Inisiatif subsidi petrol bersasar Budi Madani RON 95 (Budi95) dijangka mampu membantu kerajaan menjimatkan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun, bergantung kepada harga minyak mentah dunia. Anggaran ini dibuat berdasarkan harga minyak mentah yang diniagakan sekitar AS$75 (RM315.74) setong, lapor Bernama.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, program ini dibangunkan berdasarkan kejayaan sistem subsidi diesel bersasar yang telah dilaksanakan sebelum ini. Sistem tersebut berjaya menjimatkan anggaran RM6 bilion hingga RM7 bilion, jauh melebihi sasaran asal kerajaan iaitu RM4 bilion.
Beliau menjelaskan bahawa jumlah penjimatan akhir bagi program Budi95 akan bergantung kepada turun naik harga minyak di pasaran antarabangsa. Penjimatan yang diperoleh akan disalurkan semula kepada rakyat melalui program bantuan langsung seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Pada tahun 2023, kerajaan membelanjakan hampir RM20 bilion bagi subsidi petrol, dengan jumlah yang hampir sama dicatatkan pada tahun sebelumnya. Oleh itu, penstrukturan semula subsidi RON 95 daripada pendekatan menyeluruh kepada bantuan bersasar dianggap langkah penting dalam usaha mengurangkan defisit fiskal negara.
Kementerian turut menjangkakan bahawa pelaksanaan subsidi petrol bersasar tahun ini akan mengurangkan jumlah keseluruhan perbelanjaan subsidi kerajaan sebanyak kira-kira 21.9%, dengan potensi penjimatan sekitar RM3.6 bilion.
Melalui program Budi95, semua warganegara Malaysia yang memiliki lesen memandu sah akan dapat membeli petrol RON 95 pada harga RM1.99 seliter, dengan had sebanyak 300 liter sebulan. Penjimatan kepada kerajaan dijangka datang daripada pelaksanaan harga pasaran penuh ke atas individu dan entiti yang tidak layak menerima subsidi.
Penggunaan MyKad sebagai kaedah pengesahan kelayakan juga dijangka dapat mengawal penyalahgunaan subsidi oleh golongan yang tidak sepatutnya menerima subsidi ini, termasuk warga asing dan sektor komersial. Kerajaan turut menjangkakan bahawa kerugian akibat aktiviti penyeludupan bahan api dapat dikurangkan melalui sistem ini.
Harga pasaran RON 95 bagi pengguna yang tidak layak belum ditetapkan secara rasmi, namun anggaran awal menunjukkan ia mungkin berada di sekitar RM2.60 seliter.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.