GIIAS 2025: Mitsubishi Destinator buat kemunculan sulung, bermula RM100k, 7-tempat duduk, 1.5L Turbo

GIIAS 2025: Mitsubishi Destinator buat kemunculan sulung, bermula RM100k, 7-tempat duduk, 1.5L Turbo

Selepas diumumkan minggu lalu, hari ini Mitsubishi Destinator membuat kemunculan sulung globalnya menerusi acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) yang sudahpun bermula. SUV tujuh-tempat duduk yang diasaskan dari platform sama seperti MPV tujuh-tempat duduk Xpander dan juga SUV lima-tempat duduk XForce ini merupakan satu lagi model yang dibangunkan khas untuk pasaran ASEAN.

Seperti yang anda boleh lihat, Destinator merupakan versi produksi bagi model Mitsubishi DST Concept yang didedahkan di Filipina pada Oktober tahun lalu. Dan Mitsubishi nampaknya membawa banyak perincian rekaan dari model konsep berkenaan ke versi produksi ini.

Antara perincian tersebut termasuk garis sisi badan, muka Dynamic Shield yang menampikan bentuk lampu hadapan berbentuk-T bersama gril hadapan akrilik dengan elemen sarang lebah, penutup but seperti cengkerang, garis-garis pada rekaan tingkap termasuk kemasan pada tiang-C, ke semua ruang roda yang ‘berotot’, malah rekaan set rim 18-inci yang dipadankan juga kelihatan hampir sama.

GIIAS 2025: Mitsubishi Destinator buat kemunculan sulung, bermula RM100k, 7-tempat duduk, 1.5L Turbo

Lampu belakang juga direka dengan kluster berbentuk-T. Jika anda lihat dengan lebih teliti, bahagian belakang Destinator ini menonjolkan bentuk heksagon – Mitsubshi menyatakan bahawa ia direka dengan konsep Hexaguard Horizon, dan ia diinpirasikan dari bentuk bahagian belakang SUV legenda Mitsubishi yang menempatkan tayar gantian di belakang iaitu Pajero.

Dari segi saiz, Destinator menampilkan panjang keseluruhan 4,680 mm, lebar 1,840 mm, tinggi 1,780 mm, dan jarak roda sejauh 2,815 mm. Ia juga dihasilkan dengan jarak kelegaan tanah yang cukup tinggi untuk meredah laluan lasak dan juga banjir yang selalu terjadi di ASEAN iaitu 214 mm (atau 244 mm tanpa pelindung bawah badan).

Sebelum ini Destinator dicanangkan merupakan lawan terus kepada Toyota Rush, atau kembarnya yang masih dijual di Malaysia iaitu Perodua Aruz. Namun selepas spesifikasinya didedahkan, nampaknya SUV Mitsubishi adalah jauh lebih besar dan hampir kepada saiz SUV segmen-C kerana ia adalah 245 mm lebih panjang, 145 mm lebih lebar serta jarak roda 130 mm lebih jauh dari Rush/Aruz.

GIIAS 2025: Mitsubishi Destinator buat kemunculan sulung, bermula RM100k, 7-tempat duduk, 1.5L Turbo

Tetapi disebabkan Destinator ini adalah 75 mm lebih rendah berbanding kembar SUV Toyota/Daihatu tersebut, jarak kelegaan tanahnya juga adalah 6 mm lebih rendah. Destinator turut direka dengan sudut Approach 21 darjah, sudut berlepas 25.5 darjah serta sudut ramp breakover 20.8 darjah membolehkan ia melalui laluan dengan permukaan tidak bertar dengan mudah.

SUV ini masih menampilkan suspensi topang McPherson di hadapan dan juga torsion beam di belakang. Menurut Mitsubishi, walaupun ditala bagi membolehkan di pandu pada permukaan off-road, ia masih tidak mengabaikan aspek keselesaan khususnya pada permukaan jalan di kawasan ASEAN.

Tidak seperti Xpander dan XForce yang masih dijana oleh enjin 4A91 1.5L NA, Destinator dibekalkan dengan enjin lebih berkuasa iaitu 4B40 1.5 liter empat-silinder MIVEC Turbo yang dibekalkan dengan 163 PS pada takat 5,000 rpm dan tork maksima 250 Nm bermula 2,500 hingga 4,000 rpm, iaitu enjin yang sama seperti Eclipse Cross.

