Seperti yang diumum tempoh hari, hari ini secara rasmi Toyota Vios Hybrid membuat penampilan sulung globalnya di Thailand. Model yang dikenali sebagai Yaris Ativ di Thailand ini ditawarkan dalam dua varian di sana iaitu varian hibrid asas Yaris Ativ HEV Premium dan juga varian lebih sporty Yaris Ativ HEV GR Sport.
Seperti yang dijangka, Yaris Ativ hibrid ini menerima unit rangkaian kuasa yang sama dengan Yaris Cross Hybrid di mana kedua-dua model ini diasaskan dari platform sama iaitu Daihatsu New Global Architecture (DNGA). Jadi kedua-dua varian Yaris Ativ hibrid ini menerima enjin 2NR-VEX 1.5 liter NA empat silinder yang menghasilkan 91 PS dan tork maksima 121 Nm, digandingkan bersama motor elektrik berkuasa 80 PS (79 hp atau 59 kW) dan tork 141 Nm.
Secara keseluruhan, sistem HEV ini menghasilkan kuasa gandingan 111 PS, dan ia disalur ke roda hadapan menerusi kotak gear E-CVT. Bagi motor elektrik, ia menerima kuasa yang dibekalkan dari bateri lithium-ion berkapasiti 0.7 kWj. Tiga mod pemanduan disediakan untuk unit rangkaian kuasa ini iaitu Eco, Normal dan Power.
Gandingan semua ini membolehkan Yaris Ativ HEV tersebut mencapai penggunaan bahan api 27.8 hingga 29.4 km/l (23.2 km/l pada model biasa), serta emisi CO2 sekitar 77 hingga 82 g/km berbanding 100 g/km pada model bukan hibrid.
Jadi ia bukan sahaja lebih jimat bahan api dan lebih mesra alam, malah lebih berkuasa dari Yaris Ativ biasa kerana model petrol penuh pasaran Thailand hanya dibekalkan dengan enjin 1.2 liter NA Dual VVT-i berkuasa 94 PS pada takat 9,000 rpm dam tork maksima 110 Nm pada takat 4,400 rpm.
Toyota Yaris Ativ HEV pasaran Thailand ini juga lebih berkuasa dari Vios dengan enjin 1.5 liter termasuk yang dipasarkan di Malaysia, di mana versi tersebut menerima enjin 2NR-VE 1.5 liter NA empat-silinder petrol yang menghasilkan 106 PS pada 6,000 rpm dan 138 Nm tork pada 4,200 rpm.
Selain dari unit rangkaian kuasa, Yaris Ativ hibrid ini juga dipadankan dengan sistem brek serta hab roda berbeza, di mana ia menggunakan konfigurasi lima stud bagi mengenakan rim lima lubang dengan PCD 100×5, berbanding hanya empat lubang dengan PCD 100×4 pada model petrol biasa. Tangki petrol juga dikecilkan dari 40 liter kepada hanya 36 liter untuk model penggunaan bahan api lebih rendah ini.
Antara tingkat taraf lain yang diterima untuk kedua-dua varian Yaris Ativ HEV ini termasuk tempat duduk yang menerima span yang lebih selesa, diberikan pengecas telefon pintar tanpa wayar serta skrin infotainmen 10.1-inci baharu dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar.
Bagi varian HEV Premium, ia menampilkan rupa yang sama seperti model Yaris Ativ petrol penuh biasa, kecuali diberikan lencana HEV pada penutup but belakang dan juga rim aloi rekaan baharu bersaiz 16-inci dengan tayar 195/60R16.
Perincian standard lain yang turut diberikan pada Yaris Ativ HEV Premium ini termasuk lampu hadapan bersama lampu isyarat membelok LED, lampu nyalaan siang LED, sistem lampu Follow-me-home, lampu tinggi automatik, kemasan krom pada jalur atas gril dengan elemen gril berwarna hitam berkilat dan juga lampu belakang LED dengan lampu isyarat membelok jenis sequential.
Pada sebelah dalam kabin pula, Yaris Ativ HEV Premium ini diberikan upholsteri kulit sintetik berwarna hitam, sistem audio dengan enam-pembesar suara, pendingin hawa automatik dengan liang penghembus kabin belakang serta penapis udara PM2.5, serta brek parkir elektrik dengan fungsi auto hold.
Untuk varian HEV GR Sport pula ia tampil dengan penggayaan lebih garang termasuk diberikan rim aloi 17-inci dengan tayar 205/50 R17, bampar hadapan dengan rekaan seperti GR Yaris menampilkan gril sarang lebah dan juga liang udara sisi lebih besar, serta kit badan lain merangkumi skirt sisi, dan juga bampar belakang dengan rekaan diffuser agresif.
Selain itu Yaris Ativ HEV GR Sport ini turut diberikan kemasan hitam berkilat pada bumbung, cermin sisi dan juga spoiler but belakang, bersama lencana GR yang dilekat pada bahagian hadapan dan belakang kereta.
Bukan hanya rupa yang lebih garang, varian GR Sport ini juga diberikan talaan lebih sporty pada suspensi di mana ia menerima bar anti-oleng khas hadapan dan belakang, penyerap hentak yang 10% lebih besar, spring hadapan 12% lebih keras, spring belakang 9% lebih keras – semua ini adalah untuk memberikan cengkaman tayar lebih baik. Sistem stereng bantuan kuasa elektrik (EPS) juga ditala semula bagi memberikan rasa stereng lebih jitu.
Manakala pada sebelah dalam kabin, Yaris Ativ GR Sport ini diberikan upholsteri kulit sintetik berwarna hitam dengan sulaman logo GR pada perehat kepala, jalur merah pada papan pemuka, roda stereng dengan kemasan perak gelap dan juga logo GR, serta sistem audio dengan enam pembesar suara keluaran Pioneer.
Untuk keselamatan, kedua-dua varian Yaris Ativ HEV ini diberikan sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense yang menampilkan fungsi termasuk kawalan kekal lorong yang berfungsi bersama cruise control adaptif kelajuan penuh, pemantau titik buta dan amaran lintasan trafik belakang.
Kedua-duanya juga diberikan kamera pemantau panaromik, perekod video digital (dashcam), dua penderia parkir hadapan, empat pemderia parkir belakang dan juga enam-beg udara.
Untuk pilihan warna pula, Yaris Ativ HEV Premium diberikan ditawarkan dengan warna badan Metal Stream Metallic, Urban Metal, Attitude Black Mica, Platinum White Pearl dan Red Mica Metallic. Manakala versi GR Sport pula datang dengan bumbung hitam berkilat yang digandingkan dengan warna badan Platinum White Pearl dan Red Mica Metallic, serta satu-satunya pilihan warna tona tunggal iaitu Attitude Black Mica.
Toyota Yaris Ativ HEV ini dijual pada harga bermula 719,000 baht (RM93,175) untuk varian Premium, hingga 769,000 baht (RM99,653) untuk varian GR Sport. Toyota Thailand juga menawarkan dua pek aksesori asli yang boleh dipilih dengan tambahan bayaran iaitu pek Charismo Drift yang dijual pada harga 19,990 baht (RM2,590) dan juga pek aksesori GR dijual pada harga 28,990 baht (RM3,755).
Kedua-dua pek aksesori ini menampilkan kit aero yang terdiri dari spoiler bawah bampar hadapan, skirt sisi, diffuser bawah bampar dan juga spoiler but, kedua-duanya menampilkan rekaan berbeza.
GALERI: Toyota Yaris Ativ HEV GR Sport
GALERI: Toyota Yaris Ativ HEV Premium
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.