Mitsubishi dedah Vision Ralliart Concept untuk ke TAS 2022; Evo baru? Maaf, hanya SUV diasaskan Outlander

Mitsubishi dedah Vision Ralliart Concept untuk ke TAS 2022; Evo baru? Maaf, hanya SUV diasaskan Outlander

Sebelum ini Mitsubishi telah mengumumkan bahawa mereka akan mendedahkan model konsep untuk sayap perlumbaannya yang telah dihidupkan semula iaitu Ralliart, ke Tokyo Auto Salon (TAS) 2022. Sebelum model konsep tersebut boleh dilihat oleh orang ramai secara berhadapan di dewan Makuhari Messe bermula Jumaat ini, ia terlebih dahulu didedahkan secara rasmi oleh jenama tiga berlian tersebut.

Ini dia, Vision Ralliart Concept. Ya, kami pun sudah agak, masih tiada model prestasi yang menghampiri siri Lancer Evolution, iaitu ikon Ralliart satu ketika dahulu. Dalam kenyataan media yang dikeluarkan, Mitsubishi tidak langsung menyebut berkenaan asas untuk model konsep ini, tapi dengan terang dan jelas ia diasaskan dari Mitsubishi Outlander generasi baharu, kembar kepada Nissan X-Trail terkini.

Menurut syarikat berkenaan, Vision Ralliart Concept ini “mewakili visi baharu Mitsubishi Motors untuk Ralliart dan membawa bersama kejuruteraan dan keghairahan syarikat terhadap cabaran Monozukuri (ketukangan)”. Model konsep ini juga disifatkan “menerima penggayaan yang memberikan rupa yang premium dengan kehadiran yang menonjol di jalan raya, serta pemanduan selesa bersama ketenangan jiwa dalam pelbagai cuaca dan keadaan jalan raya – karekter kenderaan Mitsubishi – diperhalusi lagi.”

Mitsubishi dedah Vision Ralliart Concept untuk ke TAS 2022; Evo baru? Maaf, hanya SUV diasaskan Outlander

Bagi mentransformasi Outlander kepada Vision Ralliart Concept, SUV tersebut diberikan bampar yang direka dengan apron yang menampilkan panel skid plate yang lebih tebal, gril dengan pelindung radiator dan logo ikonik Ralliart, overfender lebih lebar pada setiap ruang roda dipadankan dengan skirt sisi lebih labuh dan juga diffuser bersaiz besar di bawah bampar belakang.

Badan SUV konsep ini diberikan warna hitam kusam bersama serlahan biru jika disuluh oleh cahaya, yang didakwa “wewujudkan ekspresi yang dalam, pelbagai dimensi yang memberikan rasa kualiti tinggi”. Kit badan yang lebih agresif tersebut turut dipadankan dengan rim aloi 22-inci.

Mitsubishi dedah Vision Ralliart Concept untuk ke TAS 2022; Evo baru? Maaf, hanya SUV diasaskan Outlander

Cakera brek lebih besar dan angkup enam-omboh turut dipadankan pada model Vision Ralliart Concept ini yang menurut Mitsubishi ia untuk diselarikan dengan “tork tinggi dari motor, yang dipadankan untuk menambahbaik pecutan, kebolehan mengambil selekoh dan membrek ke tahap lebih tinggi”, membayang ia mungkin diasaskan dari Outlander PHEV yang dijana unit rangkaian kuasa plug-in hybrid.

Untuk peminat Mitsubishi Ralliart di luar sana, macam mana dengan model konsep yang membayangkan halatuju sayap perlumbaan tersebut selepas ini? Puas hati?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required