Bufori CS8 dilancar – GT buatan Malaysia dengan enjin V8 6.4L 810 hp, badan karbon-kevlar, RM2.188 juta

Bufori CS8 dilancar – GT buatan Malaysia dengan enjin V8 6.4L 810 hp, badan karbon-kevlar, RM2.188 juta

Selepas lebih satu dekad dalam pembangunan, Bufori CS8 akhirnya dilancarkan secara rasmi. Sebelum ini kami telah menyiarkan gambar awal pratonton model produksi ini ketika acara trek anjuran Affin Bank di Litar Antarabangsa Sepang minggu lalu dan sekaran coupe itu ditampilkan sepenuhnya tanpa sebarang penyamaran. Apa pendapat anda?

Jika dibandingkan dengan CS prototaip yang pernah kami paparkan pada tahun 2019, perbezaan paling ketara ialah saiznya. Model produksi CS8 ini lebih panjang, dan pihak Bufori — yang beroperasi di Kepong dengan tenaga kerja seramai 150 rakyat Malaysia — mengesahkan bahawa jarak antara roda dipanjangkan sebanyak 350 mm. Bahagian belakang juga lebih panjang, menjadikan profil coupe ini lebih seimbang serta memberikan ruang kabin yang lebih luas dan selesa.

Badan yang lebih besar ini menggunakan bahan komposit khas karbon-kevlar, satu teknologi yang telah digunakan oleh Bufori sejak tahun 1989. Saiz yang diperbesar serta sentuhan mewah merupakan sebahagian daripada hala tuju baru Bufori untuk menjadikan CS8 sebagai kereta ‘grand tourer’ berprestasi tinggi, berbanding pendekatan lebih sporty semasa dalam peringkat prototaip.

Bufori CS8 dilancar – GT buatan Malaysia dengan enjin V8 6.4L 810 hp, badan karbon-kevlar, RM2.188 juta

Bufori menyasarkan CS8 sebagai sebuah “GT berprestasi ultra tinggi”, setanding dengan model seperti Aston Martin Vanquish atau Bentley Continental GT Speed. Mengikut konsep coupe mewah dari Britain itu, CS8 juga hadir dengan enjin besar yang ditarik jauh ke belakang di bawah bonetnya.

Nombor “8” pada nama CS8 merujuk kepada bilangan silinder pada enjin V8 6.4 liter supercharged yang digunakan. Enjin ini berasaskan blok Hemi, dibina khas dengan komponen dalaman forged dan mampu menjana kuasa 810 hp (750 hp pada roda) serta tork 973 Nm pada 4,800 rpm. Suara enjin V8 itu boleh didengari melalui empat muncung ekzos yang garang.

Dipadankan dengan kotak gear automatik 8-kelajuan (torque converter), kuasa disalurkan ke roda belakang melalui sistem limited slip differential (LSD). Pecutan 0-100 km/j dapat dibuat dalam masa tiga saat sahaja dengan bantuan launch control, manakala kelajuan maksimum dihadkan kepada 330 km/j.

Angka ini mengatasi sasaran awal iaitu 3.5 saat dan 320 km/j, dan dicapai dengan bantuan berat badan anggaran sekitar 1,550 kg — lebih kurang berat sebuah Porsche 911 biasa. CS8 juga hadir dengan sistem data logger binaan dalam untuk merekodkan prestasi pemanduan.

Untuk kuasa sehebat ini, sistem brek juga perlu sepadan. CS8 menggunakan cakera terapung berliang berukuran 380 mm di depan dan 350 mm di belakang, digandingkan dengan angkup enam piston di depan dan empat piston di belakang — semuanya dari Brembo. Model pelancaran menggunakan tayar Michelin Pilot Sport 4 S yang membaluti rim tempa 19 inci.

Ciri-ciri standard termasuk lampu utama, DRL dan lampu kabus LED automatik, lampu belakang LED, pengelap cermin automatik, sistem tanpa kunci dan fungsi penghidup enjin kawalan jauh, cermin pandang belakang elektrokromik, larasan stereng berkuasa, sistem kawalan suhu dua zon, brek parkir elektronik, lampu suasana, skrin infotainmen tegak bersaiz 13.6 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem bunyi 6.1 serta pengecas telefon tanpa wayar. Satu ciri istimewa yang pasti menggembirakan rakyat Malaysia, kereta ini datang dengan SmartTAG binaan dalam.

Bufori CS8 dilancar – GT buatan Malaysia dengan enjin V8 6.4L 810 hp, badan karbon-kevlar, RM2.188 juta

Tempat duduk Recaro yang digunakan dalam CS8 ini dikatakan antara yang termahal dalam industri, direka khas untuk model ini. Ia dibalut kulit, boleh dilaras lapan hala dengan sokongan lumbar empat hala dan jauh lebih selesa berbanding tempat duduk perlumbaan rangka karbon Sabelt yang digunakan pada prototaip CS dahulu. Ini jelas menunjukkan arah tuju Bufori ke arah kemewahan.

Selain beg udara dan kawalan cengkaman, ciri keselamatan dan bantuan pemandu lain turut disertakan, termasuk Adaptive Cruise Control, bantuan parkir depan dan belakang, kamera 360 darjah, pemantauan titik buta, amaran serta bantuan keluar lorong serta sistem pemantauan tekanan angin tayar. CS8 juga didatangkan dengan kit pembaikan tayar dan set peralatan Snap-On bernilai RM13,000 yang disimpan dalam ruang but berkapasiti 252 liter.

Untuk bahagian kemasan dan hiasan dalaman, pilihan yang ditawarkan hampir tiada batasan. Seperti proses menempah Bentley, pelanggan CS8 boleh bekerja rapat dengan pengasas Bufori, Gerry Khouri dan juga boleh melawat kilang untuk melihat sendiri perkembangan kenderaan mereka.

Bagi mereka yang inginkan sesuatu lebih eksklusif daripada apa yang ditawarkan pengeluar biasa, Bufori sering menjadi pilihan untuk sentuhan khas. Apa sahaja boleh direka dan dihasilkan, dan pendekatan ini dijangka diteruskan pada CS8. Malah, setiap pemilik akan menerima model skala kecil CS8 milik mereka sendiri, satu sentuhan peribadi yang menarik.

Jika anda merasakan enjin V8 supercharged 6.4L terlalu berlebihan, pilihan lain turut ditawarkan. Enjin sama boleh diperoleh dalam versi NA (475 hp/640 Nm) atau enjin V6 3.6L dalam versi supercharged (455 hp/495 Nm) dan NA (320 hp/352 Nm). Bufori juga terbuka untuk berbincang sekiranya anda mahu enjin twin-turbo 3.0L dengan kuasa lebih “terkawal” iaitu sekitar 550 hp dan 677 Nm.

Harga Bufori CS8 bermula dari RM2.188 juta atas jalan tanpa insurans, tidak kira pilihan enjin. Memang mahal, tetapi melihat kepada tahap prestasi, keunikan serta kualiti buatan tangan yang ditawarkan, mungkin ada pembeli yang sanggup melabur. “Tiada kereta di dunia yang lebih banyak dibuat secara tangan berbanding Bufori,” kata Khouri, sambil mendedahkan bahawa pembinaan sebuah CS8 memakan masa lebih 9,000 jam kerja, berbanding antara 18 hingga 450 jam untuk kereta biasa.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required