Mitsubishi Ralliart bawa model konsep talaan Delica, Eclipse Cross, Outlander dan lain-lain ke TAS 2022

Mitsubishi Ralliart bawa model konsep talaan Delica, Eclipse Cross, Outlander dan lain-lain ke TAS 2022

Selain dari Vision Ralliart Concept, badan penala rasmi yang telah dihidupkan semula berkenaan turut akan membawa pelbagai lagi model-model konsep ubahsuai berdasarkan model-model produksi Mitsubishi ke Tokyo Auto Salon 2022 yang akan berlangsung bermula 14 hingga 16 Januari ini.

Buat masa sekarang, Mitsubishi sememangnya tiada model-model sedan mahupun hatchback yang masih dijual di Jepun, jadi model-model konsep ubahsuai ini adalah berdasarkan barisan model MPV, SUV dan juga Kei-Car jenama tiga berlian berkenaan.

Yang pertama adalah Mitsubishi Delica D:5 yang digelar sebagai Tough x Tough. Tidak seperti Delica generasi terdahulu di mana kita di Malaysia mengenalinya sebagai van, Delica generasi terbaharu di Jepun kini merupakan sebuah model MPV. Namun ini tidak menghalang ia untuk menerima sentuhan Ralliart untuk kelihatan lebih lasak.

Antara ubahsuai yang diberikan pada Mitsubishi Delica D:5 Tough x Tough Ralliart ini termasuk suspensi yang ditinggikan bagi memberi lebih jarak kelegaan tanah, pelindung plastik untuk kesemua ruang roda, tayar off-road, bar lampu LED di atas cermin hadapan, gril baharu, bull bar, pemijak sisi, pelindung bawah badan dan juga kotak simpanan pada bumbung.

Delica D:5 yang nampak bersedia untuk meredah hutan ini turut diberikan jalur badan ikonik Ralliart pada sisi sebelah bawah, kemasan merah pada perumah lampu kabus dan penutup cermin sisi serta mudflap untuk kesemua ruang roda bagi membuatkan ia nampak seperti jentera rali.

Satu lagi model konsep lasak digelar sebagai Outlander Wild Adventure Style, yang semestinya diasaskan dari SUV segmen-C Mitsubishi Outlander generasi terkini. Menurut Mitsubishi, SUV ini dihasilkan unuk pemandu yang gemarkan aktivi luar, dan ia turut menerima pelbagai aksesori dari jenama kelengkapan aktiviti lasak Jepun iaitu Ogawa.

Antara kelengkapan yang telah diberikan pada Outlander Wild Adventure Style ini termasuk rak bumbung, penunda treler dan juga peralatan perkhemahan dari Ogawa. Ia juga menerima banyak kemasan-kemasan badan perak dan krom, serta dilengkapi dengan bar sisi, pelindung bampar belakang manakala badannya dilayangkan dengan warna badan yang digelar Black Diamond.

Selain dari konsep-konsep lasak, Mitsubishi turut membawa konsep untuk ubahsuai jalan raya yang digelar Ralliart Style, yang dihasilkan dari crossover segmen-B Mitsubishi Eclipse Cross dan sekali lagi, Mitsubishi Outlander. Kedua-dua model tersebut menerima warna badan putih bersama serlahan-serlahan merah dan perincian-perincian Ralliart seperti pelekat jalur badan dan mudflap.

Untuk kategori Kei, Mitsubishi mempersembahkan K-EV Concept X-Style, iaitu Kei-Car berkuasa elektrik sepenuhnya yang dijadualkan akan diperkenalkan dalam bentuk model produksi pada tahun ini. Tiada sebarang perincian teknikal didedahkan untuk model ini, tetapi rupanya agak seiras dengan Kei-Car produksi sedia ada iaitu Mitsubishi eK X.

Model konsep ini diberika warna badan dua tona yang terdiri dari rona biru solid kusam dan juga bumbung dengan warna tembaga (dikatakan sebagai mewakili gegelung dalam motor elektrik). Grafik logo X juga dilihat dilekat pada badan K-EV Concept X-Style berkenaan

Akhir sekali, Mitsubishi turut akan membawa model konsep ubahsuai Minicab-MiEV B-Leisure Style. Ia dihasilkan dari kenderaan komersial kompak (Kei-Truck/Kei-Van) Mitsubishi Minicab-MiEV, dan disifatkan sebagai kenderaan komersil elektrik dalam kelas tersebut yang dibekalkan dengan kelengkapan perniagaan dan perkhemahan solo.

Jadi anda boleh lihat Kei-Van elektrik ini diberikan awning, meja perkhemahan, dan juga katil lipat, manakala pada sebelah dalam ia direka dengan lantai rata serta diberikan meja rendah, kerusi dan permaidani. Ia juga hadir dengan MiEV Power Box, yang membolehkan bateri utama van berkenaan digunakan untuk menghidupkan peralatan elektrik seperti pembuat kopi dan komputer laptop.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required