Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan bahawa sehingga kini terdapat 925,421 Lesen Memandu Kompeten (CDL) telah pun tamat tempoh tetapi kurang dari tiga tahun. Dari jumlah tersebut, 551,688 CDL telahpun tamat tempoh sekurang-kurangnya setahun atau kurang, 219,092 lesen sudah tamat tempoh antara satu hingga dua tahun, manakala 154,641 lesen lagi sudah tamat tempoh antara dua hingga tiga tahun.
Ini mungkin akan menyukarkan pemegang-pemegang lesen tersebut sendiri kerana pemberian skim petrol RON95 bersubsidi Budi95 yang akan bermula hujung bulan ini bukan sahaja menetapkan syarat penerimanya perlu mempunyai kad pengenalan (MyKad) dan berumur lebih dari 16 tahun, malah turut mensyaratkan mereka perlu memiliki lesen memandu yang sah.
Pemegang-pemegang CDL yang telah pun tamat tempoh kurang dari tiga tahun sebenarnya masih lagi layak untuk menerima Budi95, namun mereka digesa untuk memperbaharuinya bukan sahaja untuk membolehkan petrol RON95 boleh dibeli dengan harga subsidi, malah untuk mengelakkan mereka perlu mengambil semula Ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu Bahagian 2 dan 3 (KPP02 dan KPP03) yang diperlukan untuk memperbaharui semula CDL yang telah tamat tempoh melebihi tiga tahun.
Berdasarkan rekod dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejumlah 2.4 juta pemegang Lesen Memandu Kompeten (CDL) dengan status tidak aktif, di mana ia telah pun tamat tempoh lebih dari tiga-tahun. Individu-individu ini secara teknikalnya sudah tidak layak untuk menerima Budi95 dan perlu mengambil semula ujian kurikulum sekolah memandu.
Sejak Budi95 diumumkan pada Isnin lalu (22 September 2025), JPJ telah merekodkan sebanyak 26,991 transaksi berkaitan pembahruan CDL yang dibuat menerusi aplikasi MyJPJ, portal MySikap, kiosk-kiosk dan kaunter-kaunter fizikal jabatan itu.
Bagi memudahkan urusan pembaharuan CDL yang dijangka meningkat sebelum Budi95 mula dilaksanakan, JPJ telah pun mengumumkan bahawa ia akan melanjutkan waktu operasi kaunter lesen memandu dan kaunter pelbagai di semua pejabat JPJ Negeri dan cawangan di seluruh negara.
Pertambahan waktu operasi berkenaan adalah berkuatkuasa pada 27 September hingga 26 Oktober 2025 yang melibatkan hari Jumaat dan Sabtu bagi Kelantan, Terengganu dan Kedah serta hari Sabtu dan Ahad untuk negeri-negeri lain, bermula jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang.
Skim Budi95 bakal dilaksanakan bermula 30 September ini, manakala anggota polis dan tentera serta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan menerimanya lebih awal iaitu masing-masing bermula 27 dan 28 September. Menerusi skim berkenaan semua rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah layak menerima kuota 300 liter petrol RON95 sebulan yang dijual pada harga subsidi RM1.99 seliter, berbanding harga semasa tanpa subsidi RM2.60 seliter.
Bagi membeli petrol dengan harga subsidi tersebut, pembeli perlulah mengesahkan kelayakan menerusi kad pengenalan (MyKad) dengan proses dibuat menggunakan terminal khas pada kaunter bayaran atau pada pam itu sendiri, dan juga pelbagai kaedah lain seperti aplikasi bayaran yang disediakan oleh syarikat minyak, e-wallet dan sebagainya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.