Hong Leong Yamaha Motor baru sahaja mengeluarkan notis panggilan balik, yang mereka rujuk sebagai “Kempen Modifikasi Kilang” untuk model MT-09 dan Tracer 9 GT. Merujuk pula kepada siaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), ini adalah untuk model keluaran November 2021 hingga Februari 2025.
Secara keseluruhannya 1,649 unit MT-09 dan 1,369 Tracer GT diberitahu terlibat dalam panggilan balik ini, untuk penukaran Throttle Sensor Assy (TPS) serta pelarasan semula unit kawalan enjin (ECU).
Menurut HLYM, mereka akan menghantar notis kepada semua pemilik bermula pertengahan bulan Julai ini dan seterusnya, pemilik boleh membuat temu janji dengan pengedar rasmi Yamaha Big Bike atau ibu pejabat HLYM melalui laman www.service.yamaha-motor.com.my/booking atau di dalam aplikasi GenBlu.
Satu lagi panggilan balik, iaitu untuk Tenere 700 sudah dibuat sejak bulan April lalu dan ini adalah untuk penukaran set klac, yang dikatakan sebelum ini boleh menyebabkan penukaran gear tidak lancar.
Secara keseluruhannya 149 unit Tenere 700 diberitahu terlibat dalam panggilan balik ini dan ini melibatkan motosikal yang dikeluarkan dari tahun 2023 hingga 2024. Pemilik yang masih belum melakukan penukaran klac ini boleh menghubungi HLYM.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.