Bufori CS versi prototaip – petunjuk awal kereta sports produksi 750 hp yang akan diperkenalkan tahun depan

Bufori CS versi prototaip – petunjuk awal kereta sports produksi 750 hp yang akan diperkenalkan tahun depan

Di Malaysia sebenarnya terdapat sebuah syarikat pengeluar kenderaan mewah, yang dikenali sebagai Bufori Motor Car, dan beroperasi di Kepong, Kuala Lumpur. Kali terakhir mereka memperkenalkan model baru adalah hampir 10 tahun yang dulu, melalui model yang dipanggil sebagai Geneva.

Sejak itu, tiada lagi model baru dan mereka cuma sibuk dengan menyiapkan tempahan Geneva serta satu lagi model yang kini sudah sampai ke penghujung hayatnya iaitu La Joya. Selain pengeluaran model sendiri, Bufori juga ada membuat kerja ubah suai untuk pelbagai jenis kenderaan lain yang dihantar oleh pelanggan.

Dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini, Bufori mungkin agak senyap, tapi ada sesuatu yang sedang dibangunkan. Pada tahun hadapan mereka akan memperkenalkan sebuah model sports GT untuk pasaran dan ia ditunjukkan awal melalui model prototaip Bufori CS ini. 10 tahun dulu, Bufori ada memperkenalkan kereta lumba yang juga menggunakan nama CS, tapi selain penampilan, ia tiada persamaan langsung dengan kereta yang anda lihat ini.

Sebagai sebuah prototaip, beberapa bahagian masih akan diubah sebelum model ini memasuki fasa pengeluaran. Wakil kami sudah menyaksikan sendiri versi yang akan dijual kepada pasaran, dan ia memang nampak berbeza. Jarak roda juga dipanjangkan untuk meningkatkan ergonomik kabin.

Model prototaip ini mempunyai panjang 4,555 mm, lebar 1,950 mm dan jarak roda 2,620 mm. Sebagai perbandingan, Porsche 911 992 terbaru adalah 36 mm lebih pendek dan kurang lebar 98 mm. Bahagian rim menggunakan unit 19 inci, dengan tayar 235/35 di hadapan dan 255/35 di belakang.

Tidak dinafikan, rekaan Bufori CS ini bukanlah untuk semua orang. Ia berlainan berbanding kereta biasa, dengan kesemua lampunya berbentuk bulat kecil, manakala gril hadapan pula beralun seperti misai. Melihat kepada bentuknya anda boleh terbayang banyak model seperti Subaru BRZ/Toyota GT 86, BMW Z4 ataupun TVR. Walaupun begitu, kedudukan serta bentuk keseluruhannya masih nampak elok.

Bufori CS versi prototaip – petunjuk awal kereta sports produksi 750 hp yang akan diperkenalkan tahun depan

Sewaktu sesi penggambaran ini, rakan sekerja kami, Danny Tan sempat duduk di dalam Bufori CS, dan beliau memberitahu bahagian dalam memang memerlukan perubahan. Konsol tengah itu terlalu besar hingga menolak kaki, manakala tempat duduk pula rasa sporty dengan penggunaan unit lumba binaan gentian karbon oleh Sabelt. Pelapiknya juga tidak begitu empuk. Di tengah papan pemuka terdapat skrin sesentuh 7.0 inci untuk sistem infotainmen.

Bagi yang banyak memerhati dunia kereta, anda mungkin boleh perasaan pengaruh pada bahagian dalam Bufori CS ini. Ia menggunakan banyak elemen dari model kenderaan Fiat Chrysler Automobile seperti Jeep, termasuk tombol gear, panel instrumen serta pengawal pendingin hawa dan lampu. Walaubagaimanapun, penukar gear akan ditukar kepada tombol jenis pusing atau tekan, bagi model produksi.

Di bawah hud model prototaip ini terdapat enjin V6 3.6 liter NA yang juga datang daripada FCA, dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa 320 hp. Menurut Bufori, model produksi bagaimanapun nanti akan mempunyai sistem supercharger, dengan sasaran kuasa sekitar 500 hp.

Kemudiannya akan terdapat satu lagi model di atas Bufori CS ini, yang dipanggil sebagai CS8 dan menggunakan enjin Hemi V8 6.4 liter supercharged, yang dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa 750 hp dan 1,000 Nm tork. Sebuah kereta yang dibuat di Kepong dan boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 3.5 saat dan laju maksimum 320 km/j!

Dengan kuasa seperti ini, bahagian lain turut dipertingkat, dengan penggunaan brek Brembo enam piston di hadapan dan empat piston di belakang serta suspensi double wishbone boleh laras sepenuhnya di semua empat bucu. Kenderaan ini juga dilengkapi dengan sistem bantuan dan keselamatan moden seperti ABS, EBD, ESC, Adaptive Cruise Control, Lane Keeping Assist, Lane Departure Warning, Blind Spot Monitoring, minimum dua beg udara dan kamera undur.

Untuk model prototaip ini, ia menggunakan badan carbon-kevlar serta casis stainless steel, sementara model produksi nanti keseluruhannya akan menggunakan carbon-kevlar. Ia ringan tetapi kuat, dan Bufori mensasarkan berat keseluruhan bagi CS8 terletak di bawah 1,400 kg.

Bufori CS versi prototaip – petunjuk awal kereta sports produksi 750 hp yang akan diperkenalkan tahun depan

Seperti yang diberitahu tadi, Bufori CS versi produksi akan melihatkan lebih banyak perubahan, dan bahagian hadapannya juga akan dijadikan lebih agresif. Badan yang lebih besar nanti juga boleh memuatkan rim sehingga 20 inci (untuk CS8), manakala ekzos juga mungkin akan menggunakan empat muncung bagi melepaskan asap daripada enjin V8.

Sudah tentu, harganya setakat ini masih belum didedahkan, tapi anda rasa berapa? Bagaimana kalau RM850k untuk versi V6 3.6L supercharged dan RM1.2 juta untuk versi V8 6.4L? Anda juga perlu ingat ini adalah kereta buatan tangan dengan badan serta casis carbon-kevlar. Sebagai rujukan, Porsche 911 Carrera S 992 (berenjin enam silinder 3.0L dan kuasa 450 PS/530 Nm) dijual pada harga RM1.15 juta di Malaysia.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required