Ketika pelancaran kilang EV Proton di Tanjung Malim tengah hari tadi, pembuat kereta nasional berkenaan turut memaparkan satu video pendek berkenaan Saga MC3 yang bakal dilancarkan pada pasaran tempatan tidak lama lagi.
Video tersebut bukan sahaja tentang pembangunan model kemaskini berkenaan, malah turut mendedahkan beberapa perincian dan juga rekaan sedan mampu milik yang dipertingkat itu.
Sebelum ini Proton sudahpun mengesahkan Saga MC3 ini diasaskan dari platform AMA, iaitu platform yang diasaskan dari model-model yang dibangunkan sendiri oleh Proton sebelum ini dan diberikan pelbagai penambahbaikkan untuk kekal relevan dengan standard keselamatan serta teknologi model-model terkini dalam pasaran.
Dalam video yang disiarkan ini, Proton mendedahkan bahawa pembangunan Saga ini bukan hanya di buat di Malaysia, malah ia turut dibangunkan bersama Geely menerusi Pusat Kajian dan Pembangunan Proton (PRDC) yang terletak di Hangzhou Bay dalam perkarangan kawasan yang sama dengan Zhejiang Geely Holding. Video tersebut turut memaparkan unit prototaip Saga MC3 yang diuji dalam cuaca bersalji di China, dan pembangunan keseluruhannya melibatkan 240 tenaga kerja dari Malaysia.
Beberapa rekaan Saga MC3 juga terdedah dalam video ini, antaranya rekaan lampu LED hadapan dengan gril baharu, lampu baharu belakang dengan lensa albino bersama grafik jalur LED serta bar lampu merentangi sepenuhnya penutup but belakang diinspirasikan dari Proton S70, serta papan pemuka dengan skrin infotainmen dan juga skrin paparan instrumental digital sepenuhnya yang bersambung.
Proton juga mengesahkan bahawa Saga MC3 ini akan dijana oleh enjin baharu yang dibekalkan oleh Geely. Perincian berkenaan enjin itu tidak disebut, tetapi sebelum ini ada tertiris maklumat bahawa Saga MC3 akan dibekalkan dengan satu pilihan enjin iaitu 1.5 liter NA, digandingkan dengan pilihan transmisi automatik empat-kelajuan 4AT atau CVT automatik bergantung pada varian.
Kami menjangkakan enjin yang digunakan tersebut adalah enjin 1.5 liter NA beroperasi dengan sistem suntikan bahan api port (PFI) dikenali dengan kod BHE15PFI, iaitu enjin Geely yang dibangunkan oleh Aurobay. Enjin ini telahpun digunakan oleh Proton pada X50 facelift 2025 tetapi dalam varian suntikan bahan api terus dan disuap pengecas turbo, dikenali dengan kod BHE15TD. Lebih perincian berkenaan enjin BHE15 ini boleh anda baca pada PAUTAN INI.
Model Saga yang dipertingkatkan ini juga disahkan menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi termasuk pemantau titik buta dan juga brek kecemasan automatik. Dalam video ini juga nampaknya Saga MC3 telah mula diproduksi.
Dengan video teaser yang telah disiarkan ini, mungkin pelancarannya akan dibuat tidak lama lagi?
VIDEO: Rakaman livestream pelancaran kilang EV Proton
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.