Proton telah menjual sebanyak 15,228 unit kenderaan keluarannya pada Ogos 2025, yang turut mencatatkan jualan tertinggi dalam tempoh 36 bulan. Jualan yang memberangsangkan ini juga telah mendorong jumlah keseluruhan setakat ini (YTD) mencecah kepada enam angka – kini mencapai 100,902 unit termasuk untuk pasaran eksport.
Syarikat pengeluar kereta ini turut berkata, anggaran pegangan pasaran Proton bagi bulan Ogos turut meningkat kepada 20.6%,menyamai pencapaian pada bulan April dan naik 1.3% berbanding Julai. Secara keseluruhan, pegangan pasaran Proton kini dianggarkan 19.5% bagi tahun 2025.
Di mana Proton X50 facelift terus mengekalkan momentum daripada bulan Julai, apabila 999 unit berjaya diserahkan hanya dalam masa tujuh hari selepas pelancarannya. Dengan tempoh sebulan, jualan melonjak sebanyak 107.3% kepada 4,287 unit, sekali gus menjadikan model ini sebagai peneraju SUV segmen-B dan SUV paling popular di Malaysia. Secara keseluruhan, lebih 5,000 unit telah dihantar kepada pelanggan hanya dalam 38 hari selepas pelancaran rasmi.
Kejayaan awal X50 bukan kebetulan, sebaliknya hasil perancangan yang teliti di mana Proton telah memastikan kapasiti pengeluaran mencukupi sebelum pelancaran bagi memenuhi permintaan pasaran. Di samping itu, kempen pra-pelancaran yang merangkumi penglibatan di media sosial, jelajah seluruh negara serta penajaan anugerah hiburan popular, ditambah insentif tempahan awal, menjadikan model ini bermula dengan tempahan penuh.
“Kejayaan X50 adalah hasil kerja keras dan perancangan rapi semua pasukan di Proton. Usaha ini akan diteruskan dengan pelbagai kempen di seluruh negara untuk terus menarik perhatian pembeli. Sebagai tanda penghargaan kepada pasaran, kami melanjutkan tawaran Gempak! Deal sehingga akhir Oktober agar lebih ramai rakyat Malaysia dapat memiliki SUV Segmen-B No.1 ini,” kata Zhang Qiang, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar.
Dua model ICE turut mengekalkan kedudukan sebagai peneraju segmen. SUV X90 sebanyak 220 unit, mengekalkan status sebagai SUV segmen-D paling laris, manakala sedan S70 terus kekal sebagai sedan segmen-C paling laris dengan jualan 1,210 unit, menjadikan jumlah terkumpul tahun ini kepada 11,960 unit. Manakala SUV X70 pula terjual sebanyak 627 unit dengan jumlah terkumpul 5,598 unit setakat ini, meningkat 39.4% berbanding tahun 2024. Model Persona dan Iriz masing-masing menyumbang 1,379 unit dan 305 unit pada bulan Ogos.
Sebulan selepas meraikan ulang tahun ke-40, Saga kekal sebagai model paling laris Proton dengan jualan cecah 6,331 unit pada Ogos, ia merekodkan bulan kedua berturut-turut melepasi paras 6,000 unit dan kini mengumpulkan sejumlah 44,676 unit tahun ini, sekali gus membuktikan popularitinya walaupun terdapat spekulasi mengenai pelancaran model baharu. Akhir sekali, Proton menjual sebanyak 852 unit eMas 7, yang masih mendahului carta jualan kenderaan elektrik (EV) tempatan.
“Bulan Ogos merupakan bulan bersejarah untuk Proton. Kami mencapai prestasi jualan bulanan terbaik dalam tempoh tiga tahun dan berjaya melepasi angka enam digit untuk jualan tahun ini. Ini membuktikan momentum pasaran yang berterusan. Dengan pelbagai model baharu dalam perancangan, kami yakin dapat mengekalkan prestasi ini dan menutup tahun 2025 dengan pencapaian lebih tinggi,” tambah Zhang.
Sebagai makluman, angka jualan yang dilaporkan Proton turut merangkumi eksport, yang meningkat 49% setakat tahun ini. Ogos merupakan bulan terbaik bagi penghantaran ke luar negara, dengan 586 unit dihantar sekali gus menjadikan jumlah eksport setakat tahun ini kepada 3,144 unit.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.