Mitsubishi Outlander 2022 – lebih perincian didedah, guna enjin 2.5L & platform sama dengan Nissan X-Trail

Mitsubishi Outlander 2022 – lebih perincian didedah, guna enjin 2.5L & platform sama dengan Nissan X-Trail

Selepas mendedahkan model generasi baharu Mitsubishi Outlander dua minggu lalu, kini jenama ‘tiga berlian’ berkenaan mengumumkan pula lebih perincian berkenaan SUV tersebut, termasuk pecahan varian, harga dan kelengkapan untuk pasaran Amerika Syarikat.

Outlander 2022 ini merupakan produk yang dihasilkan menerusi perkongsian bersama Nissan selepas mereka bersatu di bawah Pakatan Renault Nissan Mitsubishi. Walaupun ia dihasilkan dengan rupa seiras dengan model konsep Engelberg Tourer yang muncul pada tahun 2019, Outlander baru ini sebenarnya berkongsi banyak komponen mekanikal dengan Nissan X-Trail generasi baru, termasuk platform CMF-F dan juga enjin 2.5 liter.

Mitsubishi mengumumkan bahawa Outlander generasi baharu ini mampu untuk mencapai penggunaan bahan api dianggarkan pada 8.7 liter untuk setiap 100 km dalam mod pacuan dua roda, dan 9.0 liter setiap 100 km dengan sistem pacuan semua roda S-AWC.

Walau bagaimanapun, masih belum ada sebarang perincian berkenaan kuasa yang dihasilkan oleh enjin diumumkan oleh Mitsubishi. Namun pada X-Trail, enjin PR25DD 2.5 liter NA empat-silinder dengan sistem suntikan terus berkenaan mampu untuk menjana 185 PS dan tork maksima 245 Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT yang diberikan lapan-kelajuan maya.

Mitsubishi Outlander 2022 – lebih perincian didedah, guna enjin 2.5L & platform sama dengan Nissan X-Trail

2022 Mitsubishi Outlander shown.

Jika talaan kuasa yang sama diberikan pada Outlander, ini bermakna ia akan dibekalkan kuasa yang lebih tinggi kerana pada model generasi sebelumnya, di mana enjin 2.4 liter tersebut hanya menghasilkan kuasa 167 PS dan tork maksima 222 Nm.

Dalam kabin, walaupun Mitsubishi menghasilkan rekaan tersendiri pada papan pemuka dan sebagainya, Outlander sebenarnya turut berkongsi banyak komponen dengan X-trail, antaranya panel kawalan pendingin hawa, butang kawalan pada roda stereng, paparan instrumen digital dan paparan head-up, serta skrin sistem infotainmen.

Seperti yang diumumkan tempoh hari, Amerika Syarikat merupakan pasaran pertama yang akan menerima Outlander generasi baharu ini. Pada pasaran berkenaan, Outlander dijual ada harga bermula US$25,795 (RM104,600) untuk model asas ES, hadir dengan rim aloi 18-inci, brek kecemasan automatik hadapan dan belakang, pemantau titik buta dan skrin sesentuh infotainmen lapan-inci.

Outlander dengan Convenient Package pula dijual pada harga US$26,795 (RM108,700), diberikan rim aloi 20-inci serta sistem terhubung Mitsubishi Connect yang menampilkan perkhidmatan keselamatan dan kawalan jauh dengan percubaan percuma selama 24-bulan.

Mitsubishi Outlander 2022 – lebih perincian didedah, guna enjin 2.5L & platform sama dengan Nissan X-Trail

2022 Mitsubishi Outlander interior shown

Seterusnya, Outlander SE akan dijual pada harga US$28,845 (RM117,100), menerima kelengkapan tambahan seperti lampu kabus LED, sistem kunci pintar, pemanas untuk tempat duduk dan cermin tingkap sisi, roda stereng balutan kulit, skrin sesentuh sembilan-inci, pengecaj peranti pintar tanpa wayar Qi, port USB belakang dan juga kamera 260-darjah.

Model ini juga turut diberikan sistem bantuan pemanduan keselamatan separa-autonomi MiPilot Assist (yang sebenarnya sistem ProPilot Nissan), memberikan fungsi seperti cruise control adaptif dengan fungsi berhenti dan mula, bantuan kekal tengah lorong, bantuan kekal lorong dan juga pengenal tanda trafik.

Varian SE ini juga boleh dipilih bersama Tech Package, dijual pada harga US$31,145 (RM126,400), menampilkan kelengkapan tambahan seperti paparan instrumen digital 12.3-inci, sistem bunyi Bose dengan 10-pembesar suara dan juga bumbung panaromik.

Manakala varian SEL pula dijual pada harga US$31,945 (RM129,600) – model ini datang standard dengan paparan instrumen digital Tech Package, bersama perincian lain seperti upholsteri kulit, tempat duduk hadapan larasan berkuasa dengan fungsi memori untuk pemandu, rel bumbung, pemanas tempat duduk belakang dan pendingin hawa tiga-zon.

Varian paling tinggi Outlander yang dijual pada pasaran Amerika Syarikat adalah model SEL Touring Package, dijual pada harga US$34,645 (RM140,600). Model ini hadir dengan pemanas roda stereng, upholsteri kulit separa-aniline, paparan head up 10.8-inci, pelindung matahari bahagian belakang, dan semua kelengkapan Tech Package.

Mitsubishi turut menawarkan sistem pacuan semua roda Super All-Wheel Control (S-AWC) untuk setiap varian dengan tambahan harga US$1,800. Sistem berkenaan kini turut menampilkan fungsi torque vectoring pada gandar belakang yang berfungsi berasaskan brek.

Ketika dilancarkan, Mitsubishi juga menawarkan versi Luanch Edition berasaskan model SE Tech package dan SEL Touring Package versama sistem S-AWC, namun kedua-duanya tidak diberikan sistem Mi-Pilot. Sebaliknya, model berkenaan hadir dengan nyalaan Dynamic Shield bersama logo yang dipancar,lencana bonet kemasan krom, serta fungsi Amazon Echo Auto bersama langganan buku audio Audible selama tiga-bulan dan juga langganan Amazon Prime Music selama enam-bulan.

Selepas jualannya bermula di Amerika Syarikat bulan hadapan, Mitsubishi Outlander ini turut akan diperkenalkan di pasaran lain seluruh dunia secara beransur-ansur.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required