Lagi berkenaan perlaksanaan pemberian subsidi petrol RON95 bersasar yang akan bermula hujung bulan ini – Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyatakan bahawa kerajaan akan memperkenalkan langkah kawalan lebih ketat bagi memastikan subsidi tersebut benar-benar dinikmati oleh penerima yang layak, dan ia termasuk sekatan terhadap pengisian berulang dalam masa satu hari untuk menutup ruang kepada penyalahgunaan.
“Mekanisme ini tidak akan membenarkan isian berulang dalam sehari. Perinciannya akan kita umumkan selepas ini,” kata beliau dalam laporan DagangNews.
Beliau turut menyatakan bahawa Kementerian Kewangan sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta syarikat minyak bagi membangunkan sistem pemantauan menyeluruh, di mana ia bukan sahaja mampu menjejak corak pembelian petrol tetapi juga mengesan transaksi mencurigakan yang berpotensi menimbulkan ketirisan.
“Ini penting bagi melindungi sumber kerajaan. Subsidi adalah peruntukan besar, jadi ia mesti digunakan dengan penuh tanggungjawab,” jelasnya.
Skim pemberian subsidi petrol RON95 bersasar yang digelar sebagai BUDI95 tersebut akan dilaksanakan bermula 30 September ini. Menerusi skim berkenaan semua rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah layak menerima kuota 300 liter petrol RON95 sebulan yang dijual pada harga subsidi RM1.99 seliter, berbanding harga semasa tanpa subsidi RM2.60 seliter.
Bagi membeli petrol dengan harga subsidi tersebut, pembeli perlulah mengesahkan kelayakan menerusi kad pengenalan (MyKad) dengan proses dibuat menggunakan terminal khas pada kaunter bayaran atau pada pam itu sendiri, dan juga pelbagai kaedah lain seperti aplikasi bayaran yang disediakan oleh syarikat minyak, e-wallet dan sebagainya.
Pemandu-pemandu e-hailing dan p-hailing pula dibenarkan untuk memohon kuota tambahan tertakluk kepada pengesahan syarikat masing-masing. Namun untuk memastikan pemohon betul-betul merupakan pemandu yang aktif, Amir Hamzah menjelaskan bahawa sistem yang ada akan membuat semakan silang dengan platform e-hailing.
Beliau turut menyatakan bahawa penguatkuasa akan ditempatkan di stesen-stesen minyak bagi memastikan larangan bagi warga asing yang tidak layak membeli bahan api bersubsidi tersebut dipatuhi sejak hari pertama pelaksanaannya nanti. Beliau turut mengesahkan bahawa semua syarikat minyak telah menaik taraf pam dan sistem kaunter sejak akhir tahun lalu dan bersedia sepenuhnya untuk pelaksanaan program tersebut.
“Semua pihak telah mengesahkan kesiapsiagaan. Sistem mereka kini aktif dan sedia digunakan,” katanya dan kemudian turut mengingatkan orang ramai supaya bersabar sekiranya berlaku sedikit gangguan teknikal pada peringkat awal pelaksanaan kerana ia membabitkan ribuan stesen minyak di seluruh negara.
“Ini adalah pelaksanaan berskala nasional. Jadi mungkin ada masalah kecil pada peringkat awal. Bagaimanapun, mekanisme kawalan telah disediakan bagi menjamin ia dilaksanakan secara adil untuk semua pengguna,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.