BYD siar teaser dengan nombor 6 dalam nama modelnya – sedan Seal 6 EV yang lebih murah?

BYD siar teaser dengan nombor 6 dalam nama modelnya – sedan Seal 6 EV yang lebih murah?

BYD Malaysia dilihat sedang bersiap untuk memperkenalkan model baru ke pasaran tempatan, selepas satu video teaser ringkas dimuat naik oleh syarikat itu dengan petunjuk bahawa model ‘6’ akan hadir tidak lama lagi. Walaupun belum ada pengesahan rasmi, berdasarkan barisan kenderaan sedia ada BYD, model yang dijangka akan dilancarkan ialah Seal 6 atau lebih dikenali di China sebagai Seal 06.

Model ini merupakan sebahagian daripada siri Ocean dan ditawarkan dalam tiga variasi utama di China. Ia mula diperkenalkan sebagai sedan plug-in hybrid (PHEV) dengan nama Seal 06 DM-i, pertama kali di Beijing Auto Show tahun lalu. Kemudian, versi wagon pula diperkenalkan bersama Seal 06 EV semasa Shanghai Auto Show April tahun ini.

Berdasarkan situasi semasa dan insentif cukai untuk kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU) di Malaysia, besar kemungkinan model yang bakal dibawa masuk adalah Seal 06 varian EV, berbanding PHEV yang dikenakan cukai lebih tinggi.

Tambahan pula, fasiliti pemasangan tempatan (CKD) BYD di Tanjong Malim, Perak dijangka hanya akan mula beroperasi pada separuh kedua tahun 2026. Oleh itu, kemungkinan besar Seal 06 DM-i tidak akan ditawarkan buat masa ini kerana ia tidak kompetitif dari segi harga tanpa insentif CKD.

BYD siar teaser dengan nombor 6 dalam nama modelnya – sedan Seal 6 EV yang lebih murah?

Untuk mewujudkan skim peralihan sementara CKD dalam jangka masa panjang juga dilihat kurang praktikal. Sebagai perbandingan, model Volvo S60 yang tiba sebagai unit CBU pada Oktober 2019 hanya dilancarkan sebagai CKD tujuh bulan kemudian, dengan harga yang sama.

Beralih kepada Seal 6 EV, sedan ini dijual di China pada harga antara 109,800 hingga 129,800 yuan (sekitar RM65,000 hingga RM77,000), menjadikannya jauh lebih mampu milik berbanding model Seal sedia ada yang berharga antara 175,800 hingga 239,800 yuan (RM104,000 hingga RM142,000).

BYD juga ada menawarkan versi hatchback sporty dikenali sebagai Seal 06 GT berdasarkan konsep Ocean-M, tetapi varian ini dilihat kurang sesuai untuk pasaran Malaysia berbanding Seal 6 EV yang lebih kecil dan murah, berpotensi untuk mengisi jurang besar antara Atto 3 Ultra (RM123,800) dan Seal (RM171,800 hingga RM191,800).

BYD siar teaser dengan nombor 6 dalam nama modelnya – sedan Seal 6 EV yang lebih murah?

Dari segi dimensi, Seal 6 EV lebih pendek sedikit berbanding Seal dengan panjang 4,720 mm (-80 mm), lebar 1,880 mm (+5 mm), tinggi 1,495 mm (+35 mm) dan jarak roda 2,820 mm (-100 mm). Sementara itu, versi DM-i pula mempunyai panjang keseluruhan lebih besar iaitu 4,830 mm (+110 mm) namun jarak rodanya lebih pendek pada 2,790 mm (-30 mm), dengan lebar dan tinggi yang hampir sama dengan versi EV.

Dua pilihan kapasiti bateri ditawarkan untuk Seal 6 EV di pasaran China. Pilihan asas ialah bateri LFP 46.08 kWh yang memberikan jarak pemanduan sehingga 470 km mengikut standard CLTC. Ia menyokong pengecasan pantas DC sehingga 84 kW (30-80% dalam masa 24 minit) serta pengecasan AC 7 kW. Motor elektrik di belakang menghasilkan 150 PS (148 hp atau 110 kW) dan 220 Nm tork, dengan pecutan 0-50 km/j dalam 4.1 saat serta kelajuan maksimum 160 km/j.

Bateri kedua pula berkapasiti 56.64 kWh (juga jenis LFP), menawarkan jarak sehingga 545 km CLTC. Ia digandingkan dengan motor elektrik lebih berkuasa iaitu 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan 330 Nm. Ini membolehkan pecutan 0-50 km/j dalam masa 3.1 saat dan kelajuan maksimum 180 km/j. Pengecasan pantas DC dipertingkatkan kepada 103 kW, manakala pengecasan AC kekal pada 7 kW.

Seal 6 EV dibina menggunakan platform e-Platform 3.0 evo, sama seperti model Seal yang lebih baru dan dilengkapi teknologi LiDAR. Model ini turut hadir dengan sistem bantuan pemandu DiPilot 100 (God’s Eye C) sebagai standard. Varian tertinggi pula dilengkapi sistem kawalan badan pintar DiSus-C (Cloud Chariot-C) untuk pengendalian yang lebih selesa dan stabil.

Ciri-ciri lain yang tersedia termasuk skrin infotainmen tengah bersaiz 12.8 atau 15.6 inci, panel instrumen digital 8.8 inci, bumbung panoramik, tempat duduk hadapan berkuasa dengan fungsi pengudaraan, lampu LED, penyaman udara zon berkembar dengan penapis PM2.5, pengecas tanpa wayar 50W dan lampu suasana dalam kabin.

Dari segi rekaan, bentuk keseluruhan Seal 6 EV menyerupai Seal, namun dengan beberapa perbezaan ketara. Lampu hadapan dilengkapi lampu siang berbentuk ‘hockey stick’, manakala bampar hadapan tidak mempunyai pencahayaan ekspresif seperti Seal. Di belakang, rekaan lampu juga lebih ringkas. Ruang dalaman menampilkan papan pemuka lebih minimalis, stereng tiga jejari dan tombol gear jenis tuil.

Setakat ini, BYD Malaysia masih belum mendedahkan sebarang maklumat rasmi. Namun, jika benar model yang bakal dilancarkan ialah Seal 6 EV, ia pasti bakal menjadi pilihan menarik di pasaran tempatan dengan harga lebih mampu milik dan spesifikasi kompetitif. Walaubagaimanapun, BYD turut mempunyai beberapa model lain dengan nama ‘6’, termasuk Sealion 06 (tersedia dalam versi PHEV dan EV) serta Shark 6 (PHEV sahaja), jadi kita perlu tunggu dan lihat pengesahan rasmi dalam masa terdekat

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required