GIIAS 2025: Daihatsu Ayla Retro Future ditunjuk – kembar Perodua Axia dengan gaya Mira Classic

GIIAS 2025: Daihatsu Ayla Retro Future ditunjuk – kembar Perodua Axia dengan gaya Mira Classic

Selain dari model-model baharu, reruai Daihatsu di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) setiap tahun pastinya akan menampilkan model-model konsep yang menarik – sama ada ia model konsep yang membayang model-model baharu akan datang, atau model sedia ada yang memberikan idea untuk pemilik-pemiliknya membuat ubahsuai tersendiri terhadap kereta masing-masing.

Untuk GIIAS 2025 yang sudah berlangsung minggu ini, Daihatsu membawakan model konsep Daihatsu Ayla Retro Future, iaitu Ayla yang diubahsuai dengan menerapkan ciri-ciri retro seperti model-model produksi moden-klasik JDM yang pernah dihasilkan oleh Daihatsu satu ketika dulu seperti Mira Classic L500S dan Mira Gino L700.

Seperti yang boleh anda lihat, model konsep ini masih lagi mengekalkan rupa asas Ayla, yang juga merupakan kembar kepada Perodua Axia generasi kedua di Malaysia. Mukanya telah menerima rombakan besar melibatkan perubahan pada penutup bonet hadapan, kluster lampu yang menampilkan lampu utama dan lampu isyarat membelok berbentuk bulat seperti kereta-kereta pada era 50’an dan 60’an.

GIIAS 2025: Daihatsu Ayla Retro Future ditunjuk – kembar Perodua Axia dengan gaya Mira Classic

Dengan penutup bonet yang telah menutup sebahagian besar bahagian ‘hidung’ kereta ini, ia hanya diberikan gril atas yang kecil yang disekalikan dengan bampar. Gril lebih besar diberikan pada bahagian bawah, dan bampar ini dilengkapkan dengan pemadanan lampu kabus yang juga berbentuk bulat.

Manakala di belakang, kluster lampu asal Alya/Axia masih lagi kelihatan, namun ia kini menjadi perumah untuk lampu brek dan lampu isyarat membelok yang juga berbentuk bulat. Manakala lampu undur, ia dialihkan ke bahagian bampar seperti Mira Classic.

Daihatsu memilih tema warna badan dua tona seakan kereta klasik Amerika Syarikat. Bahagian bumbung hingga but depan dilayangkan dengan warna putih, manakala bahagian badan yang lebih rendah menerima warna hijau pastel. Juga boleh kelihatan beberapa motif pinstripe pada penutup but hadapan, loga Daihatsu hadapan dan belakang, serta pada bahagian tiang-C.

Rupa luaran kereta ini dilengkapkan set rim aloi 15-inci dengan penutup aerodisc di hadapan, dibalut dengan tayar 195/50R15. Badan kereta ini sebenarnya boleh direndahkan lagi kerana suspensi asal telah diubah menggunakan penyerap hentak udara.

Masuk ke dalam, dengan kelengakapan seperti paparan meter analog, pemain audio asas DIN tunggal dan juga tombol gear manual lima kelajuan menandakan bahawa ia adalah Ayla dari varian asas. Namun kabin ini tidak dibiarkan standard di mana tempat duduk asal telah dibalut semula dengan fabrik berwarna hijau seperti warna badan, bersama jalur-jalur tan dan diberikan jalur tiub di sekeliling kusyen tempat duduk tersebut seperti tempat duduk era 70’an dan 80’an.

Di Indonesia Daihatsu Ayla tampil dengan pilihan enjin 1.0 liter 1KR-VE tiga silinder berkuasa 67 PS dan tork maksima 89 Nm, dan juga 1.2 liter WA-VE tiga-silinder DOHC Dual VVT-i berkuasa 88 PS dan tork maksima 113 Nm. Bergantung pada varian, kedua-dua enjin ini dipadankan dengan kotak gear D-CVT automatik atau transmisi manual lima-kelajuan.

Kami difahamkan Daihatsu Ayla Retro Future sebenarnya dihasilkan bersama pempengaruh Indonesia, Gofar Hilman dan ia akan dijadikan sebagai hadiah cabutan bertuah yang akan dibuat di GIIAS 2025 ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required