BYD bakal memperluaskan lagi portfolio barisan model-model EVnya, dan tak lama lagi ia bakal melancarkan hot-hatch yang diberi nama Seal 06 GT. Namun sebelum pendedahan rasminya dibuat di Chengdu Motor Show lewat bulan ini, maklumat-maklumat awalannya sudahpun tersiar di laman sesawang rasmi Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT) China.
Model konsep untuk Seal 06 GT ini telah pun dipamerkan di Auto China 2024 yang berlangsung di Beijing April lalu, tampil dengan kit badan yang agak liar dikenali sebagai Ocean-M. Untuk model produksi sebenar ini tiada kit aero tersebut diberikan, namun ia masih tampil dengan bentuk badan dan rekaan lampu-lampu yang sama.
Hatchback ini juga diberitahu akan diletakkan di antara Seal sedan dan Dolphin dalam hieraki model BYD. Berdasarkan maklumat dari laman MIIT tersebut, model produksi Seal 06 GT ini akan ditawarkan dalam versi motor tunggal pacuan roda belakang berkuasa 218 PS dan juga versi pacuan semua roda dengan dua motor berkuasa 421 PS. Jadi ia nampaknya bakal berhadapan terus dengan MG4 EV XPower yang tampil dengan kuasa keseluruhan 435 PS.
Namun dari segi saiz, Seal 06 GT ini adalah sedikit lebih besar dengan dimensi 4,630 mm panjang, 1,880 mm lebar, 1,490 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,820 mm, berbanding MG4 EV XPower menampilkan dimensi 4,287 mm panjang, 1,836 mm lebar, 1,516 mm tinggi dan jarak roda 2,705 mm.
Bahagian kabin hot-hatch ini menerima rekaan yang disifatkan sebagai organik menampilkan banyak rekaan berlengkuk diberikan. Skrin paparan instrumen dan infotainmen juga agak besar, manakala liang penghembus udara tengah terletak agak ke bawah dan bersambung dengan bahagian konsol terowong.
Ketika masih dalam bentuk konsep Ocean-M, BYD menyatakan bahawa model produksinya nanti mungkin akan dijual pada harga antara 150,000 hingga 200,000 yuan (sekitar RM91k hingga RM122k). Di Malaysia BYD Seal sedan dijual pada harga atas jalan tanta insuran bermula RM180,430 untuk model asas Premium (Extended Range) yang berkuasa 313 PS menerusi satu motor tunggal pacuan belakang, manakala model varian tertinggi Performance dengan dua motor AWD berkuasa 530 PS pula dijual pada harga RM200,430.
Sekiranya model hatchback ini diletakkan dibawah satu anak tangga berbanding Seal sedan, ia mungkin akan dijual pada harga lebih rendah sekiranya dibawa ke Malaysia kelak. Anda rasa bagaimana, adakah model dengan rupa lebih sporty ini akan mendapat lebih sambutan di sini?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.