Mitsubishi Ralliart kembali berlumba – sertai Asia Cross Country Rally 2022 dengan trak pikap Triton

Mitsubishi Ralliart kembali berlumba – sertai Asia Cross Country Rally 2022 dengan trak pikap Triton

Selepas Mitsubishi mengumumkan Ralliart dihidupkan semula pada Mei tahun lalu, ini merupakan pengumuman rasmi pertama sayap prestasinya itu akan kembali berlumba – Mitsubishi Ralliart mengesahkan penyertaan mereka untuk perlumbaan Asia Cross Country Rally (AXCR) tahun ini!

Jenama tiga berlian tersebut memilih trak pikap Triton untuk berlumba dalam rali berkenaan. Pasukan tersebut akan diuruskan oleh pasukan persendirian iaitu Tant Sports dari Thailand, tetapi lagenda Mitsubishi sendiri – juara Rali Dakar dua kali (2002 dan 2003) dengan Pajero – Hiroshi Masuoka telah dilantik sebagai pengarah pasukan.

AXCR merupakan rali rentas negara ala-Rali Dakar yang dilangsungkan merentas negara-negara Asia Tenggara dan diselia oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA). Namun untuk musim ini, rali yang menyajikan aksi off-road dengan cuaca panas dan lembab merentasi hutan dan kawasan pergunungan tersebut sebahagian besarnya akan berlangsung di Thailand.

Mitsubishi Ralliart kembali berlumba – sertai Asia Cross Country Rally 2022 dengan trak pikap Triton

Rali ini dilangsungkan secara tahunan bermula pada 1996, dan turut pernah menampilkan laluan merentas negara seperti Singapura, Malaysia, Kemboja, Vietnam, Myanmar sehingga ke China. Namun ia dihentikan sementara pada tahun 2020 kerana pandemik Covid-19, dan bakal diadakan semula pada tahun ini.

Untuk AXCR 2022, ia akan berlangsung bermula 6 hingga 12 Ogos nanti, dan informasi lanjut termasuk laluan yang bakal digunakan untuk perlumbaan hanya akan diumumkan pada awal April 2022.

“Selama bertahun-tahun, Mitsubishi Motors telah bertanding di Kejohanan Rali Dunia dan Rali Dakar, menang kejohanan untuk kedua-duanya dan menambahbaik prestasi pemanduan kereta-kereta Mitsubishi yang boleh dinikmati dengan ketenangan minda dalam apa jua keadaan cuaca dan jalan,” kata Hiroshi Masuoka.

“Penyertaan Mitsubishi dalam AXCR dalam bentuk sokongan teknikal akan memperkuatkan keunikan produk kami, terutamanya untuk model strategik ASEAN termasuk trak pikap 1-tan dan SUV. Pasukan Mitsubishi Ralliart akan membuat persediaan bagi memenuhi jangkaan peminat kami, jadi teruskan bersama kami,” tambah Masuoka lagi.

Mitsubishi Ralliart kembali berlumba – sertai Asia Cross Country Rally 2022 dengan trak pikap Triton

Tiada sebarang perincian berkenaan jentera rali Mitsubishi Triton AXCR ini didedahkan buat masa sekarang. Namun secara lazimnya, trak-trak pikap yang bertanding dalam rali ini adalah diasaskan dari model produksi sebenar, menggunakan enjin produksi, dan diberikan pelbagai ubahsuai untuk merendah laluan off-road dalam kelajuan tinggi – berbeza dengan Rali Dakar yang kini menampilkan jentera-jentera prototaip bagi kategori utama.

Apa yang boleh dilihat, jentera lumba Triton AXCR ini tampil dengan tayar off-road yang lebih agresif, sistem suspensi yang memberikan jarak kelegaan tanah lebih tinggi, set roll cage lengkap dengan tempat duduk perlumbaan, serta dua set roda gantian yang diletakkan pada bed belakang.

Sebelum mengumumkan penyertaan semulanya dalam dunia perlumbaan ini, Mitsubishi Ralliart telah pun melancarkan model-model produksi edisi terhadnya untuk pasaran Thailand seperti Triton dan Pajero Sport Ralliart. Jenama berkenaan juga telah pun menghasilkan kembali aksesori-aksesori untuk model-model pasaran domestik Jepun, serta telah pun menayangkan pelbagai model-model konsep pada Tokyo Auto Salon 2022 awal tahun ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required