Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi umum strategi baharu; bakal serlahkan kelebihan setiap jenama

Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi umum strategi baharu; bakal serlahkan kelebihan setiap jenama

Walaupun pada awalnya nampak begitu menyakinkan dan pernah menjadi kumpulan automotif dengan jualan paling laris pada tahun 2017, Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi kini dalam keadaan yang agak tenat setelah dibadai pelbagai dugaan termasuk skandal melibatkan bekas bos besar mereka, Carlos Ghosn serta pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia sekarang.

Sebelum ini juga ada khabar angin bahawa pakatan ini akan dibubarkan kerana wujud ketidak sefahaman antara Renault dan Nissan, tapi nampaknya hayat kumpulan automotif Perancis-Jepun ini akan bertahan lebih lama setelah mereka mengumumkan strategi baharu untuk survival perniagaannya.

Langkah baharu yang diambil oleh pakatan ini sudah tentu untuk meningkatkan daya kompetitif serta kebolehuntungan ketiga-tiga jenama tersebut. Walaupun tiada sebarang ‘jurus luar biasa’, strategi yang telah dibentangkan tersebut nampak logik dan mungkin akan dapat memulihkan semula keadaan mereka.

Renault, Nissan dan Mitsubishi bersetuju untuk memperkukuhkan lagi faedah-faedah yang mereka dapat dalam pakatan tersebut seperti pembelian bersama, dengan menggunakan kelebihan jenama yang menerajui sesuata bidang dan geografik bagi saling membantu sesama jenama lain.

“Pakatan ini adalah kerjasama strategik dan operasi yang unik dalam dunia automotif serta memberikan kami kelebihan dalam lanskap automotif global yang sentiasa berubah,” kata Jean-Dominique Senard, pengerusi Lembaga Operasi Pakatan dan Renault.

“Model perniagaan baharu ini akan membolehkan Pakatan menyerlahkan aset dan kemampuan setiap syarikat, dalam masa yang sama membina budaya dan legasi masing-masing. Ketiga-tiga syarikat dalam Pakatan akan memenuhi semua segmen kenderaan dan teknologi, merentas semua kawasan, untuk faedah setiap pelanggan, dalam masa yang sama meningkatkan daya kompetitif, kemampanan keuntungan dan sosial serta tanggungjawab alam sekitar masing-masing,” tambahnya lagi.

Untuk produk, Pakatan ini akan menerapkan sistem yang digelar sebagai ketua-pengikut, yang akan mengangkat strategi standard mereka ke tahap lebih tinggi dari platform sehingga ke badan atas. Untuk setiap segmen, satu model akan ‘dilantik’ sebagai ‘model ketua’, dan model-model untuk jenama lain turut akan dibangunkan oleh jenama utama berkenaan, dengan sokongan oleh jenama lain.

Dalam pelan ini, model ketua dan pengikut akan dihasilkan dalam bentuk yang paling kompetitif, termasuk produksi berkumpulan jika sesuai. Perkongsian produk ini akan diteruskan dalam segmen kenderaan komersil ringan, di mana model ketua-pengikut sudah pun dimulakan.

Dengan cara ini dianggarkan pelaburan setiap model dapat dikurangkan sehingga 40%, dan ia akan kelebihannya dijangka akan bertamban menerusi sinergi konvesional yang sudahpun wujud dalam pakatan berkenaan.

Selain dari mengambil tugas sebagai peneraju untuk penghasilan sesebuah model yang mereka kuat dalam satu-satu segmen, jenama terbabit turut perlu mengambil tugas sebagai “rujukan serantau”. “Setiap syarikat fokus kepada rantau utama mereka dengan sasaran untuk menjadi sebagai antara jenama yang kompetitif dan menjadi rujukan kepada yang lain bagi meningkatkan daya kompetitif masing-masing,” tulis kenyataan yang dikeluarkan.

Jadi, Nissan akan menjadi rujukan jenama lain dalam rantau China, Amerika Utara dan Jepun. Renault pula akan menjadi rujukan untuk kawasan Eropah, Russia, Amerika Selatan dan Afrika Utara. Manakala Mitsubishi pula akan menjadi rujukan Nissan dan Renault untuk bahagian ASEAN dan Oceania.

Dengan cara ini, peluang untuk berkongsi akan meningkat bagi memaksimakan kos yang boleh dikongsi, dalam masa yang sama menggunakan kelebihan setiap aset syarikat-syarikat berkenaan, kata Pakatan tersebut.

Portfolio kemaskini produk untuk Renault, Nissan dan Mitsubishi akan dibuat berdasarkan sistem ketua-pengikut ini. Contohnya penghasilan segmen SUV-C akan selepas 2025 akan diterajui oleh Nissan, manakala penghasilan model SUV-B seterusnya akan diketuai oleh Renault.

Pada pasaran Amerika Latin, platform produk segmen-B akan dirasionalisasikan, berevolusi dari empat varian kepada hanya satu produk masing-masing untuk Renault dan Nissan. Platform tersebut akan dihasilkan oleh dua kilang, kedua-duannya menghasilkan produk dengan jenama masing-masing.

Dalam rantau Asia Tenggara dan Jepun, anggota-anggota Pakatan ini merebut peluang tertentu dalam kaedah yang sama, seperti kolobrasi penghasilan K-Car antara Nissan dan Mitsubishi. Walaupun tidak disebutkan oleh kenyataan ini, kerjasama berkenaan turut boleh dibuat antara dua jenama Jepun tersebut terhadap trak pikap yang dihasilkan di Thailand.

Jika kesemua di atas diambil kira, hampir 50% model dalam pakatan ini akan dibangunkan dan dihasilkan di bawah strategi ketua-pengikut ini menjelang 2025 nanti, menurut mereka.

Akhir sekali, keberkesanan dan perkongsian teknologi. Strategi ini juga sebenarnya sudah berjalan di mana platform CMF-B sudahpun dikongsi antara Renault Clio dan Nissan Juke, dan juga platform Kei-Car untuk Nissan Dayz dan Mitsubishi eK Wagon. Seterusnya, ia akan diikuti dengan platform CMF-C/D dan CMF-EV.

Strategi ketua-pengikut ini turut akan dilebarkan pada peringkat platform dan unit janakuasa serta teknologi-teknologi utama lain. Nissan akan mengetuai pembangunan sistem pemanduan autonomous dan teknologi kereta terhubung, Renault pula akan akan mengambil tugas mengetuai pembangunan platform berasaskan Android, dalam masa yang sama Nissan akan menerajuinya di China.

Bagi pembangunan teknologi teras elektrik-elektronik yang digelar E-Body, tugas untuk mengetuai bahagian ini diberikan kepada Renault.

Untuk sistem janakuasa elektrik, ia akan dibahagikan kepada dua bahagian – CMF-A/B ePT adalah tanggungjawab Renault, manakala CMF-EV ePT pula diketuai oleh Nissan. Mitsubishi pula dipertanggungjawabkan untuk mengetuai pembangunan sistem plug-in hybrid bagi segmen C/D.

Menurut Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi, model perniagaan baharu mereka ini akan membolehkan setiap syarikat yang menganggotainya menyerlahkan kepakaran dan daya kompetitif masing-masing bagi memperkasakan semula gabungan tersebut untuk menghadapi lanskap automotif global yang berubah secara radikal ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required