Warisan Tan Chong Automotif (WTCA) iaitu pengedar GAC di Malaysia bakal melancarkan satu lagi model dari jenama China tersebut iaitu SUV segmen-C, GAC Emkoo. SUV ini sebenarnya sudahpun didedahkan beberapa kali sebelum ini termasuk yang terakhir di acara PACE Julai lalu, dan tempahannya sudah dibuka sebelum dilancarkan tidak lama lagi.
Sebelum dilancarkan juga, kami sekali lagi diberikan peluang untuk melihat model ini dengan lebih dekat di mana WTAC telah mendedahkan beberapa perincian berkenaan SUV ini serta perbezaan varian yang bakal ditawarkan. Seperti yang telah disebut sebelum ini, GAC Emkoo bakal ditawarkan dalam dua varian di Malaysia iaitu varian Premium yang dijangka akan dijual pada harga RM120,000 dan juga unit yang kami terima kali ini iaitu varian Premium Pro dengan harga jangkaan RM130,000.
GAC Emkoo ini juga merupakan salah satu model yang diasaskan dari Global Platform Modular Architecture (GPMA) binaan GAC sendiri, dan ia turut dikongsi bersama oleh ‘adiknya’ iaitu SUV segmen-B GS3 Emzoom. Ketika dilancarkan kelak, Emkoo bakal mempunyai kelebihan dari segi saiz kerana menampilkan dimensi panjang 4,680 mm, lebar 1,901 mm dan jarak roda 2,750 mm.
Sebagai perbandingan, Proton X70 tampil dengan dimensi panjang 4,526 mm, lebar 1,831 mm, dan jarak roda sejauh 2,670 mm. Ini bermakna berbanding Proton X70, GAC Emkoo ini adalah 154 mm lebih panjang, 70 mm lebih lebar serta jarak roda 80 mm lebih jauh.
Bagi pasaran lain, GAC Emkoo ini ada ditawarkan dengan enjin 1.5 liter turbo, 2.0 liter turbo, dan juga 2.0 liter hibrid. Namun untuk pasaran Malaysia, Emkoo hanya ditawarkan dengan pilihan enjin petrol 1.5 liter turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (TGDI) sahaja bagi kedua-dua varian.
Enjin berkenaan menghasilkan kuasa 177 PS pada takt 5,500 rpm dan tork maksima 270 Nm bermula 1,400 hingga 4,500 rpm, digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan bagi memacu sepenuhnya roda hadapan. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.8 saat, serta penggunaan bahan api serendah 6.6 liter untuk setiap 100km – dakwaan ini adalah keputusan dalam kitaran ujian standard di China iaitu NEDC.
Seperti juga Emzoom, Emkoo juga menerima rekaan bersegi ala-kapal angkasa. Ia menerima lampu hadapan LED yang bersambung dengan lampu nyalaan siang LED, di mana lampu dengan “sistem gaya matriks” ini turut menampilkan fungsi lampu tinggi adaptif. Lampu tersebut mengapit rekaan gril berbentuk-V, yang didakwa bermaksud ‘victory’ (kejayaan).
SUV ini juga menerima rekaan pembuka pintu tenggelam, rekaan bumbung ‘terapung’ dengan tiang-A digelapkan serta tiang-C yang tebal, serta rel bumbung berwarna perak yang direka seakan bersambung dengan spoiler.
Di belakang, lampu SUV ini direka seiring dengan rupa muka belakang itu sendiri seakan menonjolkan huruf-X menerusi grafik LED yang menyala. Bahagian bawah bampar agak ‘sibuk’ dengan ‘diffuser’ yang menampilkan lampu mengundur di bahagian tengah bersama dua reflektor melintang serta dua liang udara palsu pada kedua-dua sisi.
Kedua-dua varian menerima rim aloi dua-tona 19-inci bersama tayar 235/55/R19 dan cermin sisi kawalan elektrik, namun hanya varian Premium Pro diberikan bumbung panaromik dan juga cermin sisi dengan fungsi pemanas, pandangan ke bawah ketika parkir dan juga memori. Manakala untuk fungsi pintu tailgate belakang bantuan kuasa, ia diberikan secara standard untuk Premium Pro, dan pelanggan yang membeli varian Premium ditawarkan secara opsyen dengan tambahan bayaran.
Beberapa perincian unik juga anda boleh lihat pada rekaan dalam GAC Emkoo ini, antaranya liang penghembus udara dengan bentuk seakan silinder, serta pembuka pintu bersaiz besar yang perlu ditarik ke atas. Tiada suis fizikal untuk kawalan penghawa dingin dan audio, di mana kedua-dua perincian tersebut diganti dengan suis maya yang sentiasa berada di kiri dan kanan skrin sesentuh sistem infotainmen bersaiz 10.1-inci yang terletak di tengah papan pemuka.
Skrin tersebut turut menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Kedua-dua varian juga datang dengan pad pengecas tanpa wayar 50W yang diletakkan pada konsol tengah, di mana bahagian tersebut turut menempatkan dua pemegang cawan, tombol gear dengan kemasan kristal, suis brek parkir elektrik, butang penghidup enjin dan suis lampu isyarat kecemasan.
Upholsteri kulit sintetik adalah standard untuk kedua-dua varian. Bagi tempat duduk hadapan, varian Premium diberikan tempat duduk pemandu dengan fungsi larasan kuasa enam-hala dan juga liang pengudaraan, manakala varian Premium Pro ditambah dengan fungsi larasan elektrik 12-hala bersama memori pada tempat duduk pemandu, serta tempat duduk penumpang hadapan dengan larasan elektrik empat-hala dan liang pengudaraan.
Manakala untuk pemandu skrin 7-inci diberikan untuk paparan instrumen digital bagi varian Premium, manakala varian Premium Pro ditambah dengan paparan instrumen digital dengan skrin 10.25-inci, paparan head-up yang dipancarkan cermin hadapan. Selain itu varian paling mahal itu juga menerima penambahan Ionizer udara dengan penderia kualiti udara serta lampu suasana kabin pelbagai warna.
Untuk keselamatan, kedua-dua varian berkongsi kelengkapan yang hampir sama. Ia termasuk enam-beg udara, kamera pemantau 540-darjah dan pemantau tekanan angin tayar. Kedua-dua varian juga menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan kebolehan pemanduan autonomi Tahap 2 menampilkan fungsi termasuk brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan fungsi kawalan stereng seperti bantuan kekal tengah lorong dan sebagainya. Namun hanya varian Premium Pro yang diberikan sistem bantuan parkir automatik penuh (FAPA) yang membolehkan SUV ini diparkir secara automatik tanpa dipandu oleh pemandu.
Dengan kelengkapan keselamatan yang dibekalkn tersebut membolehkan GAC Emkoo menerima penarafan lima-bintang dalam ujian pelanggaran keselamatan Program Penilaian Kereta Baharu untuk Asia Tenggara (ASEAN NCAP) baru-baru ini.
Lima warna badan akan ditawarkan pada GAC Emkoo pasaran Malaysia ini iaitu Star Lake Green, Super Star Silver, Graphite Grey, Asphalt Black dan Frost White. SUV ini juga akan ditawarkan terus dalam versi pemasangan tempatan (CKD) di mana produksinya telah bermula Jun lalu di kilang milik Tan Chong di Segambut, Selangor.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.