Penantian pasukan Mitsubishi Ralliart untuk bergelar juara buat kali kedua Asia Cross Country Rally (AXCR) akhirnya tamat apabila pemandu pasukan itu, Chayapon Yotha bersama juruarah Peerapong Sombutwong yang memandu trak pikap Mitsubishi Triton merentasi garisan penamat rali yang berlangsung selama lebih dari seminggu itu pada Sabtu lalu di tempat pertama keseluruhan.
Tambah manis, dengan Triton kedua pasukan yang dipandu Katsuhiko Taguchi dan juruarahnya Takahiro Yasui menamatkan rali di tempat kelima serta Triton ketiga dipandu Kazuto Koide juruarah Eiji Chiba berada di tempat ke-22 secara keseluruhan, membolehkan Mitsubishi Ralliart turut membawa pulang gelaran juara kategori pasukan.
Bagi perlumbaan tahun ini sempena sambutan edisi kali ke-30, laluan AXCR sepatutnya akan melibatkan perjalanan dari Pattaya Thailand dan berakhir di Phnom Penh Kemboja dengan perlumbaan berlangsung dalam lapan SS (Special Stage). Namun disebabkan krisis ketenteraan di sempadan Thailand dan Kemboja belum berakhir, perlumbaan ini bermula Pattaya pada 8 Ogos dan turut berakhir di Pattaya pada 16 Ogos 2025.
Walau bagaimanapun dua SS iaitu SS4 dan SS6 masih terpaksa dibatalkan kerana masih melibatkan perjalanan sempadan Thailand-Kemboja dengan situasi keselamatan yang masih belum stabil.
Dalam perlumbaan ini, Chayapon Yotha bertarung hebat dengan juara AXCR tahun lalu iaitu Mana Pornsiricherd yang bergandingan dengan juru arah Kittisak Klinchan dari pasukan Toyota Gazoo Racing (TGR) Thailand, memandu Toyota Hilux Revo GR Sport Wide Thread.
Namun Yotha mempamerkan pemanduan bijak dan konsisten – walaupun tidak mencatatkan kemenangan dalam mana-mana SS, dia sentiasa berada dalam kedudukan ketiga terlaju, dan berjaya berada pada kedudukan pertama keseluruhan selepas berakhirnya SS3 dengan kelebihan lebih dari 12 minit.
Yotha berjaya bertahan mengekalkan kedudukan tersebut sehingga tamat dengan mencatatkan masa keseluruhan 16 jam 15 minit dan 12 saat untuk bergelar juara keseluruhan. Sebelum kemenangan ini dicapai, Yotha berhadapan masalah jentera ketika dalam seksyen jalan raya yang menyebabkan Triton yang dipandu terhenti – mengingatkan pada peristiwa tahun lalu apabila enjin jenteranya rosak dan mati di tepi jalan hanya 2 km sebelum garisan penamat.
Namun masalah tersebut berjaya diperbaiki dengan bantuan Kazuto Koide yang bukan sahaja pelumba, malah merupakan jurutera penguji Mitsubishi, membolehkan Chayapon Yotha sampai ke pondok kawalan masa SS terakhir tepat pada masa dan akhirnya menang perlumbaan ini.
Tempat kedua adalah milik Pornsiricherd yang mencatatkan masa keseluruhan 16 jam 23 minit 3 saat, dan tempat ketiga adalah milik pemandu dari Amerika Syarikat, Bailey Cole bersama juruarah tempatan Sinoppong Trairat yang memandu Ford Ranger Raptor pasukan Feeliq Innovation Motorsport.
“Tahun lalu, kami menghadapi pengalaman yang mengecewakan. Semua orang bekerja keras sepanjang tahun ini, dengan menjadikan pengalaman tersebut sebagai motivasi, dan usaha itu akhirnya terbayar. Saya sangat gembira, saya rasa ini merupakan kejayaan yang diraih dari kerja berpasukan dan usaha semua orang. Untuk saya, saya benar-benar lega sekarang,” kata prinsipal pasukan Mitsubishi Ralliart, Hiroshi Masuoka.
“Untuk tahun ini saya hanya fikirkan kemenangan. Saya benar-benar gembira bahawa mimpi saya telah menjadi kenyataan. Terima kasih banyak-banyak,” sambung juara rali dakar dua kali itu.
Mitsubishi Ralliart menyertai AXCR sejak musim 2022, secara rasmi ‘membangkitkan semula’ divisi perlumbaan jenama itu yang telah ‘ditidurkan’ selama 11-tahun. Kejutan dibuat oleh pasukan berkenaan selepas Chaypon Yotha menjuarai rali tersebut hanya pada percubaan tahun pertama, namun pasukan itu terpaksa bermula dari bawah pada tahun berikutnya apabila mereka beralih menggunakan trak pikap Triton serba baharu yang belum ada sebarang data perlumbaan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.