept, iaitu jentera konsep kereta lumba Le Mans Hypercar yang dikuasakan oleh bahan api hidrogen. Dan sempena pusingan ke-9 Kejohanan Rali Dunia (WRC) 2025 iaitu Rally Finland yang akan berlangsung hujung bulan ini, Toyota bakal membawa pula Toyota GR Yaris H2 Rally2 Concept, iaitu sebuah kereta rali dalam spesifikasi FIA Rally2, tetapi beroperasi dengan bahan api hidrogen.
Jentera ini nanti akan dipandu oleh juara WRC empat kali, yang juga kini merupakan naib prinsipal pasukan Toyota Gazoo Racing World Rally Team (TGR-WRT) Juha Kankkunen di SS1 dan SS10 Rally Finland 2025 iaitu SS Harju, menampilkan gandingan permukaan tar dan gravel.
Menurut Toyota, GR Yaris H2 Rally2 Concept ini dibina di ibu pejabat TGR-WRT yang terletak di Jyväskylä, Finland. Tiada sebarang perincian teknikal yang dilampirkan. Toyota hanya menyatakan bahawa ia masih menggunakan diasaskan dari jentera rali GR Yaris Rally2, dipadankan dengan enjin pembakaran dalaman yang beroperasi dengan bahan api hidrogen mampat, menghasilkan hampir sifar emisi tetapi masih memberikan bunyi enjin dan sensasi untuk dinikmati peminat-peminat rali.
Jadi demonstrasi ini akan memberikan pengalaman bagaimana hidrogen dapat memberikan satu lagi pilihan dalam sukan permotoran untuk masa hadapan dalam masyarakat neutral karbon, dakwa Toyota.
Tidak seperti jentera GR Yaris Rally1 yang menggunakan enjin 1.6 liter turbo empat silinder, jentera Rally2 GR Yaris masih menggunakan enjin yang sama seperti model produksi iaitu enjin G16E-GTS 1.6 liter turbo tiga-silinder. Ini bukan kali pertama Toyota membuat uji kaji terhadap enjin berkenaan beroperasi dengan bahan api hidrogen, kerana Toyota turut menggunakan enjin yang sama terhadap kereta lumba hidrogen Corolla yang bertanding dalam siri Super Taikyu Endurance di Jepun.
Toyota turut telah menghasilkan prototaip berasaskan GR Yaris produksi yang menggunakan bahan api hidrogen, dan ia turut telah didemonstrasikan pada SS rali WRC iaitu di Rally Belgium 2022, yang juga dipandu oleh Juha Kankunnen.
Selain keluar ke SS Harju, Toyota GR Yaris H2 Rally2 Concept ini turut akan sentiasa dipamerkan di service park pasukan TGR-WRT sepanjang berlangsungnya Rally Finland 2025 bermula 31 Julai hingga 3 Ogos nanti, bersama-sama Toyota Mirai dan juga trak pikap Tundra yang juga telah dihasilkan dalam versi janaan bahan api hidrogen.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.