Selepas beberapa sesi pratonton dibuat, hari ini secara rasmiya Chery Tiggo Cross dilancarkan ke pasaran Malaysia. Dua varian ditawarkan pada pasaran Malaysia terus dalam versi pemasangan tempatan (CKD) bermula dengan varian 1.5L Turbo dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM99,800, dan juga varian 1.5 HEV dijual pada harga RM88,800.
Chery Malaysia menawarkan perlindungan waranti selama tujuh-tahun atau 150,000 km bersama khidmat trak tunda percuma 24/7, dan juga pakej servis percuma selama lima tahun untuk Tiggo Cross ini. Manakala untuk varian hibrid HEV, pek bateri, motor elektrik dan juga unit kawalan hibrid diberikan waranti selama lapan-tahun atau sehingga 160,000 km. Khas untuk 2,000 pelanggan pertama, Chery Malaysia memberikan pakej servis percuma (termasuk kod buruh dan alat ganti) selama dua tahun.
Tiggo Cross dihasilkan dengan panjang keseluruhan 4,318 mm, lebar 1,830 mm, tinggi 1,670 dan jarak roda sejauh 2,610 mm. Berbanding Chery Omoda 5 yang diletakkan sebagai SUV segmen-B, Tiggo Cross ini adalah 2 mm lebih pendek, lebar yang sama dan jarak roda 20 mm lebih dekat. Jadi walaupun saiznya hampir sama, Tiggo Cross masih diletak di bawah satu aras berbanding Omoda 5 dan ia akan bersaing dalam kelas SUV segmen-A bagi berhadapan terus dengan model-model seperti Perodua Ativa dan Honda WR-V.
Oleh itu Tiggo Cross mempunyai kelebihan dari segi saiz berbanding lawannya, di mana ia adalah 253 mm lebih panjang dari Perodua Ativa, dan ia hampir kepada saiz segmen-B dengan jarak roda yang sama seperti Honda HR-V serta lebih jauh dari Proton X50. Malah Tiggo Cross ini juga lebih lebar dari kedua-dua SUV segmen-B tersebut di mana HR-V direka dengan lebar 1,790 mm dan Proton X50 pula adalah 1,800 mm.
Pasaran Malaysia menerima facelift terbaharu Tiggo Cross seperti yang telah dilancarkan di Thailand Mac lalu. Pada sebelah luar kedua-dua varian pasaran Malaysia ini menampilkan perincian yang hampir sama, iaitu diberikan lampu hadapan LED automatik, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, lampu kabus belakang, rel bumbung, spoiler bumbung dan angkup brek yang diberikan kemasan merah.
Selain dari emblem, untuk mudah membezakan kedua-dua varian ini adalah set roda di mana varian petrol penuh menerima rim aloi 18-inci sementara varian HEV pula diberikan set rim 17-inci.
Unit rangkaian kuasa merupakan satu lagi kelebihan untuk Tiggo Cross kerana kedua-dua varian dibekalkan dengan kuasa antara yang paling besar dalam kelasnya. Bagi versi petrol penuh, Tiggo Cross menerima enjin 1.5 liter turbo 147 PS dan tork maksima 210 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik enam kelajuan. Gandingan ini membolehkan model ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.9 saat serta memberikan pengunaan bahan api 6.3 liter untuk setiap 100 km.
Manakala untuk Tiggo Cross HEV ia menerima unit rangkaian kuasa Chery Super Hybrid (CSH) terbaharu. Ia menampilkan enjin G4G15B 1.5 liter empat silinder NA beroperasi dengan kitaran Atkinson. Enjin ini memang dibuat khas untuk dipadankan dengan sistem hibrid, dengan memberikan keberkesanan haba yang tinggi mencecah 40%, dan menghasilkan kuasa 96 PS dan tork makisma 120 Nm.
Bukan itu sahaja, enjin berkenaan digandingkan bersama kotak gear khas hibrid DHT150 yang menampilkan tukaran gear dengan mekanisma CVT serta dua buah motor elektrik yang membekalkan kuasa 204 PS dan tork maksima 310 Nm. Kuasa elektrik untuk sistem hibrid dibekalkan dari bateri LFP berkapasiti 1.8 kWj.
Ini membolehkan Tiggo Cross HEV berkenaan mencapai pecutan 0-100 km/j lebih pantas dari varian turbo iaitu 9.6 saat serta penggunaan bahan api serendah 5.4 liter setiap 100 km. Sistem hibrid ini berfungsi memberikan rasa pemanduan hampir seperti EV sebenar dimana ia akan mula bergerak dengan menggunakan motor elektrik dan boleh mencapai sehingga 80 km/j sebelum enjin pembakaran dalaman digerakkan.
Sama seperti luaran, perincian pada sebelah dalam juga agak sama bagi kedua-dua varian dengan menampilkan kelengkapan seperti skrin berkembar masing-masing bersaiz 10.25-inci untuk paparan instrumen dan sistem infotainmen, kamera panaromik 540 darjah, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta enam pembesar suara. Kedua-dua varian juga menerima tempat duduk pemandu larasan elektrik enam-hala tetapi varian petrol tidak menerima sokongan lumbar.
Kelengkapan lain yang dikongsi bersama untuk kedua-dua varian Tiggo Cross ini adalah roda stering pelbagai fungsi, lampu suasana kabin, upholsteri kulit sintetik berwarna hitam, pengecas telefon pintar tanpa wayar 15W, penghawa dingin dua zon dengan liang udara kabin belakang, pengidup enjin jarak jauh, sistem start-stop 12V, pengelap cermin automatik dan lain-lain.
Untuk keselamatan, varian HEV mempunyai kelebihan dengan diberikan tujuh-beg udara berbanding hanya enam untuk varian petrol. Perincian asas keselamatan lain adalah sama termasuk bantuan mula mendaki, sistem pemantau angin tayar dan pengingat had laju.
Bagi sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS), kedua-dua varian diberikan fungsi brek kecemasan automatik bersama amaran pelanggaran hadapan, cruise control adaptif, amaran dan pengelak keluar lorong, amaran lintasan trafik belakang dan pemantau titik buta.
Namun untuk varian HEV ia menerima beberapa tambahan fungsi ADAS termasuk amaran buka pintu, amaran pelanggaran belakang, brek lintasan trafik belakang, bantuan tukar lorong, cruise control bersepadu bersama kelajuan pintar kenderaan.
Kedua-dua varian Chery Tiggo Cross pasaran Malaysia ini ditawarkan dalam warna badan Carbon Black, Phantom Grey dan Khaki White. Manakala warna Blood Stone Red hanya eksklusif untuk varian 1.5L Turbo, dan warna Moonlight Silver hanya ditawarkan untuk varian 1.5L HEV.
Jadi ini dia Tiggo Cross pasaran Malaysia – ia bukan sahaja menampilkan saiz paling besar dalam kelasnya, malah turut diberikan unit rangkaian kuasa lebih bertenaga serta efisien, kelengkapan-kelengkapan yang lebih banyak dari pesaingnya, serta ditawarkan dengan harga bukan SUV segmen-A yang paling mahal.
Tanggapan awal kami terhadap SUV ini boleh anda baca pada PAUTAN INI. Tanggapan anda pula bagaimana? Kongsikannya di ruangan komen di bawah atau di laman-laman sosial media kami.
GALERI: Chery Tiggo Cross 1.5 HEV pasaran Malaysia
GALERI: Chery Tiggo Cross 1.5 Turbo pasaran Malaysia
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.