GIIAS 2025: Mitsubishi Destinator buat kemunculan sulung, bermula RM100k, 7-tempat duduk, 1.5L Turbo

Kuasa dialirkan terus kepada kotak gear CVT, dan hanya memacu roda hadapan tanpa pilihan sistem pacuan semua roda. Walau bagaimanapun, unit rangkaian kuasa ini masih dioptimakan untuk pemanduan off-road dengan diberikan mod pemanduan Gravel, Tarmac dan Mud, selain dua lagi mod iaitu Normal dan Wet. Sistem agihan tork Active Yaw Controller (AYC) juga diberikan bagi memastikan kedua-dua tayar hadapan menerima kuasa yang tepat bagi memaksimakan cengkaman pada permukaan jalan.

Pada sebelah dalam, rekaan roda stereng, skrin paparan instrumen digital (atau analog dengan skrin pelbagi info 4.2-inci), skrin sesentuh infotainmen 12.3-inci (atau 8-inci yang lebih kecil), suis-suis kekunci piano untuk pelbagai operasi dan juga panel kawalan pendingin hawa digital Destinator ini sama seperti XForce, namun pada bahagian lain seperti liang-liang penghawa dingin ia menerima rekaan tersendiri.

Tujuh tempah duduk dalam SUV ini disusun dengan konfigurasi 2-3-2, di mana tempat duduk baris kedua boleh dilipat dengan nisbah 40:20:40 serta diberikan perehat tangan yang mempunyai pemegang cawan serta boleh dilipat. Model varian lebih tinggi turut diberikan meja lipat untuk penumpang bahagian ini yang diletakkan pada bahagian belakang tempat duduk hadapan. Manakala tempat duduk baris ketiga pula boleh dilipat dalam nisbah 50:50.

Antara perincian-perincian yang diberikan pada varian-varian lebih tinggi termasuk sistem pendingin hawa automatik dua-zon, brek parkir elektrik, upholsteri kulit sintetik, tempat duduk pemandu kawalan kuasa, bumbung panaromik, lampu suasana kabin 64-warna, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, sistem bunyi sehingga enam-pembesar suara dan juga sistem telematik Mitsubishi Connect, pengelap cermin dan lampu automatik serta kamera undur pelbagai pandangan.

Untuk keselamatan, varian tertinggi menerima enam beg udara, kamera undur pelbagai pandangan serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang menampilkan fungsi termasuk pengelak kemalangan hadapan dengan brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, amaran titik buta dengan bantuan tukar lorong, lampu tinggi automatik dan amaran lintasan trafik belakang. Sementara varian-varian lebih rendah diberikan empat beg udara, kamera undur biasa, cruise control pasif dan lain-lain.

Empat varian Mitsubishi Destinator ini dijual pada pasaran Indonesia dalam tiga varian, bermula varian GLS dijual pada harga Rp385,000,000 (sekitar RM100k), diikuti varian Exceed dijual pada harga Rp405,000,000 (sekitar RM105k) dan juga varian Ultimate dijual pada harga Rp465,000,000 (sekitar RM121k).

Varian tertinggi adalah Destinator Ultimate Premium yang menerima tambahan perincian seperti pintu tailgate belakang berkuasa dengan fungsi bukaan tanpa sentuhan, sistem bunyi premium Yamaha dengan lapan-pembesar suara. Varian ini dijual pada harga Rp495.000.000 (sekitar RM128k). Ia ditawarkan dalam lima warna badan iaitu Jet Black Mica, Quartz White Pearl, Blade Silver Metallic, Graphite Grey Metallic dan Lunar Blue.

Mitsubishi Destinator ini akan diproduksi di kilang Mitsubishi Motors Krama Yudha Indonesia yang terletak di Bekasi, Jawa Barat. Selapas Indonesia, ia turut akan dilancarkan di negara Asia Tenggara lain seperti Vietnam dan Filipina serta diikuti pasaran Asia Selatan, Amerika Latin, Timur Tengah dan juga Afrika.

Buat masa sekarang kita di Malaysia masih lagi belum menerima Mitsubishi XForce – mungkin Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) sukar untuk meletakkan harga yang kompetitif untuk SUV segmen-B tersebut memandangkan lawannya di sini kebanyakkannya menerima enjin 1.5 liter Turbo. Namun untuk Destinator ini ia dilihat mempunyai pakej yang begitu baik dari segi unit rangkaian kuasa, saiz, konfigurasi tempat duduk dan sudah tentu unit rangkaian kuasa 1.5 L MIVEC Turbo yang agak berkuasa, mungkin ia akan memudahkan MMM memasarkan model ini di Malaysia?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required