Mitsubishi Motors Malaysia telah melancarkan Mitsubishi Outlander Sports Edition edisi terhad, yang ditawarkan pada harga atas jalan RM142,888 tanpa insurans.Berasaskan model 2.0L AWD, hanya 120 unit sahaja yang akan ditawarkan, di mana kesemuanya menerima ciri estetika yang unit dan kit yang lebih ranggi.

Bagi luaran, skema warna dua-tona dengan bumbung hitam dipadankan bersama merah metalik pada bahagian keseluruhan badan menambahkan lagi gayanya. Dikekalkan pula dengan rim 18-inci dengan rekaan yang sama tetapi bersama kemasan hitam berkilat, yang dibaluti tayar 225/55.

Selain itu, Outlander Sports Edition tampil dengan gril hadapan, perumah cermin sisi, kemasan ambang sisi, rel bumbung dan spoiler belakang yang juga diwarnakan hitam. Malahan perkataan ‘Outlander’ baharu yang dilekatkan pada bonet dan lencana belakang juga hadir dengan kemasan hitam.

Untuk bahagian dalamnya pula, ditampilkan dengan sistem hiburan untuk tempat duduk belakang dengan skrin yang ditempatkan di belakang perehat kepala tempat duduk hadapan, bersama alas lantai khas.

Di bawah bonet, enjin petrol 4B11 2.0L 4WD naturally-aspirated DOHC MIVEC (145 PS pada 6,000 rpm dan 196 Nm pada 4,200 rpm) dipadankan bersama kotak gear INVECS-III CVT, dengan pacuan disalurkan ke semua roda.

Lain-lain elemen yang diterapkan adalah sama dengan ciri standard 2.0L AWD, termasuklah lampu utama projektor halogen automatik, unit utama skrin sesentuh tujuh-inci dengan sokongan Apple CarPlay, upholstery kulit, tujuh beg udara, paparan pandangan sekeliling, pengesan parkir hadapan dan belakang, dan perakam video digital. Semua pembelian hadir dengan waranti lima-tahun/tanpa perbatuan terhad.